Bernikah setelah terlanjur

Soalan

Saya telah terlanjur dengan kekasih saya sehingga beliau mengandung. Kami telah menyesal dan bertaubat dan kemudiannya bernikah. Adakah sah pernikahan kami?

Jawaban

Pernikahan tersebut adalah sah di sisi mazhab Syafi`ii. Ini berdasarkan kepada firman Allah taala yang bermaksud “Dan dihalalkan bagi kamu selain itu” (An-Nisa’ : 24). ‘Selain itu’ bermaksud selain wanita-wanita yang dinyatakan pada ayat 23, surah An-Nisa’ dan pangkal ayat 24. Dalam ayat berkenaan tidak dinyatakan wanita yang hamil kerana zina dilarang dari dinikahi.

Aisyah r.a pula meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesuatu yang haram tidak mengharamkan yang halal.” (Riwayat Ibn Majah & Al-Baihaqi). Ertinya haramnya zina tidak menyebabkan staus nikah sebagai suatu yang halal asalnya. Nikah yang telah sah tidak perlu diulang kembali.

Walau bagaimana pun, diakui bhawa persoalan ini adalah persoalan khilafiah – terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama.

Sebahagian ulama mazhab Hanafi membenarkan nikah sedemikian dengan syarat tidak boleh melakukan hubungan jenis sehingga si isteri melahirkan kandungannya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhir, janganlah ia tumpahkan maninya di ‘ladang’ orang lain.” (Riwayat At-Turmizi). Ertinya ialah jangan menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya.

Sebahagian ulama mazhab Hanafi dan ulama mazhab Maliki serta Hanbali pula berpendapat bahawa nikah sedemikian adalah tidak sah.

Mazhab Syafi`ii berbeza pandangan dengan yang lain adalah kerana perbezaan dalam menilai kekuatan hadits berkenaan dan dari segi pentafsirannya dengan dalil-dalil yang lain. Rujuk Fiqh Sunnah, bab Nikah, topik Titik Persamaan Zina dan Musyrik oleh Sayid sabiq dan Fiqh Islam, bab Nikah, masalah Wanita Yang Hamil Kerana Zina Di Sisi Mazhab Hanafi dan Zina Sebagai Penghalang Nikah Di sisi Mazhab Maliki oleh Dr. Wahbah Az-Zuhaili.

Di dalam masyarakat hari ini, sering kali pernikahan dijadikan sebagai satu jalan keluar bagi masalah seperti ini bagi menutup aib dan malu.

Islam sememangnya menggalakkan agar satu keaiban itu diselindungi (tanpa mengabaikan pembaikannya) apatah lagi jika si pelakunya telah benar-benar insaf dan bertaubat.

Walau bagaimana pun, pernikahan adalah satu tugas yang berat dan mempunyai objektif yang murni. Apabila sepasang lelaki dan perempuan telah terlanjur sehingga mengandung, janganlah terlalu cepat pihak keluarga atau yang berkenaan untuk mengambil keputusan bernikah. Adalah perlu untuk memberi pertimbangan samada pihak-pihak yang terbabit sememangnya wajar dan layak untuk menjadi suami isteri yang akan memastikan rumahtangga yang dikehendaki. Adalah ditakuti, jika nikah dijalankan semata-mata kerana untuk menutup aib sedangkan kedua pihak belum bersedia untuk mengharungi kehidupan berkeluarga atau salah seorang darinya tidak menunjukkan ciri-ciri manusia yang bertangungjawab dalam kehidupan rumahtangga, ini hanya akan menyebabkan masalah-masalah lain di masa akan datang yang mengakibatkan keruntuhan rumahtangga dan kesengsaraan anak-anak atau isteri.

Wallahu A`alam