Sekadar berkongsi – Badan Islam gesa usah agung pengebom Bali (Berita Harian (Singapura), 12 NOv. 2008)

BADAN ISLAM GESA USAH AGUNG PENGEBOM BALI

Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah sifatkan mereka sebagai pengganas, bukan syuhada atau mujahid

JAKARTA: Dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah, menggesa umat Islam agar berhenti mengagungkan tiga pengebom Bali yang dihukum mati kerana mereka itu pengganas, bukan syuhada atau mujahid.

Menyifatkan Amrozi, 47 tahun; abangnya Ali Ghufron (Mukhlas), 48 tahun; dan Imam Samudra, 38 tahun, sebagai mati syahid hanya akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengikuti jejak mereka menjadi pengebom, kata kedua-dua pertubuhan itu kelmarin.

Menurut NU dan Muhammadiyah, melakukan pengeboman, pembunuhan dan keganasan lain atas nama agama tidak menjadikan pelakunya mati syahid.

Kedua-dua pertubuhan itu berkata tindakan ketiga-tiga pengebom tersebut merosakkan imej Islam sehingga menyebabkan masyarakat dunia mempersoalkan apakah Islam benar- benar menganjurkan keamanan atau keganasan.

‘Menganggap tiga pengebom Bali itu sebagai mujahid atau syuhada adalah satu kesilapan besar. Ia timbul daripada kekeliruan bahawa gelaran serupa itu dapat dicapai melalui pengeboman dan melaungkan kata-kata Allahu Akbar,’ kata timbalan pengerusi NU, Encik Masdar F. Mas’udi, yang ditukil laman web Jakarta Post semalam.

Menurut beliau, pelaksanaan hukuman mati ke atas ketiga-tiga pengebom itu harus dilihat sebagai pelaksanaan hukum qisas (nyawa dibalas nyawa).

‘Berdasarkan hukum qisas, mereka bertiga masih terhutang 199 nyawa. Ini tidak termasuk mangsa yang cedera dan kerosakan yang mereka lakukan terhadap Islam dan umat Islam,’ tambah Encik Masdar.

Pengerusi Muhammadiyah, Encik Din Syamsuddin, pula berkata: ‘Kami menolak semua bentuk keganasan dan pengganasan. Jihad tidak boleh dicapai dengan menyerang orang lain.’ – Agensi.