Tidak bersetuju dengan fatwa yang mengharuskan derma organ

Soalan

 

Saya tidak bersetuju dengan pandangan membolehkan pendermaan organ orang yang telah mati. Dengan ura-ura pemerintah untuk meminda Akta Pemindahan Organ Manusia, apakah sikap yang wajar yang perlu diambil.

 

Jawaban

 

Masalah menderma organ kepada manusia lain adalah satu masalah baru yang tidak ada hukum yang jelas di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Ia juga tidak dibincangkan dengan meluas oleh para ulama dahulu. Jika ada sekalipun perbincangan yang dicatat, ia wujud dalam situasi yang berbeza dari hari ini dari segi kemajuan sains dan teknologi.

 

Apa yang boleh kita perolehi dari Al-Quran dan As-Sunnah bagi masalah ini hanyalah prinsip-prinsip umum Islam sebagai dasar mengeluarkan hukum dan dari para ulama dahulu pula kita mengambil panduan bagaimana penggunaan prinsip-prinsip umum tadi dalam persoalan kehidupan semasa.

 

Dengan memahami prinsip-prinsip umum Islam dan kaedah penggunaannya serta realiti hari ini, para ulama hari ini berusaha untuk mengemukakan huraian bagi masalah baru ini.

 

Hasil dari usaha ini bolehlah disimpulkan dua pandangan utama. Satu pandangan yang tidak membenarkannya dan satu lagi pandangan yang membenarkannya dengan syarat-syarat tertentu. Setiap pihak mempunyai hujah dan dalil masing-masing yang tidak dapat dinyatakan di sini disebabkan keterbatasan ruang.

 

Namun dari perbezaan dua pandangan ini dapatlah disimpulkan bahawa isu ini jatuh dalam masalah khilafiyah (perbezaan pendapat) dalam hukum. Khilafiyah ini adalah wajar disebabkan tiada hukum yang jelas dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itu, para ulama semasa perlu berijtihad sendiri dengan berpandu pada prinsip yang telah diakui. Sebagaimana dalam banyak persoalan ijtihad, maka dalam isu ini pun tidak terlepas dari perbezaan pendapat yang menghasilkan hukum yang berbeza.

 

Dalam khilaf yang muktabar seperti ini, seorang muslim berhak untuk memilih pandangan yang ia merasa tenang dengannya asalkan sahaja ia maklum akan hujah disebalik pandangan itu. Selain itu dia hendaklah menghormati pendirian mereka yang memilih pandangan yang berlainan.

 

Perbezaan dalam persoalan ini bukanlah seperti perbezaan seorang yang mengatakan zina itu haram dan seorang lagi mengatakan halal. Sesiapa yang berpegang dengan pandangan bahawa menderma organ orang yang mati itu haram, tidak boleh berkeras untuk menyalahkan pandangan yang berlawanan kerana hukum yang dia pegang bukanlah sesuatu yang tsabit seperti tsabitnya pengharaman zina.

 

Dalam konteks Singapura, Jawatankuasa Fatwa MUIS telah pun memutuskan bahawa hukum menderma organ orang yang telah mati adalah dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu. Perincian isi fatwa berkenaan bolehlah dirujuk pada halaman web MUIS.

 

Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS bukanlah satu fatwa yang ganjil kerana fatwa yang sedemikian telah dikeluarkan oleh pelbagai institusi fatwa di merata dunia, individu ulama tertentu dan disokong oleh doktor-doktor pakar muslim.

 

Sebagai penguasa masyarakat Islam di Singapura, fatwa berkenaan jatuh dalam kaedah fiqh yang berbunyi ‘hukum penguasa menjadi pemutus dalam masalah khilafiyah’. Oleh itu fatwa berkenaan wajarlah dihormati dan sah untuk diikuti oleh sesiapa dari kalangan masyarakat Islam di Singapura, walau pun ada pandangan ulama atau fatwa yang berlainan.

 

Ini tidak bermakna seseorang itu tidak berhak untuk berpegang dengan pandangan yang berlawanan dengan fatwa, jika ia jelas akan akan hujahnya.

 

Dalam konteks Singapura, sesiapa dari kalangan masyarakat Islam yang ingin berpegang dengan pandangan  yang berlawanan dengan fatwa MUIS boleh untuk tidak opt-in (ikrar derma) dalam sistem sekarang ini atau opt-out (pilih untuk dikecualikan dari derma otomatik) dalam sistem yang pernah dicadangkan.

 

Namun tidak wajar bagi mereka ini,secara terbuka dan di khalayak ramai, untuk mengambil sikap menentang fatwa yang telah dikeluarkan atau berkempen melawannya atau berkeras dalam mengkritiknya, seolah-olah ia adalah kemungkaran yang pasti.

 

Tindakan yang sedemikian tidak menggambarkan penghormatan terhadap institusi fatwa yang dianggotai oleh para ulama setempat bahkan mencabar kewibawaannya. Ia juga merupakan sikap yang tidak sesuai dalam persoalan khilafiyah seperti ini.

 

Tindakan sedemikian juga hanya akan mengakibatkan perpecahan di kalangan masyarakat Islam dan kebingungan di kalangan masyarakat awam.

 

Demikianlah sikap kita terhadap apa jua fatwa yang berkaitan masalah khilafiyah.

 

Wallahu A`alam