Membahas Isu Negara Islam (Bah. 1)

Penegakan sebuah negara Islam merupakan agenda penting bagi kumpulan pelampau dan pengganas, walaupun bukan semua kumpulan yang mahu menegakkan negara Islam boleh dikategorikan sebagai pelampau atau pengganas.

Atas dasar itu, artikel dibawah ditulis untuk membahaskannya.

Wajib Menegak Negara Islam : Satu Tafsiran Yang Muktamad?

Terdapat sekelompok yang signifikan dari kalangan Muslim berkeyakinan bahawa mendirikan negara Islam bukan hanya satu kewajiban ke atas setiap Muslim, tetapi juga merupakan satu prinsip dalam akidah Islam yang tidak  boleh digugat dan dikompromi.

 

Pada pandangan mereka, seorang Muslim yang tidak mempunyai keyakinan sedemikian atau mencabar kewajiban berkenaan, menanggung risiko melakukan perkara-perkara yang membatalkan pengakuan shahadah mereka. Ini adalah satu dakwaan yang serius yang boleh mengakibatkan seseorang dihukum sebagai murtad atau jatuh dalam kekufuran.

 

Hujah yang paling kuat yang dapat dikemukakan oleh golongan ini untuk menyokong pandangan di atas ialah ayat Al-Quran yang bermaksud,  “… dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah Allah turunkan, maka sesungguhnya dia tergolong dalam golongan orang-orang kafir.” (Al-Maidah: 44).

 

Golongan ini berhujah bahawa ayat di atas mewajibkan umat Islam untuk berhukum dengan syariah Allah taala. Jika tidak, mereka boleh jatuh dalam kekufuran. Mereka berpendapat bahawa perintah untuk berhukum dengan syariah Allah tidak akan dapat dilaksanakan sepenuhnya kecuali jika di sana terdapat sebuah institusi politik yang dikuasai oleh Muslim. Sebagai contoh, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali oleh seorang penguasa Muslim. Oleh itu, wajib mencapai tampuk kuasa – mendirikan negara Islam. Mereka mendasarkan hujah mereka pada kaedah yang diterimapakai oleh para ulama yang berbunyi, “ma la yatimmul wajib illa bihi, fahuwa wajib” (apabila sesuatu kewajiban tidak dapat disempurnakan kecuali melalui sesuatu perkara, maka melakukan perkara itu juga menjadi wajib). Dalam hal ini, mendirikan negara Islam menjadi satu kewajiban yang berkait rapat dengan kesempurnaan iman seseorang kerana ia merupakan wasilah bagi pengamalan syariah sepenuhnya yang merupakan manifestasi  bagi sifat ubudiyah kepada Allah taala.

 

Namun penilaian yang kritikan terhadap hujah-hujah golongan ini menunjukkan bahawa  hakikatnya tidak terdapat pernyataan yang jelas dalam Al-Quran atau hadits yang  menghasilkan satu hukum qat’ii (muktamad) yang menghasilkan kewajiban berkenaan.  Apa yang boleh disimpulkan ialah hujah golongan ini hanyalah merupakan satu tafsiran dari pelbagai tafsiran yang boleh dibuat. Dakwaan bahawa kewajiban ini merupakan satu kewajiban yang tidak boleh dicabar dan bahagian yang tidak boleh dipisah dari akidah seorang Muslim tidaklah tepat.

 

Hal ini adalah kerana jika dinilai dari perspektif metodologi pengajian Islam yang diterimapakai oleh para ulama, akan didapati bahawa mereka telah bersetuju bahawa isu yang tidak mempunyai hukum yang qat’ii (muktamad) dari Al-Quran atau hadits akan pasti mempunyai kepelbagaian pandangan mengenainya, kecuali jika para ulama berijma’ (konsensus) mengenainya. Namun, tidak ditemukan dalil pula akan wujudnya ijma’ ulama dalam persoalan yang dibincangkan.

 

Jika ditinjau pada pelbagai hukum yang terdapat dalam fiqh, akan didapati pula hukum-hukum yang tidak selari dengan kaedah fiqh yang dinyatakan di atas tadi. Sebagai contoh, zakat dan haji merupakan sebahagian dari rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan. Namun, tidak ditemukan pendapat para ulama yang mewajibkan setiap Muslim untuk menyimpan wang semata-mata untuk menunaikan kedua-dua kewajiban tadi kerana menyimpan wang adalah jalan bagi menunaikan satu kewajiban. Ulama tidak menghukum seorang Muslim yang gagal menyimpan wang setiap tahun untuk menunaikan zakat yang wajib sebagai berdosa. Atas dasar ini, penggunaan kaedah fiqh di atas untuk mentafsirkan ayat 44, surah Al-Maidah tidak menghasilkan satu hukum yang qat’ii (muktamad) dalam isu ini kerana isu penegakan negara Islam bukan hanya boleh dilihat dari pespektif kaedah itu tetapi boleh juga dilihat dari perspektif kewajiban zakat dan haji. Oleh kerana kedua pandangan di atas merupakan tafsiran, maka kedua-duanya tidak dapat dikatakan sebagai muktamad.

 

Kelompok yang berkeyakinan akan wajibnya menegakkan negara Islam berhak untuk berpegang pada tafsiran yang mereka yakini, namun untuk mengatakan bahawa tafsiran mereka sebagai satu hukum yang muktamad adalah tidak betul, bahaya dan perlu diperbetulkan.

 

Menetapkan kewajiban menegakkan negara Islam sebagai satu prinsip akidah yang tidak boleh dicabar adalah tidak betul kerana ia tidak mempunyai dasar dalam metodologi fiqh yang dipegang oleh para ulama. Perbezaan pendapat samada mendirikan negara Islam itu wajib atau tidak lebih tepat dikatakan sebagai satu masalah yang dikatakan oleh para ulama sebagai majal al-khilaf – ruang ijtihad yang diperbolehkan berlaku perbezaan pendapat. Dalam hal ini, kaedah fiqh yang sepatutnya dipakai ialah, la inkar fi masail al-ijtihad (tidak boleh dihukumkan munkar pandangan dalam soal yang dibenarkan berlaku ijtihad).

 

Pandangan berkenaan juga boleh berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan seseorang jatuh dalam tindakan takfir – menghukum orang lain sebagai kafir. Tindakan takfir bukana hanya mencetus polarisasi dalam umat Islam tetapi juga satu kesalahan yang besar kerana penentuan samada individu atau organisasi telah terkeluar dari Islam hanya boleh dilakukan oleh institusi pengadilan Islam yang layak. Jika penguasa berkenaan tidak ada, kuasa itu tidak boleh dipindahkan kepada mna-mana pihak yang lain. Pengalaman masa kini menunjukkan betapa ramai dari kalangan umat Islam yang telah jatuh dalam pelampauan dan pengganasan disebabkan fahaman takfir yang mereka pegang yang juga berkaitan dengana soal penegakan negara Islam.

 

Kesimpulanannya, Islam membenarkan Muslim untuk berbeza pendapat dalam soal hukum menegakkan negara Islam dan perbezaan pendapat dalam persoalan ini tidak seharusnya menatijahkan permusuhan apatah lagi sehingga menyesatkan pihak yang lain.

 

Walaupun artikel ini mengemukan pandangan bahawa hukum mendirikan negara Islam boleh disimpulkan juga sebagai tidak semestinya wajib, tetapi ia tidak menyarankan bahawa menegakkan negara Islam dalah haram atau bid`ah. Ia hanya bermakna bahawa Muslim yang berpegang dengan pandangan tiada pemisahan antara Islam dan politik mempunyai pilihan yang lebih luas untuk membangun satu model yang membolehkan Islam berperanaan secara positif dalam politik dan pembangunan negara.

 

Hakikatnya, kuasa politik tidak mempunyai kaitan yang langsung dengan kewajiban seorang Muslim untuk hidup berdasarkan syariah. Muslim berkewajiban untuk hidup berdasarkan syariah dalam semua keadaan, tanpa kira samada mereka berkuasa atau tidak. Namun, syariah mestilah difahami dalam erti kata yang luas yang meliputi aspek akidah, akhlaq, nilai, ibadah dan bukan semata-mata satu kod undang-undang yang wajib dikuatkuasakan. Tambahan pula, Islam tidak menetapkan bahawa semua yang terkandung dalam syariah itu wajib dikuatkuasakan dalam bentuk undang-undang. Selain itu, kewajiban untuk hidup berdasarkan syariah bukan satu kewajiban yang mutlak, tidak bersyarat kerana Al-Quran menetapkan, “Dan bertakwalah kepada Allah sekadar kemampuan kamu.” (At-Taghabun : 16). Oleh itu, segala usaha seorang Muslmi mestilah realistik dan mengambil keterbatasan yang ada.

 

Tambahan pula, kuasa politik dalam bentuk sebuah negara Islam tidak menjamin umat Islam dapat hidup sepenuhnya berdasarakn syariah kerana keterbatasan akan tetap ada dalam bentuk-bentuk yang lain kerana ia adalah hakikat semulajadi alam yang Allah cipta. Atas dasar itu, hidup sebagai seorang Muslim berdasarkan keterbatasan yang ada adalah satu kemestian dan tidak menjadikannya rendah di mata Allah taala.