39 – Jangan Bersikap Pesimis

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Jika seorang lelaki berkata ‘Celakalah manusia.’, maka sesungguhnya ia lebih celaka dari mereka.” (Riwayat Muslim)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Hadits ini memberi peringatan kepada kita agar tidak berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri atau sikap berkenaan akan menyebabkan kecelakaan atas dirinya.

 

2. Dari satu sudut lain, boleh juga difahami bahawa hadits ini mengajar kita bahawa nasib diri kita adalah mengikut apa yang difikirkan oleh akal kita. Jika akal kita berfikiran negatif, maka natijahnya adalah negatif. Beitulah juga sebaliknya. Ini sejajar dengan erti hadits yang menganjurkan Muslim agar sentiasa memelihara baik sangka terhadap Allah taala kerana Allah taala melayan hambaNya mengikut sangkaan baik atau buruk seorang hamba terhadapNya.

 

3. Secara dasarnya, kita hendaklah menjauhi sikap pesimis dan berfikiran negatif terhadap persekitaran atau orang lain.

 

4. Kecelakaan yang berlaku dalam masyarakat atau ke atas diri kita bukanlah semestinya disebabkan oleh perbuatan atau kejahatan orang lain. Bahkan ia mungkin berlaku kerana sikap diri sendiri.

 

5. Mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain atau menyalahkan mereka.

 

6. Islam mengajar bahawa sesuatu itu tidak berubah kecuali perubahan dibuat dari dalaman.

 

7. Ini tidak bermakna bahawa kita bersikap naif terhadap perancangan jahat orang lain atau faktor-faktor luaran yang menghambat usaha kita tetapi dalam membuat penilaian terhadap usaha kita. Namun, kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadi seorang pelarian (escapist) dengan menuding kepada orang lain sahaja untuk mengelak dari berhadapan dengan kelemahan diri.