Berubat melalui jampi atau amalan-amalan luar biasa

Soalan

 

Seorang sahabat saya telah bertemu dengan seorang Mahaguru yang dikatakan handal dalam ilmu perubatan bagi mengubati isterinya yang dikatakan terkena sihir. Dalam proses perubatan itu berlaku perkara luar biasa yang mana Mahaguru berkenaan telah mengeluarkan sesuatu benda dari gambar si isteri yang dikatakan berada di dalam badannya.

 

Bagaimanakah kita boleh percaya apa yang dikeluarkan itu betul atau penipuan atau sihir? Apakah pandangan Islam mengenai berubat dengan seorang yang mengaku menggunakan ayat-ayat Al-Quran sedangkan saya tidak mengetahui samada ayat-ayat yang dibaca benar-benar ayat Al-Quran dan bacaannya adalah betul?

 

Jawaban

 

Sekiranya seseorang itu sakit, hendaklah dia berusaha untuk mengubati sakitnya dengan pelbagai kaedah-kaedah perubatan moden yang telah diakui dan mempunyai sandaran sains yang kuat samada kaedah-kaedah itu dalam bentuk kaedah perubatan konvensional yang popular hari ini atau kaedah lain seperti homoepathy, perubatan tradisional Cina (traditional Chinese medicine), penggunaan herba-herba, akupuntur dan mengurut.

 

Namun adalah diakui bahawa Islam mengiktiraf dan membenarkan perubatan melalui cara doa yang diajar oleh Al-Quran dan Hadits atau dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran atau kedua-duanya sekali.

 

Ini berdasarkan pada hadits Rasulullah s.a.w yang bermaksud

 

“Seekor kalajengking telah menyengat Rasulullah s.a.w sedang ia bersolat. Apabila ia selesai ia berkata ‘Semoga Allah melaknat kalajengking tadi yang menyengat tanpa kira orang bersolat atau selainnya. Ia kemudian meminta air dan garam kemudian ia menggosokkannya ke atas tempat yang disengat daan ia membaca surah Al-Kafirun, Al-Falaq dan An-Nas”(Riwayat At-Tabrani bertaraf Hasan)

 

Di dalam sebuah hadits sahih yang panjang ada menceritakan kisah seorang sahabat yang mengubati seseorang dengan Al-Fatihah lalu dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w.

 

Allah taala pula berfirman yang bermaksud

 

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu, apa yang menjadi obat dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Al-Isra’ : 82)

 

Walau bagaimana pun, iktikad kita dalam berubat dengan cara ini harus kekal bahawa Allah taala yang berkuasa untuk menyembuh dan menerima doa yang disampaikan bukan si perawat dan bukan pula ayat-ayat yang dibaca kerana semua itu hanyalah sebab dan makhluk belaka.

 

Berubat dengan jampi yang bukan Al-Quran dan tidak diketahui ertinya adalah dilarang kerana dikhuatiri akan jatuh kepada amalan sihir dan kata-kata yang menyebabkan syirik.

 

Maka hendaklah seseorang yang ingin berubat dengan cara yang ditanya memastikan lebih dahulu kesahihan cara pengubatannya. Ini boleh dilakukan dengan melihat, mengumpul maklumat dan bertanya. Jika sesuatu kaedah itu tidak jelas atau ragu-ragu, adalah lebih baik meninggalkannya demi menjaga kesucian akidah.

 

Untuk mengetahui samada sesuatu itu sihir atau penipuan atau benar, kata-kata Imam Ibn Taimiyah yang berikut bolehlah dijadikan panduan

 

“Terdapat di sana perbezaan di antara keramat para wali dengan sesuatu yang hampir sama yang lahir dari tipu muslihat syaitan dalam beberapa perkara. Antaranya, keramat para auliya berpunca dari iman dan taqwa, sedangkan kejaiban yang lahir dari tipu muslihat syaitan berpunca dari melanggar tegahan Allah taala dan RasulNya s.a.w…. Para auliya telah sepakat mengatakan bahawa jika didapati seorang lelaki yang mampu terbang di udara atau berjalan di atas air, janganlah terpedaya dengannya sehingga diperharikan sejauh mana dia mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w dan menuruti segala perintah dan larangannya.” (Al-Fatawa : 11/287, 302, 214)

 

Ertinya lihatlah kepada kesolehan seseorang itu dan tinggalkan apa yang tidak jelas dan meragukan.

 

Wallahu A`alam