Petugas Jumaat semasa khutbah

Soalan

 

Saya seorang petugas di masjid. Semasa hari Jumaat ketika khatib sedang berkhutbah, saya harus bekerja untuk mengawal para jemaah yang datang lewat ke masjid. Saya perlu memberi arahan kepada mereka dan melakukan tugas-tugas lain. Dalam hadits telah dinyatakan bahawa sesiapa yang bercakap pada ketika khatib sedang berkhutbah, maka hilanglah pahala solat Jumaatnya. Bolehkah ustaz berikan pandangan mengenai keadaan petugas-petugas masjid seperti saya?

 

Jawaban

 

Salah satu dari adab menghadiri solat Jumaat yang perlu diamalkan oleh orang Islam ialah untuk merasa khusu’ dan meneliti isi kandungan khutbah Jumaat. Maka sebab itu, bercakap-cakap dan melakukan sesuatu yang boleh menghilangkan konsentrasi terhadap khutbah dilarang. Hakikat ini wujud dalam hadits Rasulullah s.a.w yang bermaksud

 

“Dan jika kamu berkata kepada saudara kamu di hari Jumaat pada ketika imam berkhutbah dengan kata-kata “Diam!” maka telah sia-sialah Jumaat kamu” (Riwayat Muslim)

 

Sabdanya lagi yang bermaksud;

 

“Sesiapa yang bermain dengan batu kecil (ketika imam berkhutbah), maka sia-sia (pahala) Jumaatnya.” (Riwayat Muslim)

 

Bagi para petugas di masjid sewaktu hari Jumaat, seeloknya diusahakan agar segala tugas dapat disiapkan sebelum khatib berkhutbah.

 

Walau bagaimana pun, jika ada keperluan seperti untuk mengarahkan para jemaah,  mengarah kereta ke tempat meletak kereta yang sesuai atau perlu membentang tikar bagi menangani jumlah jemaah yang membanjir tanpa diduga, maka ia dibenarkan oleh syara’ dan tidak dianggap sebagai satu tindakan yang mengabaikan perintah di atas.

 

Hal ini adalah kerana perbuatan itu dilakukan bukan atas niat untuk mengabaikan khutbah dan ia dilakukan pula atas hajat yang diakui oleh syara’.

 

Tugas-tugas berkenaan dilakukan demi memastikan ketertiban dalam beribadah dan keselesaan semua pihak. Bahkan ada kalanya penting bagi menjaga keselamatan nyawa dan harta benda. Kesemua ini adalah maslahat yang diakui oleh agama.

 

Maka dalam hal ini, kaedah-kaedah fiqh berikut dapatlah dipakai sebagai hujah;

 

“Sesuatu yang bertaraf hajat, mengambil hukum sesuatu yang bertaraf mudarat”

 

“Maslahat yang lebih besar itu didahulukan dari mudarat kecil yang dilarang”

 

Ditinjau lebih mendalam pula, berdiam diri ketika khatib berkhutbah bagi memelihara pahala solat Jumaat lebih berat kepada memenuhi maslahat individu. Sedangkan mengawal ketertiban pula lebih berat bagi maslahat ramai. Oleh itu, kaedag fiqh berikut boleh dipakai;

 

“Mendahulukan maslahat umum dari maslahat peribadi”

 

Namun perlulah diingatkan bagi para pertugas hendaklah tidak bercakap kecuali perlu dan jangan sampai dalam berusaha untuk mengawal ketertiban pula menimbulkan ketidaksenangan orang ramai pula seperti meninggi-ninggikan suara, bersembang dan berjenaka sesama petugas atau pun merokok kerana kesemua itu tidak termasuk dalam maslahat yang diakui.

 

Wallahu A`alam