Pelajaran 97 – Mengandaikan Kemungkinan Di Masa Hadapan

Huzaifah b. Al-Yaman berkata bahawa dahulu orang ramai sering bertanya Rasulullah s.a.w mengenai kebaikan sedangkan aku bertanya mengenai kejahatan kerana takut ia akan mengenaiku. Aku lalu bertanya “Wahai Rasulullah! Kami dahulu berada dalam keadaan jahiliyah dan kejahatan, lalu Allah datangkan kebaikan (Islam) ini. Adakah setelah kebaikan ini akan ada pula kejahatan. Rasulullah s.a.w berkata “Ya.” Aku lalu berkata “Adakah setelah kejahatan itu akan ada kebaikan?” Rasulullah s.a.w berkata “Ya, tetapi ia mempunyai kekotoran.” Aku berkata “Apakah kotoran itu?” Rasulullah s.a.w berkata “Terdapat kaum yang beramal dengan bukan sunnahku, memberi petunjuk bukan dengan petunjukku. Kau (kadangkala) membenarkan mereka dan kadangkala mengingkari mereka.” Aku berkata “Adakah setelah kebaikan itu akan ada kejahatan?” Rasulullah s.a.w berkata “Para pendakwah di pintu-pintu neraka. Sesiapa yang mengikuti mereka, para pendakwah itu akan mencampakkan mereka ke dalam neraka.” Aku berkata “Wahai Rasulullah! Jelaskan sifat-sifat mereka kepada kami.” Rasulullah s.a.w berkata “Ya. Ia adalah kaum dari kulit kami dan berbicara dengan bahasa kami.” Aku berkata “Wahai Rasulullah! Apakah pendapat kamu jika keadaan itu muncul dalam kehidupanku?” Rasulullah s.a.w berkata “Hendaklah kau bersama dengan jemaah kaum Muslimin dan pemimpin mereka.” Aku berkata “Jika mereka tidak mempunyai jemaah atau pemimpin?” Rasulullah s.a.w berkata “Tinggalkanlah kesemua kumpulan-kumpulan itu walau pun kau harus gigit (makan) akar-akar pokok sehingga maut mendatangi kamu.” (Riwayat Muslim)

Pelajaran

1. Mengenali kejahatan adalah sama penting dengan mengenali kebaikan. Mengenali kebaikan membolehkan seseorang melakukannya. Manakala mengenali kejahatan membantu untuk mengelakkan darinya. Kita boleh melakukan banyak kebaikan tetapi kejahilan terhadap kejahatan menyebabkan kita jatuh juga ke dalamnya. Kita bergelumang dengan kejahatan itu sehingga ia menghapus kebaikan yang kita lakukan.

2. Hadits ini juga mengajar kita untuk sentiasa berantisipasi terhadap kemungkinan masa hadapan. Kita hendaklah mempunyai minda melihat jauh mengenai apa yang akan berlaku di masa hadapan (forward thinking) dan tidak disibukkan dengan masalah semasa semata-mata.

3. Sikap Huzaifah yang condong untuk mencari perspektif berbeza dari orang-orang lain juga mengrupakan contoh yang baik bagi kita. Kita tidak seharusnya berpada dengan perspektif dan cara yang digunapakai secara umum. Ini adalah asas bagi cara berfikiran kreatif dan di luar kotak (out of the box thinking).

4. Sikap Huzaifah yang ingin mengenali kejahatan dan mencari antidot baginya juga mengajar pendakwah untuk berupaya membuat langkah-langkah bersifat pencegahan (preemptive) dalam strategi dakwahnya.

5. Di sebalik semangat untuk melakukan dakwah, hadits ini mengingatkan kita jangan sampai mereka jatuh dalam dua kumpulan yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadits di atas. Tidak mustahil niat kita yang baik boleh menyebabkan kita jatuh dalam kelompok berkenaan tanpa disedari. Untuk memelihara diri dari jatuh dalam kelompok berkenaan, maka wajarlah kita mencontohi Huzaifah yang peka, tidak malu bertanya serta mahu meletakkan dirinya di bawah bimbingan dan tarbiyah yang berterusan.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.