48 – Setiap Amalan Yang Baik Ada Kesan Positif

Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda “Seorang berkata ‘Aku akan bersedekah. Lalu dia keluar membawa barang yang hendak disedekahkan. Namun barang itu kemudiannya diberikan kepada pencuri. Sehingga pada pagi hari orang ramai berbicara mengenainya ‘Sedekah itu diberi kepada pencuri’. Maka orang itu berkata ‘Ya Allah segala puji untukMu.’ Kemudian dia berkata ‘Aku akan bersedekah lagi.’ Dia lalu keluar membawa sedekahnya. Namun sedekahnya itu jatuh ke tangan seorang perempuan pelacur. Orang ramai berkata ‘Semalam sedekah itu diberi kepada pelacur.’ Dia pun berkata ‘Ya Allah segala puji bagiMu ke atas penzina itu.’ Lalu dia berkata ‘Aku akan bersedekah lagi.’ Dia membawa sedekahnya itu, namun sedekahnya itu jatuh ke tangan seorang kaya. Orang ramai lalu berkata ‘Semalam sedekah itu diberikan kepada orang kaya.’ Dia lalu berkata ‘Ya Allah segala puji untukMu ke atas pencuri, penzina dan si kaya itu.’ tiba-tiba dia diberitahu ‘Adapun sedekahmu pada pencuri, mungkin kerananya telah menjadikan pencuri itu tidak mencuri dan sedekahmu kepada si pelacur, mungkin kerananya telah menjadikannya tidak berzina dan sedekahmu kepada si kaya, mungkin kerananya telah menjadikan dia suka bersedekah dari kekayaan yang diberikan Allah kepadanya.’ (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Rujuk kitab Al-Lu’lu’ Wa Al-Marjan, hadits no. 601)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Sesuatu amal soleh itu akan mempunyai kesan yang positif walau kepada siapa ia ditujukan, asal sahaja si pelaku melakukannya dengan niat yang soleh.

 

2. Walau pun mengenal pasti sasaran dakwah itu penting, namun apabila berhadapan dengan situasi yang spontan, kita hendaklah tidak terlalu berkira mengenai siapa yang menerima amal solehnya itu kerana ia tetap akan memberi kesan yang positif.

 

3. Kita hendaklah tidak merasa kecewa jika usaha dakwahnya gagal mengenai sasaran yang dia kehendaki, setelah berusaha untuk mengenalpasti mereka. Kita juga hendaklah tidak berputus asa dari melakukan amal soleh disebablan kesilapan dan ketidaksempurnaan yang berlaku dalam amalnya itu.

 

4. Kemunkaran itu diubah bukan hanya dengan memberi nasihat, tazkirah atau menyatakan kesalahannya. Boleh jadi seorang pencuri mencuri bukan kerana dia mahu mencuri dan begitulah juga dengan seorang pelacur. Sehingga apabila dia mempunyai alternatif lain dari mencuri dan melacur untuk hidup, dia akan meninggalkan perbuatan berkenaan. Manusia yang seperti ini, mungkin sahaja menyelamatkan mereka dari kemunkaran berkenaan bukan dengan mencela perbuatan itu, menasihatinya atau menghukumnya semata-mata tetapi dengan memberi alternatif lain untuk mereka menyara kehidupan.

 

5. Jangan berputus harap dari mereka yang telah lama terjerumus dalam dosa-dosa besar dan perbuatan yang keji seperti zina, merompak dan minum arak. Oleh itu, jangan berpaling muka dari mereka atau mengabaikan meraka dari usaha dakwah kerana keterlanjuran mereka yang sekian lama dalam kejahatan.

 

6. Apa yang diperkatakan oleh orang ramai tidak akan merosakkan amal soleh seseorang yang melakukannya dengan ikhlas. Allah taala menilai amal soleh bukan atas dasar apa orang lain kata. Hakikat ini adalah penting bagi kita kerana sering kali kita akan berhadapan dengan celaan dan cemuhan dari pelbagai pihak kerana ketidaksempurnaan usahanya. Tambahan pula, manusia sememangnya tidak dapat dipenuhi segala hasrat dan kehendak mereka.

 

7. Jangan lupa untuk menyertakan doa dalam setiap amal soleh yang dilakukan.