Kemuykilan agama – Ragu-ragu mengenai status halal restoran

(Nota: Dipetik dari ruang Ask_Ustaz di rantauan.com)

Soalan

Salam ustaz

Baru-baru ini saya ada ke sebuah restoran Cina yang pernah diberitakan halal di suratkhabar. Bahkan, semasa pergi masih ada logo halal di kedai itu. Jadi, kita pun makanlah di situ.

Tapi setelah itu, saya tergerak pula untuk periksa di halaman web MUIS kerana ragu-ragu tentang logonya kerana tak nampak sijil sebenarnya. Saya kemudian diberitahu bahawa sijil halalnya telah tamat tempohnya.

Apakah hukumnya saya telah makan di situ? Perlukah saya melakukan sesuatu untuk “mensucikan” diri yang mungkin telah makan benda tidak halal?

——————————————–
Jawaban

Salam

Makanan yang tidak disijilkan halal oleh mana-mana pihak, bukan bermakna tidak halal.

Kaedah hukum yang menjadi panduan dalam masalah ini ialah asal sesuatu adalah halal kecuali ada bukti sebaliknya. Oleh itu, jika tiada bukti yang nyata bahawa makanan itu tidak halal, hanya sijilnya sahaja yang dah tamat tempoh, maka tidak menjadi kesalahan untuk diandaikan, setelah termakan, bahawa makanan itu adalah halal.

Kalau seorang tanpa sengaja telah memakan babi pun tidak menjadi dosa.

Oleh itu, tak de apa-apa yang perlu dibuat.

Namun, sekiranya sebelum melanggan telah diketahui bahawa sijil halal belum diperbaharui, eloklah tidak melanggan di restoran berkenaan. Hal ini adalah kerana jika ramai Muslim mengelakkan restoran itu kerana belum memperbaharuai sijil halalnya, ia akan memberi peringatan kepada pemilik restoran itu agar tidak mengambil ringan soal pensijilannya dan sekaligus membantu mengukuhkan sistem pensijilan halal di negara kita.

Wallahu A`alam