Rumah warisan dan fidyah untuk si mati

Soalan

 

Saya mempunyai sebuah rumah 5 bilik di mana saya sebagai pemilik pertama manakala arwah saya adalah pemilik kedua.

 

Arwah ayah saya telah 5 tahun meninggal dunia. Lalu namanya telah pun dikeluarkan dari senarai pemilik. Semasa hayatnya, dia tidak pernah keluarkan duit tunai atau pun CPF untuk rumah saya. Hanya namanya sahaja yang dilibatkan.

 

Dalam pengetahuan saya, sunguhpun arwah ayah saya tidak pernah mengeluarkan wang secara tunai atau melalui CPF, namun dia masih mempunyai hak pada rumah itu dan setelah dia meninggal dunia, warisnya pula berhak. Walau bagaimana pun, warisnya telah enggan mengambil bahagian warisan masing-maising dan meminta saya mengurus rumah itu.

 

Semasa ayah saya hidup dia tidak pernah melakukan puasa selama kira-kira 50 tahun. Dia meninggal pada usia 70 tahun.

 

Saya memohon penjelasan mengenai kedudukan rumah yang saya nyatakan dan saya juga memohn penjelasana adakah harus bagi saya membayar fidyah ke atas hutang puasa arwah ayah saya. Berapakah anggaran jumlah yang harus dilangsaikan?

 

Jawaban

 

Menamakan ayah saudara sebagai pemilik kedua sebuah rumah bagi memenuhi tujuan undang-undang pembelian rumah, sedangkan dia tidak menyumbang apa-apa terhadap pembelian rumah itu, tidak menjadikan dia berhak atas rumah berkenaan kecuali jika ketika meletakkan nama dia, saudara berniat untuk memberi sebahagian dari rumah itu kepada dia sebagai satu pemberian atau hadiah yang dikenali sebagai hibah dalam Islam.

 

Jika saudara tidak mempunyai niat untuk memberi apa-apa hak kepadanya, maka apabila ayah saudara meninggal dunia, rumah itu tidak dianggap sebagai harta warisan yang perlu dibahagikan kepada ahli waris dan saudara tidak perlu menjualnya untuk membahagikan hak kepada ahli waris.

 

Seorang yang meninggal dunia dalam keadaan berhutang puasa maka wajiblah dibayarkan fidyah atas jumlah yang hari yang dia tinggalkan. Fidyah itu dibayar dari harta peninggalan ayah saudara sebelum dibahagi-bahagikan kepada ahli waris. Jika dia tidak mempunyai harta peninggalan atau harta peninggalannya tidak mencukupi, maka terserah kepada ahli warisnya yang terdekat seperti anak-anak dan isteri untuk membelanjakan sebahagian dari harta mereka bagi membayar fidyah untuknya atas dasar ihsan.

 

Terdapat dua cara perkiraan fidyah seperti berikut;

 

1.       Mengikut mazhab Syafi`ii yang dipegang oleh MUIS dan majoriti masyarakat Islam di sini setiap hari yang ditinggalkan haruslah dibayar dengan 1 kati beras (600 gram) atau nilainya (90 sen nilai purata hari ini). Jika hari yang dihutang itu tidak dibayar pada tahun berkenaan dan dibawa ke tahun berikut, maka selain membayar fidyah bagi hari berkenaan dia juga perlu membayar denda bagi setiap tahun yang ditunda. Ini menyebabkana kesan berganda pada bayaran fidyah. Atas dasar itu, nilai fidyah yang perlu dibayar bagi hutang puasa ayah saudara ialah sekitar $35,802 berdasarkan kaedah pengiraan MUIS.

2.       Mengikut mazhab Hanafi pula, fidyah hanya perlu dibayar berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan sahaja. Maka nilai fidyah yang perlu dibayar ialah $1,350.

 

Wallahu A`alam