Pelajaran 71 – Bentuk Jihad Berubah-ubah Mengikut Konteks

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Dan kemuncaknya (Islam) ialah jihad.” (Riwayat Al-Turmuzi)


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Jihad yang paling utama (mulia) ialah berkata benar di hadapan pemimpin yang menyeleweng.” (Riwayat Al-Turmuzi & Ibn Majah)

Pelajaran

1. Kedua hadits ini memberi kefahaman kepada pendakwah akan erti jihad. Kedua hadits ini menjadi dalil bahawa jihad bukan hanya membawa makna berperang atau mengangkat senjata. Hadits kedua secara jelas menyatakan bahawa berdakwah dengan lisan juga adalah satu jihad, samada di hadapan penguasa sebagaimana yang dinyatakan dalam hadits kedua atau kepada orang-orang lain.

2. Hadits kedua bukan hanya mensifatkan dakwah secara lisan juga adalah satu jihad tetapi menjadikannya sebagai jihad yang paling utama jika ia dilakukan kepada penguasa yang menyeleweng.

3. Ini memberi pengajaran bahawa keutamaan bentuk-bentuk jihad itu berbeza-beza mengikut keadaan dan konteks. Walau pun jihad bersenjata merupakan kemuncak pengorbanan dan ubudiyyah seorang hamba kepada Tuhannya, namun ia tidak semestinya yang termulia dalam semua keadaan dan suasana.

4. Oleh itu, kita haruslah memahami akan dinamisme pengertian dan keutamaan bentuk-bentuk jihad yang berkait rapat dengan konteks, keperluan dakwah, maslahat dan lain-lain. Oleh kerana konteks itu berbeza-beza, maka mungkin sahaja bentuk-bentuk jihad berbeza antara satu konteks dengan yang lain. Oleh kerana konteks juga berubah-berubah, maka bentuk-bentuk jihad yang utama juga mesti berubah. Bahkan mungkin sahaja, bentuk-bentuk jihad yang utama itu berbeza-beza antara satu individu dengan yang lain kerana Rasulullah s.a.w pernah menyatakan dalam sebuah hadits bahawa jihad bagi wanita ialah menunaikan haji.

5. Memahami jihad hanya dalam satu pengertian sahaja seperti jihad bersenjata atau jihad melawan nafsu untuk semua keadaan adalah kefahaman yang cetek.

6. Untuk berjihad dengan betul, kita memerlukan apresiasi terhadap realiti, konteks dan maslahat dakwah. Jihad tidak boleh dilakukan berdasarkan semangat, rasa marah atau berdasarkan romantisme.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.