Pelajaran 92 – Hendaklah Bersikap Optimis, Tidak Menangguh Untuk Melakukan Kebaikan

Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Jika hari Kiamat datang dan di tangan seseorang dari kalian terdapat benih kurma, maka jika ia masih sempat menanamnya sebelum Kiamat tiba, tanamlah benih kurma itu.” (Riwayat Al-Bukhari & Ahmad)

Pelajaran

1. Hadits ini mengajar kita erti komitmen dan nilai beramal untuk dakwah.

2. Kita hendaklah sentiasa berusaha melakukan kebaikan jika terdapat peluang, walau pun esok akan berlaku hari Kiamat.

3. Kita hendaklah beramal untuk kebaikan walaupun kita tahu bahawa kita tidak mungkin akan dapat mengecapi hasil usaha kita di dunia ini. Sesuatu amal kebaikan tidak semestinya diraih manfaat oleh kita yang melakukannya di dunia ini. Namun kita tetap akan meraih kebaikan dari amal berkenaan, jika ia bermanfaat untuk generasi akan datang.

4. Apabila kita beramal untuk kebaikan, keperihatinan utamanya ialah untuk mengecapi hasilnya di akhirat kelak bukan di dunia ini. Maka sebab itu, walau pun Kiamat akan berlaku esok dan dia tahu bahawa kebaikannya itu tidak akan menghasilkan apa-apa kebaikan di dunia, dia tetap dianjurkan untuk melakukan kebaikan itu. Dengan perspektif seperti ini, kita akan kurang merasa kecewa jika usahanya tidak mendatangkan hasil semasa hidup kita.

5. Kita tidak seharusnya menangguh-nangguh amal kebaikan yang dia boleh lakukan. Jika kita dianjurkan untuk terus melakukan sesuatu amal, walau pun Kiamat akan tiba esok, apatah lagi dalam situasi yang bukan seperti itu.

6. Kita hendaklah merebut peluang untuk melakukan kebaikan sekecil mana sekali pun seperti menanam benih. Kita tidak harus memandang remeh sesuatu amal kerana menganggap ia adalah amal yang kecil.

7. Hadits ini juga mengajar kita agar bersifat optimis, walau pun akan berhadapan dengan Kiamat pada esok hari.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.