Menghadapi bencana SARS dan mengurus jenazah disebabkan SARS

Soalan

 

Bagaimanakah jenazah seorang muslim yang mati disebabkan penyakit jangkitan seperti SARS diuruskan? Bagaimanakah pula sikap seorang muslim dalam menghadapi musibah SARS sekarang ini?

 

Jawaban

 

Apabila seorang muslim meninggal dunia maka wajiblah pada hukum asal untuk jenazah itu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan.

 

Namun dalam kes jenazah yang mati kerana wabak penyakit yang amat berjangkit, apa yang perlu diperhatikan untuk mengurus jenazah ini ialah tahap bahaya jangkitan penyakit berkenaan jika proses pengendalian jenazah yang biasa dilakukan.

 

Dalam hal ini, yang menjadi panduan ialah pandangan pakar perubatan, nasihat dan garis pandu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, adalah penting dalam mengurus jenazah seorang muslim yang seperti ini untuk mengambil perhatian yang berat terhadap nasihat pakar dan garis pandu yang ditetapkan.

 

Dari perspektif fiqh, agama Islam sentiasa menyediakan keringanan dalam situasi yang menimbulkan mudharat. Kaedah fiqh yang terpakai di sini ialah ‘Kesulitan itu akan mendatangkan kemudahan’, ‘Mudharat itu mengharuskan apa yang dilarang’.

 

Bergantung kepada tahap bahaya jangkitan penyakit dari jenazah kepada mereka yang menguruskannya berdasarkan pandangan para pakar, berikut adalah beberapa panduan atau kaedah yang boleh dipraktikkan;

 

1.      Jenazah itu dimandikan seperti biasa. Manakala para pegurus jenazah, mengenakan pakaian khas bagi mengelakkan jangkitan. Proses pengurusan jenazah dilakukan jauh dari tempat yang ramai orang. Kemudian itu dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan seperti biasa.

2.      Jenazah itu tidak dimandikan. Sebaliknya ia ditayammumkan sahaja. Kemudian itu dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan seperti biasa.

3.       Jenazah itu tidak dimandikan dan ditayammumkan. Ia terus dikafankan dan dikebumikan. Jenazah itu disembahyangkan di atas kuburnya setelah ia dikebumikan.

Hendaklah dipastikan bahawa yang mengurus jenazah seperti ini ialah orang yang benar-benar terlatih dalam mengendalikan kes-kes khas seperti. Ini adalah bagi menjaga masalahat umum agar penyakit tidak merebak.

 

Adapun sikap masyarakat Islam dalam menghadapi musibah SARS ini ialah;

 

1.      Melakukan muhasabah terhadap diri, insaf terhadap kesilapan dan memperbanyakkan istighfar kerana kita tidak tahu bahawa kemungkinan ini adalah tanda kemurkaan Allah taala ke atas dosa-dosa kita. Gunakanlah kesempatan ini untuk mensyukuri nikmat Allah taala sebelum ini dan bersimpati akan penderitaan masyarakat lain yang menghadapi musibah yang lebih besar dari SARS seperti musibah yang menimpa rakyat Iraq.

2.       Memperbanyakkan doa bukan hanya untuk kesejahteraan diri sendiri tetapi kesejahteraan masyarakat umum agar Allah taala mengangkat musibah ini dengan segera dan agar Allah taala menjadikan musibah ini sebagai kaffarah bagi dosa kita atau mewujudkan kebaikan disebaliknya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Tiada musibah yang Allah timpakan ke atas seorang muslim kecuali Allah akan mengkafarahkan dengannya dosanya sehingga duri (yang mencucuk juga)” (Riwayat Al-Bukhari)

3.      Bersabar terhadap ujian Allah taala dan memperbanyakkan berpesan mengenai kesabaran dengan orang lain. Allah taala berfirman yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntug.” (Ali Imran : 200)

4.       Sentiasa bersikap positif  dengan berbaik sangka dengan Allah taala dan tidak berputus asa. Allah taala berfirman yang bermaksud “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada yang berputus asa dari rahmat Allah kecuali kaum yang kafir.” (Yusuf : 87)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “(Sikap) Aku mengikut sangka baik hambaKu terhadapKu.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

5.      Elakkan dari menjadikan musibah ini sebagai alasan untuk menilai orang lain kerana kita tidak tahu samada musibah ini disebabkan oleh dosa kita atau dosa orang lain dan kita tidak tahu mereka yang ditimpa musibah ini kerana kemurkaan Allah taala atau kerana kasihNya terhadap dia. Allah taala berfirman “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan dan hati, semua itu pasti akan dipertanggungjawabkan.” (Al-Isra’ : 36)

6.       Mengikut segala arahan dan garis pandu pihak penguasa dan memberi kerjasama dalam usaha melawan SARS. Hendaklah tidak melakukan apa jua perbuatan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Sesungguhnya melakukan sesuatu dengan cuai dan lalai yang menyebabkan kemudaratan adalah berdosa kerana Rasulullah s..a.w bersabda yang bermaksud “Tidak boleh memudaratkan diri dan tidak boleh memudaratkan orang lain.” (Riwayat Malik)

7.      Mereka yang dikehendaki menjalani kuarantin, hendaklah mematuhi segala arahan kuarantin kerana melanggarnya akan mengakibat kemudaratan kepada orang awam dan yang demikian itu dilarang oleh Islam. Mereka yang dikuarantin tidak wajib pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat, sebagaimana yang dinasihatkan oleh Pejabat Mufti Singapura. Menjalani kuarantin adalah tuntutan Islam dan melakukannya dengan sabar  akan mendapat ganjaran dari Allah taala. Rasulullah s.a.w bersabda “Jika kamu mendengar mengenai wabak yang berlaku di satu tempat, jangalah kamu memasukinya dan jika kamu berada di tempat berkenaan, janganlah kamu keluar darinya.” (Riwayat Al-Bukhari)

8.       Isikanlah masa yang ada semasa menjalani kuarantin dengan memperbanyakkan ibadah atau aktiviti yang berfaedah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud Rebutlah lima perkara sebelum datang lima yang lain; masa muda kamu sebelum datang masa tua, masa sihat kamu sebelum datang masa sakit, masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk dan masa hidup kamu sebelum datang masa mati” (Riwayat Al-Hakim)

9.      Berikan sokongan dalam bentuk moral, tenaga atau wang kepada para petugas kesihatan, para pesakit dan kaum kerabat mereka atau mereka yang harus menjalani kuarantin. Allah taala mensifatkan Rasulullah s.a.w dengan firmanNya yang bermaksud “Sesungguhya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa padanya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.” (At-Taubah : 128)

 

Seorang muslim bukan hanya seorang yang patuh pada hukum syariat tetapi juga patuh pada peraturan dalam masyarakatnya.

 

Wallahu A`alam