10 – Sikap Pendakwah Terhadap Pelaku Maksiat

Umar telah meriwayatkan bahawa semasa hidup Rasulullah s.a.w terdapat seorang lelaki bernama Abdullah yang mempunyai gelaran keldai dan dia selalu membuat Rasulullah s.a.w ketawa. Rasulullah s.a.w telah sebat dia kerana minum minuman keras. Pada satu hari, dia telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w atas kesalahan yang sama dan disebat. Salah seorang dari para sahabat telah berkata “Semoga Allah melaknat kamu. Berapa kali dia telah ditangkap kerana kesalahan yang sama?” Rasulullah s.a.w bersabda “Janganlah kau melaknat dia. Demi Allah, aku tahu bahawa dia mencintai Allah dan RasulNya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Petunjuk-petunjuk

1. Hadits ini jelas mengajar kita akan sikap yang betul dalam menghadapi seorang yang melakukan maksiat.

2. Minum arak adalah salah satu dari dosa besar dan kesalahan yang layak untuk dihukum dengan hukuman hudud. Namun ia tidak menjadikan Rasulullah s.a.w membenci atau memandang hina orang yang melakukannya. Bahkan kesalahan berkenaan tidak menutup pandangan Rasulullah s.a.w akan apa yang ada dalam hati orang berkenaan iaitu rasa cinta terhadap Allah taala dan Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w meletakkan segala sesuatu ditempatnya yang sesuai. Atas kesalahan meminum arak, si pelakunya di hukum. Atas cintanya kepada Allah dan RasulNya, dia dipuji.

Rasulullah s.a.w mengakui akan kelemahan manusia iaitu walaupun seseorang itu cinta kepada Allah dan Rasulullah s.a.w namun ini tidak bermakna dia kebal dari melakukan kesalahan atau terpelihara dari kelemahan diri dan godaan syaitan.

Rasulullah s.a.w tidak menyingkir sahabatnya semata-mata kerana dosa yang ia lakukan.

3. Berapa ramai para aktivis dakwah tersingkir atau harus menyingkirkan diri kerana melakukan dosa semata-mata kerana kelemahan diri bukan kerana tidak beriltizam dengan perjuangannya? Ini berlaku kerana stigma yang dilemparkan ke atasnya dan teman-teman atau organisasi dakwah menjauhinya.

Sering kali para aktivis dakwah merasa bahawa kewujudan seorang yang melakukan dosa sedemikian hanya akan akan mengurangi keberkatan usaha dakwah.

Demikianlah juga sikap para aktivis dakwah dalam menghadap orang awam yang melakukan maksiat. Dosa yang telah dilakukan tidak menjadikan seseorang itu ‘condemned’ atau tidak mempunyai harapan lagi.

4. Apabila seorang itu melakukan kesalahan maka dia hanya layak dihukum setakat kesalahan yang telah dilakukan. Berlebihan dalam menghukum seseorang adalah tercela.

5. Hatta pada seorang yang telah melakukan maksiat pun, melaknatnya adalah satu perbuatan yang dilarang. Begitulah juga perbuatan mencela peribadinya atau memalukan air mukanya. Sikap melabel ke atas individu secara khusus (ta’yin) adalah sesuatu yang tidak sejajar dengan adab Islam.

6. Membenci perbuatan maksiat tidak semestinya membenci si pelakunya.

7. Seorang manusia dinilai secara komprehensif (holistic) bukan hanya berdasarkan perbuatan-perbuatan tertentu semata-mata kerana demikianlah Allah taala menilai manusia di akhirat kelak. Walau pun seorang itu sentiasa tergoda untuk mengulangi sesuatu dosa, namun jika amal solehnya yang lain lebih banyak dari berat dosa yang ia lakukan, rahmat Allah taala dan syafaat Rasulullah s.a.w akan bersamanya untuk membolehkan ia masuk syurga.