Kemusykilan Agama – Telekung Yang Jarang

(Nota: Dipetik dari ruang Ask_Ustaz di rantauan.com)

Soalan

Assalamulaikum Ustaz, 

Saya ingin bantuan dan pandangan Ustaz dalam perkara aurat dalam solah. Saya ingin tahu adakah sah solah seseorang muslimah itu sekiranya, telekung yang di pakai agak jarang. Bukan jarang seratus peratus. Tetapi nampak bayang2 leher. Di rumah, saya selalunya memakai serkop atau anak telekung (tiga segi) berserta kemeja-T dan seluar panjang sebelum memakai telekung. Haruskah saya memakai tudung litup dan baju tangan panjang sebelum memakai telekung kerana di rumah tiada sesiapa yang solah bersama saya melainkan anak ataupun suami. Jika tidak sah, haruskah saya qada’ semua solah saya yang lalu?

—————————————————

Jawaban

Assalamualaikum

Jika kain itu jarang tetapi tidak menampakkan aurat yang wajib ditutup kerana anda memakai baju didalam telekung, maka tidaklah sifat jarang itu membatalkan solat. Ertinya, jika jarang sehingga menampakkan kulit anggota yang wajib ditutup maka, cacatlah solatnya.

Jika jarang itu disebabkan oleh sinaran cahaya, bukan kerana sifat sebenar kain berkenaan, maka dimaafkan.

Yang wajib untuk bersolat ialah menutup aurat, bukan pakai telekung (yang biasa dipakai oleh orang melayu). Kalau sudah mentup aurat, walaupun dengan memakai baju untuk berjalan, tidak wajib lagi pakai telekung.

Apa yang telah berlalu, biarlah berlalu. Mohonlah doa agar Allah terima amalan anda dan mengampunkan apa jua kekurangan yg diketahui atau tidak. Untuk masa akan datang, perelokkanlah.

salam