30 – Jangan Kesal Berpanjangan, Majulah Terus Ke Hadapan

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“….dan jika sesuatu menimpa kamu, janganlah kamu berkata ‘Seandainya aku melakukan sedemikian, tentu hasilnya demikian.’ Tapi katakanlah ‘Allah telah menakdirkannya dan apa pun yang Dia inginkan akan dilakukan.’ Kerana [ucapan] ‘Seandainya’ adalah pembuka amalan syaitan.” (Riwayat Muslim)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Hadits ini memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa melihat ke hadapan (forward looking) dalam menghadapi situasi dalam kehidupannya.

 

2. Kita hendaklah mengutamakan sikap untuk meneruskan langkah maju kehadapan (moving forward) dalam menghadapi kesulitan dalam usahanya.

 

3. Sebagai manusia, tidak semua perancangan yang dilakukan oleh kita akan berjaya. Dalam menghadapi kegagalan dan hambatan, sememangnya wajar untuk kita membuat penilaian akan usaha dan perancangan kita. Namun ia hendaklah dilakukan atas tujuan untuk mengambil pelajaran bagi masa depan yang lebih baik. Apa yang perlu dielakkan, sebagaimana yang diajar oleh hadits ini, ialah sikap sesal yang berterusan atau sikap terus-terus menyalahkan langkah dan perancangan dahulu dengan fikiran ‘kalau kau buat seperti ini, pasti tak berlaku… kalau aku dengar nasihat si A, natijahnya akan berlainan… kalau kau buat seperti yang aku katakan dulu, tak jadi seperti ini…’ Kerana semua itu tidak akan merubah apa yang telah berlaku. Sebaliknya ia hanya merupakan kekesalan kosong. Bahkan mungkin sahaja akan mencetus konflik sesama rakan seperjuangan disebabkan persoalan sedemikian membuka ruang untuk mencetuskan perbuatan salah menyalahkan antara satu sama lain atau sikap berlebihan menyalahkan diri sendiri. Dengan itu, ia membuka ruang bagi syaitan untuk masuk di celah-celah perbalahan dan kekesalan bagi menanam bisikan-bisikannya dengan tujuan untuk merosakkan usaha dakwah.

 

4. Apabila kita bersikap maju kehadapan, kita akan kurang terperosok ke dalam sesalan yang tidak berkesudahan. Kita juga lebih bersifat progresif dan konstruktif. Kesejahteraan kumpulan dan organisasi juga lebih terjaga. Di samping itu, ia meringankan beban psikologi kita dalam menghadapi kegagalan dan hambatan.

 

5. Dalam menghadapi kegagalan dan hambatan, kita hendaklah cenderung untuk menumpu kepada huraian bagi masalah dan pelajaran yang boleh diambil dari menumpu kepada kesilapan yang telah berlaku dan siapa punca kesilapan itu.