15 – Menghadapi Pelaku Maksiat Yang Berulang Kali Melakukan Maksiat

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud

“Allah taala telah berfirman ‘Seorang hamba telah berdosa. Lalu dia berkata ‘Ya Allah ampunkanlah dosaku’. Lalu Allah taala berfirman ‘HambaKu telah berdosa. Dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa.’ Kemudian dia melakukan dosa lagi, lalu berkata ‘Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku’. Lalu Allah taala berfirman ‘HambaKu telah berdosa. Dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa.’ Kemudian dia mengulangi melakukan dosa, lalu berkata Ya Allah ampunkanlah dosaku’. Lalu Allah taala berfirman HambaKu telah berdosa. Dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa. Telah aku ampuni hambaku, maka lakukanlah apa yang dia kehendaki.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Petunjuk-petunjuk

1. Hadits ini memberi gambaran yang jelas akan sikap kasih dan belas kasihan Allah taala terhadap hambanya yang lemah. Rahmat dan belas kasihan Allah taala ditunjukkan dengan sikap keterbukaannya untuk mengmpunkan dosa hambaNya dan menerima hamba itu seadanya, selama mana hamba itu masih mahu beriman denganNya, mengaku akan kelemahannya dan kembali kepadaNya. Walaupun hamba berkenaan mengulangi dosa-dosanya.

2. Perhatikanlah! Allah taala tidak melihat akan kelemahan hamba berkenaan kerana mengulangi dosanya tetapi melihat sifat positifnya iaitu kesediaan untuk mengakui kelemahan dan bertaubat.

3. Demikianlah contoh yang perlu dicontohi oleh kita dalam menghadapi pelaku-pelaku maksiat. Walaupun sebahagian dari metodologi dakwah ialah memberi inzar (peringatan) akan azab dan dosa, tetapi ia tidak dilakukan sehingga melenyapkan pengharapan dan mengkaburkan sifat rahmat Islam, bahkan sifat rahmat Allah taala itu sendiri. Seharusnya juga, kita tidak hanya melihat sudut negatif seseorang tetapi juga sudut positifnya. Bahkan, sesiapa sahaja yang mengkaji Islam pasti akan memahami bahawa Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa berfikiran positif dan melihat aspek-aspek yang positif. Hadits di atas merupakan sebahagian dari pengajaran itu.

4. Berapa ramai dari kita hari ini yang lebih suka bersikap sinis terhadap mereka yang mengulangi kesilapan lalu atau kepada pelaku maksiat atas nama wara’ dan berpegang pada prinsip agama?

5. Sekiranya pada perkara yang telah jelas dosanya di sisi Allah taala, pendakwah dianjurkan untuk bersifat rahmat dan ihsan apakan pula pada persoalan yang tidak jelas kedudukan haram atau halalnya sesuatu perkara.

6. Lebih-lebih lagi, pastinya keterbukaan dan rahmat yang dicontohkan lebih utama dalam persoalan antara yang utama dan lebih utama, antara mubah dan sunat, antara makruh dan sunat, dalam perkara-perkara khilafiyah dan dalam persoalan pendekatan yang bersifat ijtihadiyah.