Islam Melarang Pelampauan 2

(Nota: Artikel ini dipetik dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2007)

 

Ciri-ciri Pelampaun Dalam Islam

 

Antara ciri-ciri melampau yang boleh dipetik dari Al-Quran dan Sunnah ialah;

 

1.   Mengambil ringan dan mencuaikan perintah agama atau menyulit dan memberatkan urusan agama.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang kau beri nikmat ke atas mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai ke atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang sesat.” (Al-Fatihah : 6 – 7)

 

Ulama tafsir telah menerangkan bahawa yang dimaksudkan dengan golongan mereka yang dimurkai ialah kelompok Ahli Kitab yang meringan dan mencuaikan perintah agama dan yang sesat ialah kelompok Ahli Kitab yang menyulit dan memberatkan perintah agama.

 

2.   Kelompok Al-Mutanattiun.

 

Kelompok ini disebut dalam hadits Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

“Musnahlah mereka Al-Mutanattiun” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

 

Imam An-Nawawi mengertikan Al-Mutanattiun sebagai mereka yang suka mendalam dalam sesuatu perkara, yang berlebih-lebih dan melampau batas dalam kata-kata dan perbuatan[1].

3.   Mereka yang suka memberat-berat ke atas diri.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya agama ini mudah dan tidak ada sesiapa yang menyulitkan agama ini kecuali dia akan dikalahkan olehnya.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Rasulullah s.a.w menggandingkan sifat sederhana dengan larangan memberatkan dalam urusan agama. Ini memberi pengajaran bahawa antara ciri mereka yang melampau (tidak sederhana) ialah yang suka memberatkan urusan agama.

 

Jenis-jenis Pelampauan

 

Pelampauan boleh dibahagi kepada dua jenis[2];

 

a.   Pelampauan dalam persoalan pokok dan aqidah. 

b.   Pelampauan dalam persoalan juz`ii dan amali.

 

Pelampauan pokok ialah yang berkaitan dengan kuliiyat syariah dan persoalan kepercayaan. Contoh pelampauan dalam aspek ini ialah menyandarkan sifat maksum kepada makhluk selain para anbiya’, mengkafirkan orang Islam kerana melakukan dosa dan memerangi orang Islam.

 

Pelampauan juz`ii ialah pelampauan dalam persoalan cabang syariat dalam aspek amalan ibadah. Contoh pelampauan seperti ini ialah tidak mahu bernikah, bersolat sepanjang malam tanpa tidur dan bersedekah sehingga mengabaikan nafkah keluarga.

 

Berdasarkan pembahagian ini dapat disimpulkan seperti berikut;

 

a.      Ada pelampauan yang mendatangkan mudarat kepada umat Islam umumnya. Ada pula pelampauan yang hanya memudaratkan individu berkenaan sahaja. 

b.      Pelampauan itu berbeza keseriusannya dan bertingkat-tingkat. Oleh itu, menanganinya memerlukan perhatian akan tahap keseriusan dan tingkat pelampauannya.

c.      Pelampaun juz`ii dan amali terkadang bersifat subjektif. Ia mungkin melampau bagi individu tertentu dan dalam keadaan tertentu tetapi tidak melampau bagi individu lain dan dalam keadaan yang lain. Oleh itu, kadangkala tidak boleh memukulrata hukum ke atas pelampau dan perbuatan yang melampau. 

d.      Ada pelampauan yang menyebabkan terkeluar dari agama dan ada yang hanya merupakan maksiat sahaja. 

e.      Ada pelampauan yang bersifat pemikiran semata-mata, ada yang bersifat pemikiran dan menghasilkan tindakan amali dan ada pula yang hanya bersifat amali sahaja. Memahami ini membantu untuk menangani pelampauan sesuai dengan hakikatnya kerana mengatasi masalah pemikiran berbeza dengan mengatasi masalah dalam beramal.

f.        Pelampauan juz`ii dan amali jika meluas kepada ramai individu yang menimbulkan mudarat kepada umum, mengubah sifatnya kepada pelampauan kully kerana keseriusannya.

g.       Ada pelampauan yang didokong oleh sekumpulan atau jamaah, ada pelampauan yang dilakukan secara individu. Ada pelampauan yang dilakukan secara individu tetapi pada jumlah yang kecil ada pula yang dilakukan pada jumlah yang ramai.



[1] Dinukil dari Abdul Rahman b.Mu`alla Al-Luwaihiq, Al-Ghuluw Fi Ad-Din Fi Hayat AlMuslimin Al-Mu`asirah,  ms 68. Lihat An-Nawawi, Syarh Muslim, Dar Ihya’ At-Turats Al-`Arabi, Beirut, 1392H, juz 16, ms 220.

[2] Abdul Rahman b.Mu`alla Al-Luwaihiq, Al-Ghuluw Fi Ad-Din Fi Hayat Al-Muslimin Al-Mu`asirah, ms 70-72.