Solat Qasar dan Jama’

Soalan

 

Saya ingin melancong ke negara Barat. Saya harus keluar rumah pada pukul 7.00 pagi kerana waktu keberangkatan ialah pada pukul 9.00 pagi. Oleh itu saya hanya dapat melakukan solat Subuh, sedangkan solat Zohor, Asar dan Maghrib tidak dapat saya lakukan kerana saya hanya sampai di destinasi selapas waktu Maghrib.

 

Saya tahu bahawa kita dibenarkan untuk melakukan sembahyang Qasar dan Jama’ jika kita berpergian, tetapi saya tidak begitu faham untuk melakukannya. Saya sering merasa tidak dapat melakukan solat ini dengan betul, lantas apabila saya melancong saya hanya melakukan solat Subuh dan tiga solat lain saya Qadha bersama solat Isya’.

 

Saya harap ustaz dapat memberi penjelasan mengenai cara melakukan solat ini agar saya tidak lagi was-was dan dapat menunaikan solat dengan betul ketika melancong.

 

Jawaban

 

Qasar ialah memendekkan solat yang mempunyai empat rakaat (Zohor, Asar dan Isya’) kepada dua rakaat. Jama’ pula ialah menggabungkan dua solat dalam satu waktu. Solat yang boleh digabungkan dalam satu waktu ialah Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isya’. Tidak boleh menggabungkan Asar dengan Maghrib dan tidak boleh pula menggabungkan Subuh dengan mana-mana solat.

 

Jika kita menunaikan Asar pada waktu Zohor atau Isya’ pada waktu Maghrib, ini dinamakan Jama’ Taqdim. Jika kita menunaikan solat Zohor pada waktu Asar atau Maghrib pada waktu Isya’, ini dinamakan Jama’ Takhir.

 

Jika jadual pelayaran saudara sebagaimana yang dinyatakan, apa yang perlu saudara lakukan ialah menunaikan solat Zohor dan Asar secara Qasar iaitu dua rakaat dan kedua-duanya ditunaikan samada pada waktu Zohor (dinamakan Jama’ Taqdim) atau pada waktu Asar (dinamakan Jama’ Takhir). Ia boleh dilakukan dalam kenderaan yang dinaiki seperti kapalterbang. Untuk menunaikan solat itu, saudara boleh merancang dengan berwudhu’ dahulu sebelum menaiki kapalterbang agar tidak sulit untuk mengambil wudhu apabila ingin menunaikan solat. Jika tidak, saudara boleh mengambil wudhu dengan menggunakan air di tandas dalam kapalterbang atau sebotol air yang dibawa sebagai bekal. Jika bekalan air tidak ada atau jumlahnya sedikit sahaja dan perlu digunakan untuk kegunaan lain, maka bolehlah bertayammum dengan menepuk ke atas kerusi atau dinding kapalterbang bagi menyapu muka dan tangan.

 

Setelah mengangkat hadats, saudara bolehlah menunaikan solat di tempat duduk saudara seperti orang yang bersembahyang duduk tanpa perlu mencari arah kiblat kerana pada ketika ini kiblat saudara ialah mengikut arah kapalterbang berkenaan.

 

Bagi mereka yang tidak biasa kadangkala timbul rasa keraguan atau malu. Perasaan ini haruslah dilawan kerana keraguan dan malu itu adalah bisikan syaitan untuk menghalang kita beribadah. Kita seharusnya lebih takut akan kemurkaan Allah taala kerana meninggalkan solat dari merasa malu terhadap manusia.

 

Seorang yang ingin melakukan Jama’ Taqdim mestilah meniatkan jama’ pada waktu solat yang pertama. Dia juga mesti memulakan solat dengan solat Zohor / Maghrib dengan diikuti pula oleh Asar / Isya’. Jika dia ingin melakukan Jama’ Takhir, dia mestilah meniatkan untuk menangguh solatnya (Zohor / Maghrib) ketika masuk waktu berkenaan untuk ditunaikannya pada waktu kemudian (Asar / Isya’).

 

Qasar dan Jama’ adalah keringanan bagi umat Islam. Bermusafir adalah salah satu keadaan yang dibenarkan keringanan ini dengan syarat pelayarannya bukanlah untuk maksiat.

 

Adalah diingatkan bahawa seorang Islam dilarang sama sekali meninggalkan solat. Terdapat pelbagai kemudahan dan keringanan yang diajarkan oleh Islam bagi menunaikan solat jika ada kesulitan. Belayar bukanlah satu alasan untuk menangguhkan solat di luar waktunya kecuali melalui proses Jama’ yang dinyatakan di atas. Seorang yang meninggalkan solat wajib melakukan Qadha’ tetapi ia tetap berdosa kerana meninggalkan solat.

 

Disebabkan ruang yang terhad, persoalan Qasar dan Jama’ tidaklah dapat dihuraikan sepenuhnya. Maka saudara hendaklah berusaha untuk merujuk pada buku-buku yang banyak boleh diperolehi di kedai-kedai buku. Carilah juga masa untuk menghadiri kuliah agama di pelbagai majlis ilmu di masjid-masjid agar kita tidak terjatuh dalam kesilapan kerana tiada pengetahuan dan agar mudah untuk mencari jawaban bagi masalah yang dihadapi tanpa bergantung kepada ruangan sebegini yang sememangnya terhad keupayaannya.

 

Wallahu A`alam.