Membahas Isu Negara Islam (Bah. 2)

Ke Arah Mewujudkan Satu Indeks Pemerintahan Yang Islamik

 

Sejak dua puluh tahun yang lalu setelah berlakunya Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979, fenomena mempolitikkan Islam dan mengIslamkan politik menjadi semakin menyerlah. Hakikat ini dapat dilihat di negara-negara seperti Malaysia, Mesir, Indonesia dan Jordan. Salah satu isu yang muncul dari perkembangan ini ialah mengenai sifat sebuah pemerintahan yang dikatakan Islamik.

 

Ramai Muslim berkeyakinan bahawa Islam adalah satu agama yang bersifat komprehensif yang mengurus segala aspek kehidupan manusia tanpa ada pemisahan antara satu dengan yang lain. Berbeza dengaan sekularisme, Islam tidak memisahkan agama dengan urusan kemasyarakatan dan negara.

 

Muslim yang berkeyakinan seperti ini boleh dibahagikan secara umum kepada dua kelompok. Kelompok pertama melihat secara positif peranan agama dalam politik dan urusan masyarakat tetapi tidak berpendapat bahawa penegakan sebuah negara Islam sebagai satu kewajiban agama. Mereka berhujah bahawa Islam tidak menetapkan apa-apa bentuk institusi politik bagi penganutnya. Oleh itu, Muslim bebas untuk menggunakan apa jua sistem yang ada selama mana ia tidak bercanggah dengan dasar pemerintahan dalam Islam – menegakkan keadilan di muka bumi. Mereka juga berhujah bahawa Allah taala telah melantik manusia sebagai khalifah iaitu wakilnya di muka bumi. Oleh kerana sifat semulajadi manusia itu menghasilkan kepelbagaian, maka memutuskan sesuatu berdasarkan keputusan majoriti adalah penting dan wajar. Atas dasar itu, sistem demokrasi adalah sistem yang baik untuk digunapakai dalam urusan kenegaraan. Namun sistem demokrasi juga tidak semestinya bersifat bebas dari apa jua nilai dan agama boleh diiktiraf sebagai asas bagi sebuah pemerintahan yang berteraskan nilai. Satu contoh dalam hal ini ialah negara Malaysia. Pada zaman pemerintahan Mahathir, polisi Penerapan Nilai-nilai Islam dilancarkan. Ia adalah polisi yang mahukan nilai-nilai Islam yang universal diterapkan sebagai budaya kerja sebuah kerajaan yang efisyen dan bersih. Sejak dari masa itu, pelaksanaan polisi-polisi yang pro-Islam begitu rancak di Malaysia sehingga hari ini, dengan mengambil peluang dari jaminan perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan dan undang-undang Islam tertentu serta institusi-institusi Islam boleh dijalankan dan disokong oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam Malaysia.

 

Kelompok kedua ialah golongan yang dikenali sebagai Islamis. Kelompok ini bukan hanya berpendapat bahawa Islam dan politik tidak dapat dipisahkan tetapi berkeyakinan bahawa penegakan negara Islam adalah kewajiban setiap Muslim di mana pun mereka berada. Walaupun terdapat perbezaan di kalangan mereka mengenai konsep negara Islam tetapi rata-rata mereka bersetuju dengan dua asas berikut a) negara berkenaan dipimpin oleh seorang Muslim b) syariah merupakan asas tunggal bagi undang-undang. Golongan ini berpendapat bahawa negara Islam mestilah sebuah negara yang melaksanakan syariah sepenuhnya dalam semua aspek kehidupan yang meliputi syariah hudud dalam undang-undang jenayah dan pemansukhan riba dalam amalan ekonomi.

 

Walau pun tahap sokongan yang diberi kepada parti yang beroientasikan Islam berbeza dari sebuah negara ke sebuah negara yang lain, jumlah mereka yang berpendapat bahawa agama Islam sepatutnya memainkan peranan positif dalam urusan negara semakin meningkat, sugguhpun secara umum masih kecil.

 

Peningkatan kelompok Muslim ini mewujudkan satu pasaran yang besar bagi persaingan antara dua pendapat yang dinyatakan di atas. Malangnya kedua pandangan yang dinyatakan tidak dapat menawarkan kelompok Muslim ini pilihan yang terbaik kerana kedua pandangan itu tidak dapat mewakili sepenuhnya sifat komprehensif syariah Islam yang dipegangi oleh mereka.

 

Walaupun pandangan pertama menegaskana peranan penting agama dalam urusan kenegaraan, ia tidak mempunyai visi yang jelas akan bagaimana ia dapat dilaksanakan seperti perincian yang menggambarkan karakteristik sebuah negara yang berorientasi atau berinspirasikan Islam. Penegasannya bahawa model insitusi politik kontemporari yang bersifat demokratik dan berteraskan negara Westphalian dapat diterima dalam Islam boleh dianggap semata-mata tunduk dan menyerah kalah kepada idea yang datang dari Barat yang mempunyai sejarah dan tradisi yang berbeza dengan umat Islam. Kritikan yang hebat dari kelompok Islamis pula sering kali menjadikan panadangan kelompok ini sukar diterima oleh umat Islam. Selain itu, Muslim juga percaya bahawa tradisi dan ajraan Islam cukup kaya untuk membolehkan mereka membangun satu sistem yang unik dan moden melalui sintesis idea-idea yang ada. Dalam erti kata lain, prinsip-prinsip Islam boleh digunakan untuk menjadikan sistem yang sedia ada lebih baik. Oleh itu, hanya dengan mengakui sistem yang ada sebagai Islamik tidak menunjukkan potensi sebenar ajaran Islam untuk menyumbang bagi kebaikan manusia sejagat.

 

Pandangan kelompok Islamis pula adalah simplistik. Ia tidak memberi gambaran sebenar ajaran Islam yang meliputi aspek nilai dan moral seperti keadilan, integriti, kesamaan, pembangunan ekonomi dana kemakmuran rakyat. Sebaliknya, ia menggambarkan syariah hanya sebagai satu kanun undang-undang yang perlu dikuatkuasakan semata-mata. Cukup hanya satu kriteria tidak dipenuhi, sebuah negara itu dianggap sebagai bukan negara Islam walapun ia mengamalkan pemerintahan yang bersih, adil dan berupaya untuk mewujudkan kemakmuran dunia bagi rakyatnya.

 

Pandangan yang seperti ini tidak sejajar dengan realiti hari ini yang bersifat kompleks. Sebagai contoh, banyak negara-negara Barat mempunyai banyak sifat-sifat dan nilai-nilai yang sejajar dengan ajaran Islam walaupun ia tidak memenuhi kedua kriteria yang ditetapkan oleh golongan Islamis. Sedangkan keadilan Islam menuntut bahawa kewujudan aspek-aspek yang bersesuaian dengan Islam diakui, walaupun dua syarat tadi tidak dipenuhi. Islam menuntut agar Muslim bukan hanya mendedahkan kemunkaran tetapi juga mengakui apa yang sememangnya baik (makruf).

 

Satu alternatif bagi kedua pandangan yang dinyatakan di atas ialah dengan mewujudkan perspektif mengenai sifat keIslaman sebuah negara melalui kaedah indeks, yang buat masa ini, boleh dinamakan sebagai indeks pemerintahan yang berteras Islam. Konsepnya sama seperti pelbagai indeks yang sedia ada hari ini bagi mengukur pencapaian ekonomi, tahap persaingan, amalan demokrasi, penjagaan hak-hak asasi manusia, amalan rasuah dan lain-lain bagi sesebuah negara.

 

Indeks ini harus mempunyai karakteristik yang terperinci bagi sebuah pemerintah untuk dianggap sebagai berteras Islam. Ia harus menjangkau dua kriteria yang dikemukakan oleh kelompok Islamis dan memberi nilai tambah kepada sistem demokrasi yang diamalkan sekarang ini. Ia juga harus mengandungi sistem pemarkahan yang meliputi nilai pemberatan (weigthage) untuk karakter yang berlainan atau katagori karakter yang berlainan. Natijah dari sistem ini ialah pemarkahan dalam bentuk peratusan bagi menunjukkan kadar keIslaman sebuah negara yang diukur.

 

Pendekatan ini sejajar dengan sifat syariah yang komprehensif dan juga meraikan kerumitan (complexity) realiti hari ini. Natijah akhir dari pendekatan ini akan mampu untuk merubah minda Muslim dari melihat isu ini melalui perspektif ‘hitam atau putih’ semata-mata. Indeks ini dapat membantu Muslim melihat sebuah negara dalam bentuk, sebagai contoh, 70 peratus Islamik dan 30 peratus tidak Islamik dan bukan melihatnya sebagai Islamik atau tidak Islamik semata-mata.

 

Walau pun indeks ini amat berguna bagi mengukur negara-negara umat Islam, namun ia juga boleh digunakan bagi mengukur negara-negar bukan Muslim. Dalam hal ini, bukan satu yang mengejutkan jika didapati dari penilaian melalu iindeks ini bahawa sebahagian negara bukan Muslim mendapat nilai yang lebih baik dari sebahagian negara umat Islam sendiri. Sebagai contoh, Singapura mungkin lebih Islamik dari apa yang disangka oleh Muslim itu sendiri.

 

Indeks ini dan hasilnya akan dapat memberi gambaran yang lebih jelas mengenai apa yang telah dicapai oleh sebuah negara sejajar dengan ajaran Islam. Oleh kerana usaha memerintah negara adalah usaha manusia yang tidak akan bersifat sempurna, indeks ini juga membantu untuk mewujudkan harapan yang lebih realistik terhadap sebuah negara kerana tidak wajar sebuah negara yang mencapai nilai keIslaman sebanyak 70 peratus dianggap sebagai tidak Islamik semata-mata kerana kelemahan 30 peratusnya. Dengan karakterisik yang terperinci dan jelas, indeks ini berguna untuk memberi petunjuk pada daearah-daerah yang perlu dibaiki bagi negara yang mendapat marakah rendah dari yang memuaskan.

 

Bolehlah dihujahkan di sini bahawa pendekatan indeks ini akan membantu untuk mewujudkan rekonstruksi pemikiran dalam minda Muslim dalam mencari sebuah negara yang sesuai dengan keyakinan agamanya. Ia juga membina pandangan yang lebik inklusif terhadap apa yang dinilai sebagai Islamik dan apa yang tidak Islamik yang mana ia berpotensi untuk mewujudkan kewujudan bersama yang harmoni pelbagai kelompok dan penglibatan dalam arena politik yang lebih konstruktif.