Pelajaran 94 – Bercampur Manusia Lebih Utama Dari Menyendiri

Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Seorang mukmin yang bercampur dengan manusia dan bersabar atas kejahatan mereka lebih besar ganjaran untuknya dari mereka yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar atas kejahatan mereka.” (Riwayat Ibn Majah)

Diriwayatkan bahawa seorang sahabat bernama Abu Nu`aim telah masuk Islam. Apabila dia ingin berhijrah, kaumnya merayunya dari berhijrah kerana dia sebelum ini memberi sumbangan untuk menjaga anak-anak yatim dan janda-janda yang ada bersama kaumnya dengan janji bahawa kaumnya akan membela dia dari gangguan orang lain. Dia menangguhkan hijrahnya sehingga satu masa yang lain. Setelah beliau berhijrah ke Madinah beliau menceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

“Kaumku telah menghalauku dan mahu membunuhku. Sedangkan kaummu memelihara dan membela kamu.” (Riwayat Ibn Sa`ad dalam kitab At-Tabaqat (4/138), Al-Qurtubi dalam Al-Isti`ab (Hamisy Al-Isabah) (3/527), Ibn Atsir dalam Usud Al-Ghabah (4/570) dan Ibn Hajar dalam Al-Isabah (3/538))

Seorang sahabat bernama Fudaik telah berkata kepada Rasulullah s.a.w “Sesungguhnya orang ramai mendakwa bahawa sesiapa yang tidak berhijrah akan hancur.” Berkata Rasulullah s.a.w,  “Wahai Fudaik! Dirikan solat, keluarkan zakat, jauhilah kejahatan dan tinggallah di tempat kaummu di mana kamu suka.” Fudaik berkata, “Aku agak Rasulullah s.a.w juga berkata, “Kamu jadi seorang yang berhijrah.” (Riwayat Ibn Hibban dan Al-Baihaqi)

Pelajaran

1. Hadits-hadits di atas memberi pengajaran kepada kita bahawa kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat bukan Islam atau di tengah-tengah masyarakat yang tidak menghayati Islam bukanlah sesuatu yang secara prinsipnya dicela oleh Islam. Sebaliknya ia boleh menjadi sumber peluang bagi memperoleh kebaikan yang banyak bagi sesiapa yang bersifat positif dan mahu meraihnya sebagaimana yang dinyatakan dalam hadits pertama.

2. Hijrah dan uzlah tidak semestinya sesuatu yang lebih utama di zaman ini, masa yang dikatakan sebagai akhir zaman yang penuh fitnah. Hijrah dan uzlah hanya digalakkan bagi sesiapa yang tertindas sehingga tidak mampu untuk mengamalkan agamanya serta takut akan keimanannya kerana Islam secara dasarnya adalah agama dakwah dan perjuangan bukan agama yang mempromosi sifat menyendiri.

3. Apabila Rasulullah s.a.w menggalakkan hidup di tengah manusia ia juga bermakna satu anjuran untuk melakukan engagement dengan golongan bukan Muslim atau yang tidak menghayati Islam. Dalam melakukannya, pastilah kita akan menghadapi pelbagai kerenah, kejahatan dan kesulitan. Cara mudah ialah untuk mengelakkan atau menjauhkan diri sama sekali. Namun hadits berkenaan memberi perspektif yang positif kepada mereka yang berani menghadapi cabaran berkenaan dan bersabar dan lebih penting lagi meletakkan golongan ini sebagai kelompok yang lebih baik dari mereka yang menjauhi situasi berkenaan dan tidak mahu bersabar.

4. Dari kacamata yang realistik, untuk hidup di tengah-tengah manusia yang tidak Islamik atau engagement dengan golongan bukan Muslim pastinya sukar bagi kita untuk mengelak sama sekali dari tempiasan segala kejahatan berkenaan. Islam sebagai satu agama yang realistik pastinya mengiktiraf realiti ini. Maka oleh itu, ia hanya menuntut dari kita agar bertakwa kepada Allah taala semampu kita sahaja. Atas dasar ini jugalah penting bagi kita untuk mempunyai dan mempertingkatkan amal-amal peribadinya secara konsisten agar ia menjadi pencuci bagi segala tempiasan berkenaan.

5. Oleh itu, mereka yang memilih untuk berada di luar dari tengah-tengah manusia atau di tengah-tengah kejahatan tidak seharusnya merasa dirinya lebih suci dari mereka yang yang berada di tengah-tengah manusia dan kejahatan.

6. Walaupun masyarakat bukan Muslim tidak menyediakan suasana kehidupan Islam sepenuhnya bagi menghayati Islam secara sempurna, namun kita tidak semestinya menghadapi masyarakat berkenaan dengan sifat kebencian, permusuhan (hostile) dan antagonisme kerana masyarakat berkenaan bukan semuanya sama dan setaraf.

7. Dalam keadaan permusuhan yang kuat oleh masyarakat Mekah yang bukan Muslim terhadap masyarakat Muslim di Madinah, namun ia tidak mengaburkan mata Rasulullah s.a.w untuk menyamakan semua kabilah Arab atau masyarakat bukan Muslim dengan pandangan atau layanan yang sama. Ini dapat dilihat dalam hadits kedua dan ketiga. Ini memberi pengajaran akan sifat objektif dan seimbang yang perlu sentiasa dipegang oleh kita. Kita hendaklah tidak membiarkan emosi mempengaruhi pendirian kita.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.