Pemain bolasepak berseluar pendek

Soalan

 

Saya difahamkan bahawa aurat lelaki ialah dari pusat hingga ke lutut tetapi saya dapati anggota pasukan bola sepak lelaki beberapa negara Islam yang dikenali sebagai ketat dalam amalan agamanya memakai seluar pendek dalam perlawanan. Bolehkah ustaz memberi penjelasan dalam hal ini?

 

Jawaban

 

Terdapat dua pandangan dalam persoalan aurat lelaki yang seperti berikut;

 

1.      Jumhur ulama menetapkan aurat lelaki ialah pusat dan lutut berdasarkan pada hadits Nabi s.a.w yang bermaksud “Sesungguhnya apa yang terdapat antara pusat dan lutut adalah aurat.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Darulqutni) dan sebuah hadis yang hampir sama bunyi oleh Al-Baihaqi.

2.       Ulama mazhab Maliki dan Imam Ibn Hazm (Mazhab Az-Zahiri) berpendapat bahawa aurat lelaki ialah kawasan zakar dan duburnya. Ini didasarkan oleh sebuah hadis dari Anas bin Malik bahawa nabi pernah menyingsing kain sarung sehingga ternampak pehanya yang putih dalam perang khaibar (Riwayat Ahmad dan Bukhari). Begitu juga sebuah hadits yang menecritakan bahawa Rasulullah s.a.w berada di rumah dalam keadaan terdedah pahanya. Abu Bakar r.a lalu menziarhinya dan beliau berada dalam keadaan sedemikian. Lalu Umar r.a pula menziarahinya dan beliau kekal dalam keadana sedmeikian. Lalu Usman r.a pula menziarahinya lalu beliau dengan cepat menutup pehanya. Apabila ditanya mengapa tadi dibuka dan sekarang ditutup, beliau katakan kerana malu dengan Usman yang malaikat juga malu dengannya. (Riwayat Ahmad). Kefahaman dari hadits ini, ialah jika paha adalah aurat, nescaya Rasulullah s.a.w pasti akan menutupnya apabila diziaarahi oleh Abu Bakar dan Umar r.a.

 

Komen para ulama terhadap kedua-dua pendapat ini pula ialah

 

1.      Hadis pendapat 1 adalah hadis qauli (kata-kata) manakala hadis pendapat 2 ialah hadis fiili (perbuatan). Kaedah Ilmu Hadist – jika ada percanggahan antara hadis qauli dan fiili, diutamakan hadis qauli kerana hadis fiili seperti yang dinyatakan dalam pendapat 2 kemungkinan adalah khusus bagi nabi e.g nabi hanya benarkan kahwin empat tapi perbuatan beliau kahwin sembilan.

2.      Hadis pendapat 2 (riwayat Anas) di atas ada bercanggah dengan hadis sahih yang lain riwayat Muslim yang mengatakan bahawa yang terdedah adalah betis bukan paha. Dalam keadaan sedemikian, kedudukan hadis Anas tidak kuat sebagai sumber hukum.

 

Walau bagaimana pun sehingga hari ini, isu berseluar pendek adalah khilaf ulama. Siapa yang berseluar pendek dengan kefahaman terhadap dalil-dalil dari mazhab Maliki, maka dia terlepas dari cela.

 

Siapa yang berseluar pendek kerana jahil, maka ia tercela atas kejahilannya. Siapa yang bermazhab Syafii tetapi berseluar pendek kerana nafsu, maka ia berdosa kerana ikut nafsu.

 

Namun pertimbangan dalam hal ini menjangkau aspek fiqh. Pertimbangan juga harus dilihat pada konteks sosial dan uruf (adat) masyarakat kerana kaedah umum Fiqh mengatakan uruf adalah pertimbangan hukum yang perlu diberi perhatian dalam tingkah laku manusia.

 

Oleh kerana uruf (adat) umum masyarakat di sini yang berpegang pada pandangan 1 dan memandang tidak sopan berseluar pendek, maka meraikan adat seperti ini adalah satu kebijaksanaan dan berseluar pendek atas dasar berpegang pada mazhab Maliki adalah tindakan yang tidak sensitif terhadap budaya setempat.

 

Adapun negara Islam yang pasukan bolanya berseluar pendek, untuk berbaik sangka, bolehlah diandaikan bahawa mereka berpegang pada pandangan 2. Adapun yang  tersirat, kita berserah kepada Allah taala.

 

Rujuk Ensiklopedia Hukum Islam, terbitan Indonesia bahagian Aurat.

 

Wallahu A’alam.