28 – Jangan Berlaku Zalim Dalam Berdakwah

Dari Ibn Abbas yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w telah mengutus Mu`az ke Yaman. Beliau berpesan (yang bermaksud):

 

“Takutlah kau terhadap doa orang yang dizalimi. Sesungguhnya tiada di antara doa itu dan Allah apa jua penghalang.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Rujuk kitab Al-Lu’lu’ Wa Al-Marjan, hadits no. 12)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Hadits ini menceritakan pesanan Rasulullah s.a.w kepada Mu`az yang diutus ke Yaman untuk menjadi wakil beliau di sana dalam melakukan dakwah dan mengurus umat Islam di sana.

 

2. Apa yang menarik dalam pesanan ini ialah ia disampaikan oleh Rasulullah s.a.w kepada Mu`az, seorang sahabat yang dikenali alim, berilmu dan soleh. Pesanan ini bukan ditujukan kepada seorang pemerintah zalim sebaliknya ia disampaikan kepada seseorang yang diutus untuk melakukan tugas dakwah. Kesolehan seorang sahabat dan statusnya sebagai seorang pendakwah tidak menghalang Rasulullah s.a.w dari memberi pesanan agar tidak melakukan kezaliman terhadap orang lain. Mengapakah pesanan sedemikian relevan bagi seorang yang soleh dan seorang pendakwah?

 

3. Seringkali para pendakwah menggunakan hadits berkenaan sebagai hujah ke atas para penguasa yang zalim yang selalu menentang dan menyulitkan usaha dakwahnya. Sekilas membaca hadits berkenaan, seolah-olah ia hanya relevan kepada para penguasa yang bersifat kuku besi, diktator dan menzalimi rakyatnya serta para pendakwah dengan menindas, memenjara dan menyiksa mereka seumpama Firaun, Namrud atau Hitler. Namun hakikatnya hadits berkenaan sebenarnya merupakan pesanan Rasulullah s.a.w kepada seorang yang soleh dan akan melakukan tugas dakwah di Yaman.

 

4. Hal ini adalah kerana tugas dakwah tidak menjamin seseorang itu tidak melakukan kezaliman ke atas orang lain. Walaupun tugas dakwah itu suci dan mulia, namun boleh sahaja seseorang itu dalam melakukan dakwahnya menzalimi orang lain samada secara sengaja atau tidak. Ini mungkin berlaku apabila dia telah mengaibkan nama baik dan maruah seseorang, membuat serangan peribadi yang tidak berasas, menghukum berdasarkan andaian dan spekulasi, membuat penilaian-penilaian yang bersifat bias, tidak objektif  dan berdasarkan stereotaip, menjalankan program-program yang menjejaskan hak-hak orang lain secara tidak wajar dan lain-lain.

 

5. Dalam melakukan dakwah dan pengurusan urusan masyarakat umum, kita sepatutnya lebih peka dan sensitif mengenai kemungkinan melakukan kezaliman terhadap orang lain. Janganlah kita menjadikan tugas suci dakwah sebagai alat untuk memaksumkan diri sendiri dari kesalahan.

 

6. Ketahuilah juga bahawa perkataan Al-Mazlum (mereka yang dizalimi) dalam hadits itu, di sisi bahasa Arab membawa pengertian umum. Ertinya ia meliputi sesiapa sahaja samada lelaki atau perempuan, tua atau muda, soleh atau fasiq, Muslim atau bukan Muslim. Jangan sesekali menyangka sedikit kezaliman itu wajar ke atas seseorang kerana dia itu fasiq, pelaku banyak maksiat atau dia itu bukan Muslim.

 

7. Apabila menghadapi hadits berkenaan, kita hendaklah melihat diri sendiri sebelum menggunakannya ke atas orang lain.

 

8. Sekiranya para sahabat yang soleh sekalipun masih diberi peringatan sedemikian, maka pastilah kita hari ini lebih utama untuk sentiasa mendapat peringatan-peringatan yang berterusan.

 

9. Sekiranya seorang itu telah menzalimi seseorang yang lain dengan dakwahnya, sesungguhnya tiada hijab antara orang berkenaan dan Allah apabila dia berdoa dan mengadu akan nasibnya itu.