20 – Berlebih Kurang Dalam Berurusan Dengan Manusia

“Allah merahmati seseorang yang bermurah hati / berlebih kurang pada ketika membeli, menjual dan menuntut haknya.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

“Sesiapa yang membenarkan iqalah bagi seorang Muslim, Allah akan menghilangkan penderitaannya.” (Riwayat Abu Daud & Ibn Majah)

 

Iqalah bermaksud perbuatan seseorang yang membeli atau menjual sesuatu kemudian menarik diri dari jual beli berkenaan setelah berlaku perjanjian atas sebab-sebab tertentu seperti si pembeli sedar bahawa ia tidak memerlukan barang itu atau si penjual sedar bahawa ia memerlukan barang berkenaan.

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Kedua-dua hadits di atas membawa pengajaran sifat tasamuh iaitu berlebih kurang dan bermurah hati dalam berurusan sesama manusia.

 

2. Dalam melaksanakan dakwah, kita akan sentiasa berurusan dengan manusia dalam jual beli, perjanjian kerjasama, pembahagian tanggungjawab dan hak dan lain-lain. Kita juga akan perlu untuk melakukan perundingan (negotiation) yang berkaitan dengan persoalan hak dan tanggungjawab setiap pihak.

 

3. Dalam hal ini, kita hendaklah sentiasa memerhatikan ajaran yang terkandung dalam kedua hadits di atas. Ertinya kita tidaklah bersifat lokek, berfikir mengenai hak diri sendiri atau pertubuhannya sahaja atau hanya memerhatikan kepentingannya sahaja tanpa peduli akan pihak yang lain.

 

4. Sikap yang hanya memerhatikan kepentingan diri atau pertubuhannya sahaja sering kali terselindung di sebaliknya sifat lokek atau bakhil, sempit dada, tidak fleksibel dan lain-lain. Sifat-sifat ini bukan hanya sifat-sifat yang tidak disukai oleh Islam adan harus disucikan dari hati seorang pendakwah tetapi ia juga akan mengakibatkan kesan buruk pada hubungan antara pendakwah dan pihak lain. Sedangkan dakwah menuntut kita untuk sentiasa memelihara hubungan baik dengan sesama manusia.

 

5. Sifat tasamuh (tolak ansur) lebih memudahkan kita untuk mencapai suasana win-win dalam urusan dengan pihak lain. Manakala sifat yang tidak toleran dengan keperluan dan kepentingan orang lain pula menjurus kepada yang suasana hendak menang atau untung sendiri sahaja.

 

6. Pengamalan sifat tasamuh dalam berurusan sesama manusia menjadikan pihak lain akan suka berurusan dengan kita. Ini pastinya akan membuka ruang yang baik bagi dakwah di samping penonjolan imej yang baik juga.

 

7. Demikianlah juga kita dalam menghadapi kekurangan atau kelemahan seseorang atau sesuatu benda. Walau pun, Islam menganjurkan sifat ihsan dan mengutamakan kualiti namun dalam menghadapi situasi berkenaan, pendakwah handaklah juga memerhatikan sifat berlebih kurang dan berlapang dada dan tidak terlalu berkeras terhadap kekurangan dan kelemahan berkenaan.