Sekadar berkongsi – Perangi Pengganasan Dan Fahaman Radikal (Berita Harian (Singapura), 25 April 2008)

Usaha mesti diteruskan kerana ancaman masih belum reda

 

Oleh
Ustaz Mohamed Ali

 

MASYARAKAT Singapura baru sahaja didedahkan dengan perincian bagaimana ketua Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road (WRDC) pada akhir Februari lalu.

 

Selain mendedahkan laporan Jawatankuasa Siasatan (COI), Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri Wong Kan Seng juga telah memberi respons terhadap soalan-soalan yang telah diajukan mengenai insiden ini di Parlimen.

 

Berdasarkan hasil pendedahan beliau, apakah pelajaran dan iktibar yang dapat kita cedok daripada insiden ini?

 

Iktibar pertama yang harus kita ambil ialah hakikat bahawa ancaman pengganasan masih belum reda lagi.

 

Walaupun kita telah berjaya melumpuhkan kumpulan JI di Singapura dan telah memulakan pelbagai inisiatif ke arah membaik pulih keadaan, masih wujud ruang serta keperluan untuk kita mempertingkatkan usaha-usaha kita.

 

Demi menangani ancaman yang berterusan ini, antara sifat-sifat yang perlu kita tanamkan dalam diri kita ialah sifat tidak mudah puas hati serta sentiasa berada dalam keadaan waspada. Sifat-sifat ini harus disuburkan oleh setiap pihak, baik pemerintah, penjaga keamanan mahupun orang awam walaupun keadaan sekeliling kita nampak aman dan selamat serta bebas daripada kekecohan dan kemelut yang menyelubungi sebahagian besar negaranegara lain.

 

Ini didasarkan pada beberapa sebab. Antara sebab utama ialah kita harus faham bahawa kumpulan pengganas seperti JI akan sentiasa memikirkan stategi baru dan memerhati keadaan sekeliling agar dapat memanfaatkan peluang untuk mencapai matlamat mereka.

 

Ini terutama sekali penting dalam keadaan mereka yang terdesak dengan kekurangan sumber dan keupayaan. Oleh itu, kealpaan dan sikap sambil lewa kita, walau sedetik, boleh membawa kesan buruk yang genting dan berpanjangan.

 

Kedua, kesimpulan yang boleh kita ambil daripada tindak-tanduk Mas Selamat yang sanggup merancang serta melarikan diri daripada tahanan walaupun tinggi risikonya merupakan keutuhan ideologi ekstremis yang terbenam dalam jiwanya. Ini mengakibatkan dia gagal melepaskan dirinya daripada pendirian yang tegar serta menyukarkan dia menginjak jalan kebenaran.

 

Inilah perjuangan kita yang paling mencabar dalam menangani keganasan yang dikaitkan dengan agama Islam: Mencari cara paling berkesan untuk berjaya mengatasi ideologi songsang sekaligus membaik pulih minda dan fahaman segelintir umat Islam yang tersasar daripada prinsip-prinsip murni ajaran agama Islam.

 

Ketiga, kita tidak harus menggunakan insiden ini sebagai alasan untuk menuding jari, menghukum atau melakukan perkara-perkara yang dapat mematahkan semangat dan usaha semua pihak yang terlibat dalam usaha memerangi pengganasan.

 

Bahkan, ia harus dijadikan satu pemangkin yang dapat mendorong kita untuk sama-sama berganding bahu dan menyingsing lengan dengan cara menghulurkan segala bentuk bantuan yang termampu atau sekurang-kurangnya menghadiahkan kata-kata perangsang dan penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam usaha membanteras pengganasan serta menghidupkan budaya ingat-mengingati agar sentiasa berwaspada.

 

Pada logiknya, tiada sesiapa pun yang menginginkan insiden ini berlaku, namun kita harus maklum bahawa kesilapan itu lumrah kehidupan dan ia boleh berlaku bila dan di mana sahaja.

Apa yang perlu kita lakukan ialah membaiki segala kesilapan yang terjadi dan kemudian melangkah ke hadapan.

 

Memikirkan siapa yang harus dipersalahkan adalah sesuatu yang merugikan dan melalaikan kita daripada memikirkan strategi untuk mempertingkatkan usaha mengekang dan membasmi fahaman radikal ini.

 

Keempat, insiden ini juga menguatkan lagi pendapat bahawa usaha memerangi pengganasan bukanlah hanya tugas polis dan pegawai keselamatan daripada kakitangan pemerintah. Sebaliknya, ia satu usaha yang memerlukan penglibatan setiap lapisan masyarakat, malah setiap individu harus memainkan peranan masing-masing.

 

Pemerintah Singapura telah lama menyedari pentingnya penglibatan masyarakat dalam menghadapi krisis seperti ini. Ini disebabkan oleh dua faktor.

 

Pertama, usaha pasukan keselamatan sahaja amat terbatas tanpa penglibatan anggota masyarakat.

 

Kedua, harus dilihat bahawa keselamatan negara adalah tanggungjawab setiap warga negara dan bukan tugas mutlak pasukan keselamatan sahaja.

 

Sejauh ini, rakyat Singapura telah menyahut panggilan pemerintah agar bekerjasama dengan semangat yang padu. Dalam usaha mencari Mas Selamat sejak dia lolos daripada pusat tahanan, mereka telah memberikan sokongan dan komitmen yang memberangsangkan.

 

Sebagai contoh, dalam masa yang singkat, para sukarelawan daripada pelbagai pertubuhan masyarakat telah menggembleng tenaga dan menyusun gerakan untuk menyebarkan poster Mas Selamat ke serata tempat di Singapura.

 

Ternyata persefahaman dan semangat gotong-royong yang dipupuk dari semasa ke semasa antara pertubuhan dan antara mereka yang berlainan kaum dan kepercayaan telah mula menunjukkan hasil yang dapat dibanggakan.

 

Sememangnya, penglibatan masyarakat Singapura dalam memerangi pengganasan terserlah semenjak lima tahun yang lampau dengan tertangkapnya anggota kumpulan JI di sini. Umpamanya, usaha pemulihan yang dijalankan oleh Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) untuk tahanan JI adalah satu langkah baik yang perlu disokong. Banyak pencapaian telah diraih sejak itu.

 

Di samping membawa mereka yang terjerumus ke fahaman radikal kembali ke jalan yang benar, banyak usaha juga dilakukan untuk mendekati masyarakat, terutama sekali golongan belia bagi memberi mereka penjelasan dan kefahaman akan bahayanya fahaman radikal.

Namun sejauh manakah usaha-usaha ini berkesan dan apakah yang dapat diusahakan selanjutnya?

 

Antara perkara yang dapat dilakukan ialah mempelajari proses radikalisme dengan lebih mendalam lagi. Ini dapat memberi gambaran dan kefahaman yang lebih tepat bagaimana seseorang itu mudah terpengaruh dengan fahaman radikal yang didedahkan kepadanya.

 

Ini juga diharapkan dapat menakat sejauh mana seseorang itu telah berada di kancah radikalisme agar mereka dapat dibantu dengan lebih khusus dan berkesan lagi. Umpamanya, individu seperti Mas Selamat yang telah lama melibatkan diri dalam ideologi ekstremisme ini memerlukan pendekatan yang berbeza daripada mereka yang baru sahaja berjinak-jinak dengan ideologi yang sama.

 

Selanjutnya, kita perlu meningkatkan kesedaran yang lebih kepada setiap lapisan masyarakat, terutama sekali golongan belia dan remaja mengenai bahaya fahaman yang tegar seperti yang di sebarkan golongan radikal.

 

Ini diharapkan akan dapat mengurangkan golongan yang memberi sokongan atau bersimpati dengan golongan radikal yang bertopeng sebagai pejuang Islam.

 

Kehadiran para penyokong ini dapat kita lihat dengan timbulnya pelbagai teori mengenai lolosnya Mas Selamat daripada pusat tahanan. Dengan menyedarkan bahaya kumpulan pengganas terhadap keutuhan negara, kita juga dapat mengekang kemungkinan adanya orang yang memberi individu seperti Mas Selamat perlindungan dan bantuan.

 

Kesimpulannya, usaha masyarakat Singapura dalam memerangi pengganasan dan fahaman radikal ini perlu diteruskan dengan kesabaran dan cara yang lebih berkesan.

 

Memandangkan ancaman ini sesuatu yang berterusan, reaksi dan respons terhadap ancaman ini juga harus disesuaikan mengikut bentuk ancaman yang sering berubah dari semasa ke semasa.

 

Bagi mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dalam usaha memerangi pengganasan ini tidaklah seharusnya berasa puas hati dengan apa yang dicapai selama ini. Begitu juga bagi masyarakat awam, mereka tidak harus bersikap sambil lewa dan tidak merasakan bahawa fenomena ini boleh membawa kepada kerosakan dan menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara.

 

Nota: Penulis ialah Zamil Penyelidik Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam dan anggota RRG.