50 – Kebaikan Bukan Datang Dari Umat Islam Sahaja

Ibn Abbas r.a berkata “Rasulullah s.a.w telah sampai ke Madinah. Lalu beliau melihat orang-orang Yahudi berpuasa hari Asyura. Beliau lalu bertanya “Apakah ini?”. Mereka berkata “Ini adalah hari yang baik, hari yang mana Allah telah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka. Lalu Musa berpuasa (pada hari berkenaan).” Rasulullah s.a.w bersabda “Aku lebih utama terhadap (untuk memperingati) Musa dari kamu.” Beliau lalu berpuasa hari berkenaan dan memerintahkan agar semua berpuasa.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim, Rujuk Al-Lu’lu’ wa Al-Marjan, hadits no 692)

Petunjuk-petunjuk

1. Islam melarang umatnya dari mencontohi penganut agama lain. Bahkan terdapat banyak dalil dalam hadits-hadits yang menganjurkan agar umat Islam membezakan dirinya dari penganut agama lain. Hal ini dilakukan dengan tujuan memelihara kesucian akidah dan ibadah umat Islam dan membina imej yang tersendiri. Mempunyai sifat perihatin dalam persoalan ini adalah penting kerana ia berkait langsung dengan persoalan kemurnian akidah, kebenaran ibadah dan ketulusan akhlaq.

2. Namun ini tidak bermakna bahawa umat Islam tidak boleh sama sekali mengambil sesuatu dari penganut agama lain. Tidak benar pula untuk mempunyai persepsi bahawa tiada sesuatu sama sekali yang dapat diterima dari penganut agama lain. Hadits di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w mengambil apa yang baik dari amalan Ahli Kitab dan menjadikannya sebahagian dari sunnah beliau yang wajar diikuti.

3. Hadits di atas mengajar kita apa yang ditolak dari penganut agama lain bukan kerana semata-mata ia datang dari agama yang menyalahi Islam tetapi kerana amalan berkenaan bercanggah dengan prinsip Islam. Tiada kesalahan untuk menggunapakai sesuatu yang mempunyai kebaikan yang tidak bercanggah dengan Islam.

4. Hadits di atas merupakan tindakan Rasulullah s.a.w memperakui amalan ritual Ahli Kitab hingga menjadi sebahagian dari syariat Islam. Ini adalah sesuatu yang merupakan kuasa tasyri’ yang dimiliiki oleh Rasulullah s.a.w tetapi tidak dimiliki oleh manusia lain. Walau pun pada hari ini, tiada manusia yang mempunyai kuasa tasyri’ untuk memperakui amalan ritual penganut agama lain, namun ini tidak bermakna tiada sesuatu kebaikan yang boleh diterima dari mereka lagi kerana kebaikan itu wujud bukan hanya pada aspek ritual semata-mata.

5. Hadits ini juga mengajar bahawa Islam itu tidak datang untuk menghapus segala yang lalu atau menghapus segala yang bukan berasal darinya. Ia bukan datang untuk meruntuhkan segala yang ada dan membina di atasnya sesuatu yang baru sama sekali. Sebaliknya, Islam datang membawa syariat yang mana sebahagiannya adalah baru dan sebahagian yang lain merupakan penerusan dari syariat yang lalu. Selain itu, ia juga memelihara adat dan apa jua yang baik yang telah sedia ada yang sejajar dengan prinsip syariatnya.

6. Oleh itu, kita tidak seharusnya membawa dakwah yang menonjolkan imej ancaman terhadap apa jua yang bukan berasal darinya atau yang bukan berasal dari Islam sehingga orang lain merasa terancam dengan kehadirannya atau merasa terasing darinya sama sekali.

7. Bagi memelihara jatidiri umat Islam, sememangnya wujud sifat-sifat eksklusif dalam syariatnya. Namun ini tidak bermakna bahawa di sana tiada sifat-sifat inklusif dalam Islam sama sekali. Hadits di atas merupakan asas kepada sifat inklusif Islam iaitu walau pun di sana terdapat perbezaan fundamental antara Islam dan agama lain, namun di sana juga terdapat titik persamaan. Janganlah sampai titik perbezaan menyebabkan mata kita terlindung dari melihat titik persamaan atau menafikannya.

8. Memahami hakikat ini adalah penting kerana hanya dengan mengakui titik persamaan dan berkeinginan untuk bersama dalam persamaan ini, jembatan dialog dan perbincangan antara penganut agama dapat dibina.