Kemusykilan Agama – Adakah pelaburan di internet haram?

(Nota; Dipetik dari ruang Ask_Ustazdi rantauan.com)

Soalan

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah mengeluarkan fatwa bahawa pelaburan melalui internet adalah haram. Saya telahpun melabur dalam pelaburan internet dan telah membelanjakan wang hasil keuntungan pelaburan tersebut. Soalan saya:

Satu; bagaimanakah saya boleh membersihkan diri setelah menggunakan wang haram tersebut yang baru diketahui?

Dua; bolehkah saya menyalurkan wang tersebut ke satu akaun dan kemudiannya samada diri sendiri, saudara-mara atau kawan-kawan menggunakan atas dasar pinjaman yang mesti dibayar balik? Ini akan menjimatkan dari segi faedah pinjaman yang akan dikenakan oleh institusi kewangan.

Tiga; bagaimanakah cara terbaik untuk melupuskan keuntungan wang pelaburan tersebut?

—————————
Jawapan

Salam

Sebagaimana produk-produk pelaburan yang lain, bukan semua pelaburan di internet haram. Haramnya produk itu bukan kerana pada asasnya penggunaan internet sebagai wasilah pelaburan tetapi kerana struktur produk berkenaan yang tidak menepati kriteria syariah.

Oleh itu, halal melabur melalui internet jika produknya menepati kriteria pelaburan syariah. Bagi orang awam yang mungkin sukar untuk memastikan sendiri status halal sesuatu produk, maka pastikanlah apa jua produk pelaburan yang didakwa secara islam diperakui oleh panel syariah yang berwibawa. Ini boleh dilihat dengan meneliti senarai anggota panel berkenaan dan membuat counter-reference dengan pihak-pihak yang berkenaan.

Jika produk pelaburan anda termasuk dalam jenis yang tidak halal, maka

1. apa yg telah saudara perolehi dan makan dari wang pelaburan berkenaan sebelum fatwa dikeluarkan, dikira dimaafkan kerana pada ketika itu, bagi saudara, hukumnya belum ada.

2. namun, jika saudara ingin bersifat wara’, saudara bolehlah melakukan pembersihan dengan mengeluarkan paling kurang 5% dari keuntungan (dividend) yang diperolehi.

3. hentikan penglibatan dalam pelaburan berkenaan.

4. merujuk kepada perkara dua dan tiga dari soalan, jika saudara tak nak ambil langsung keuntungan dari pelaburan, saya cadangkan:
a. berikan wang tu kepada baitul mal.
b, kalau tak nak beri kepada baitul mal, sedekahkan kepada apa jua projek untuk kepentingan umum masyarakat. Jangan digunakan untuk gaji atau sumber makanan orang tetapi gunakan untuk perkara seperti bangunan sekolah, masjid, pemuliharaan bangunan, komputer dll.

Untuk rujukan, silal lihat artikel yang relevan di http://www.zaharuddin.net/content/category/14/62/100/

Wallahu A`alam