18 – Haram, Halal, Syubhat Dan Yang Didiamkan

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud

“Apa yang halal adalah jelas dan apa yang haram juga telah jelas. Di antara keduanya perkara-perkara yang samar-samar (syubhat) yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Sesiapa yang memelihara diri dari syubhat, sesungguhnya dia telah memelihara agama dan maruahnya dan sesiapa yang jatuh dalam syubhat, sesungguhnya dia telah jatuh dalam perkara yang haram. Seumpama seorang pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan. Adalah dikhuatiri dia akan mencerobohinya. Sesungguhnya setiap raja mempunyai kawasan larangannya dan kawasan larangan Allah ialah larang-larangannya. Ketahuilah, di dalam tubuh (manusia) terdapat seketul darah. Jika ia baik, maka baiklah seluruh badan dan jika ia rosak, maka rosaklah juga seluruh badan. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.”  (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Apa yang Allah telah halalkan dalam kitabNya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah telah haramkan, maka ia adalah haram. Apa yang Dia berdiam diri mengenai satu perkara, maka ia adalah satu kemaafan (keringanan). Maka terimalah kemaafan (keringanan) dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan selama-lamanya lupa. Rasulullah s.a.w kemudian membaca “Dan tidaklah Tuhan kamu itu lupa.” (Riwayat Al-Hakim dan Al-Bazzar. Rujuk hadits yang
seumpamanya dalam ke hadits ke 30 dari Hadits 40 An-Nawawi)

Petunjuk-petunjuk

1. Kedua hadits dia atas memberitahu bahawa ada perkara yang dinamakan halal, ada perkara yang dinamakan haram, ada perkara yang dinamakan syubhat dan ada perkara pula yang dinamakan al-maskut anhu (yang didiamkan oleh syara’). Setiap perkara ini berbeza.

2. Kita bukan hanya berperanan untuk menghalalkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah taala, mengharamkan apa yang diharamkan, memberi peringatan mengenai syubhat tetapi juga membenarkan perkara-perkara yang didiamkan oleh Allah taala sebagai satu kemaafan bagi semua.

3. Hadits kedua yang dinyatakan di atas dan yang seumpama ertinya menjadi dasar bagi kaedah yang dipegangi oleh jumhur ulama, kecuali mazhab Hanafi, bahawa asal hukum bagi perkara yang bukan ibadat adalah halal kecuali ada dalil yang sebaliknya.

4. Apabila kita memahami kewajiban untuk mendasarkan setiap sesuatu yang dilakukannya atas dalil Al-Quran dan Sunnah, itu tidak bermakna bahawa perkara bukan ibadat yang tidak ada dalam Al-Quran dan Sunnah itu semestinya haram dilakukan.

5. Sebenarnya mengharuskan apa yang didiamkan oleh Al-Quran dan Sunnah itu adalah sebahagian dari beramal dengan Al-Quran dan Sunnah kerana hadits di atas menyatakan sedemikian.

5. Apabila seseorang itu melihat sesuatu tindakan yang bukan bersifat ibadat yang tidak diketahui dalilnya dalam Al-Quran dan Sunnah, maka ke atasnyalah beban untuk membuktikan perkara itu haram dilakukan. Sebahagian dari kita telah melakukan yang sebaliknya iaitu menyerang perbuatan berkenaan dan menuntut pihak berkenaan pula untuk mempertahankan perbuatannya dengan dalil.

6. Menghalalkan apa yang diharamkan, mengharamkan apa yang dihalalkan, berlengah terhadap perkara yang syubhat dan menidakkan orang ramai dari kemaafan yang diberikan oleh Allah taala dalam perkara yang didiamkan, semuanya adalah kekejian yang perlu ditinggalkan oleh kita.