5 – Keterbukaan Pemimpin Dan Disiplin Pengikut

Dari Abi Wail, beliau berkata “….. Kami bersama Rasulullah s.a.w di hari Perjanjian Hudaibiyah. Jika pada hari itu ada kesempatan perang, nescaya kami akan berperang. Umar b. Al-Kahttab lalu datang kepada Rasulullah dan berkata “Wahai Rasulullah! Tidakkah kita berada di atas kebenaran dan mereka berada di atas kebatilan?” Rasulullah s.a.w berkata “Benar.” Umar r.a berkata “Tidakkah yang terbunuh di kalangan kita berada di syurga dan yang terbunuh di kalangan mereka berada di neraka?” Rasulullah s.a.w berkata “Benar.” Umar r.a berkata “Maka kenapakah kita menerima penghinaan yang sedemikian dalam agama kita (menerima Perjanjian Hudaibiyah). Adakah patut kita kembali (ke Madinah), sebelum Allah memutuskan perkara ini antara kita dan mereka?” Rasulullah s.a.w berkata “Wahai Umar! Aku hanyalah seorang Rasul dan Allah pasti tidak akan menyia-nyiakan aku.” Umar lalu berangkat berjumpa Abu Bakar. Dia berkata kepadanya, sebagaimana dia berkata kepada Rasulullah s.a.w. Abu Bakar berkata “Dia hanyalah seorang Rasul. Allah pasti tidak akan menyia-nyiakan dia.” Lalu turun surah Al-Fath. Rasulullah s.a.w membacakannya kepada Umar r.a sehingga akhirnya. Lalu Umar r.a berkata “Wahai Rasulullah! Adakah ia satu kemenangan. Rasulullah s.a.w berkata “Ya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

(Bagi memahami konteks hadits di atas, eloklah merujuk kembali kepada sejarah terjadinya Perjanjian Hudaibiyah dari buku sejarah)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Hadits ini mengandungi pelajaran mengenai hubungan antara pemimpin dan pengikut serta tingkah laku dalam organisasi.

 

2. Lihatlah, sikap Umar r.a. Walau pun beliau menghormati Rasulullah s.a.w sebagai seorang Nabi dan sentiasa bersedia untuk mentaatinya tetapi kesemua itu tidak menghalangnya untuk ‘mempersoalkan’ keputusan Rasulullah s.a.w untuk menerima tawaran bagi mengikat Perjanjian Hudaibiyah, atas sangkaan bahawa ia adalah satu perjanjian yang berat sebelah.

 

3. Lihatlah pula sikap Rasulullah s.a.w. Walau pun beliau seorang Nabi, tetapi dia tidak memarahi Umar r.a kerana sikapnya yang ‘mempersoalkan’nya. Beliau s.a.w bersikap terbuka dan berlapang dada. Beliau s.a.w tidak pula cuba membuat-buat alasan untuk membenarkan keputusannya agar dnegan itu tiada pihak yang mempersoalkannya. Sebaliknya, beliau berkata apa yang beliau tahu secara jujur iaitu keputusan itu adalah ketentuan Allah taala, bukan ijtihadnya.

 

5. Tidak salah bagi pengikut untuk bertanya dan mempersoalkan sesuatu keputusan yang dia tidak yakini. Lebih baik seorang pengikut itu ‘persistent’ dalam mempersoalkan sesuatu melalui saluran dan cara yang betul sehingga dia yakin, dari menyimpannya dalam hati kemudian tidak mentaatinya atau mempersoalkan pula di luar saluran yang betul. Namun ini hanya boleh wujud jika di sana ada keterbukaan antara pemimpin dan pengikut.

 

6. Hakikat ini mengajar kita agar mencontohi kepengikutan Umar r.a dan kepimpinan Rasulullah s.a.w.

 

7. Perjanjian Hudibiyah juga mengajar kita untuk mengutamakan maslahat yang lebih besar di masa akan datang dari maslahat kecil yang dekat dan berkeupayaan untuk melihat jauh.

 

8. Kita juga mestilah sentiasa berbaik sangka terhadap janji Allah taala. Perjanjian Hudaibiyah membuktikan bahawa Allah taala tidak sekali-kali mengkhianati janjiNya kepada hamba.