Pelajaran 93 – Hendaklah Berupaya Untuk Hidup Dalam Ketidaksempurnaan

Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Wanita itu bagaikan tulang rusuk yang melengkung, jika kau paksa untuk meluruskannya pasti ia akan patah. Jika kau ingin bersuka-suka dengannya, kau harus bersuka-suka dalam keadaan ia tetap melengkung.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Tujuk kitab Al-Lu’lu’ Wa Al-Marjan, hadits no. 933)

Pelajaran

1. Hadits ini mengajar kita satu sikap yang penting dalam menjalankan tugas dakwah dan dalam menghadapi masyarakat iaitu keupayaan untuk berada dan hidup dalam ketidaksempurnaan.

2. Semangat kita yang membara seringkali mendorong untuk mencapai kesempurnaan. Kerana mahukan ihsan dalam kerja, kita menjadi kurang toleran kepada ketidaksempurnaan. Kerana inginkan kesempurnaan, dia sentiasa gopoh dan bersegera untuk merealisasikannya. Sedangkan ketidaksempurnaan itu adalah satu realiti.

3. Kebijaksanaan sebenarnya bukan terletak dalam keupayaan untuk mencapai kesempurnaan tetapi pada keupayaan untuk hidup bersama ketidaksempurnaan.

4. Hakikat ini digambarkan oleh Rasulullah s.a.w ibarat seorang yang diberi tulang rusuk yang sifat semulajadinya itu bengkok. Jika dia memaksa untuk meluruskannya, nescaya akan mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan. Usaha untuk meluruskan tulang itu samalah ibarat mengharapkan kesempurnaan pada seseorang atau masyarakat. Ia adalah satu harapan yang tidak realistik dan jika dipaksa hanya akan mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan.

5. Bersikap realistik dan praktikal, bukanlah bermakna kita berdiam diri dan pasif dengan persekitaran kita. Ketidaksempurnaan harus dibaiki tetapi mestilah realistik dan praktikal.

6. Sehingga sesuatu itu dapat diubah dengan usaha yang dilakukan, kita hendaklah bersabar dengan realiti yang ada. Rasulullah s.a.w mengajar bahawa kekuatan dan kegagahan yang sebenar bukan terletak pada keupayaan untuk berlawan (berkonfrontasi) tetapi terletak pada keupayaan untuk mengawal diri dalam menghadapi situasi yang mencabar. Ertinya, istiqamah dengan sifat asasi Islam yang sentiasa praktikal dan realistik.

7. Antara faktor yang membantu untuk membolehkan kita untuk hidup dalam ketidaksempurnaan ialah keupayaan untuk memaafkan ketidaksempurnaan berkenaan.

8. Kalau sorang suami tidak mampu untuk hidup dengan sifat ‘bengkok’ isteri, natijahnya ialah timbulnya tekanan dalam diri, ketegangan dalam hubungan, konflik dan akhirnya perceraian.

9. Demikianlah juga jika kita tidak mampu hidup dengan sifat ‘bengkok’ rakan-rakan seperjuangan, kita sendiri akan stres, organisasi akan disibukkan dengan konflik dalaman, hubungan sesama rakan seperjuangan akan tegang yang akan menjejas usaha dakwah dan akhirnya perpecahan dan mufaraqah.

10. Begitulah juga yang akan berlaku jika sikap yang sama diterapkan dalam hubungan dengan masyarakat.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.