Kongsi maklumat – Penyelidik lancar blog dalam bahasa Melayu promosi kefahaman sederhana

Berita Harian, 30 Julai 2007

Laman web baru ingin dekati lebih ramai pembaca dari Malaysia dan Indonesia

By Azahar Mohd

PENYELIDIK isu pengganasan, Ustaz Muhammad Haniff Hassan, melancarkan blog terbarunya dalam bahasa Melayu untuk mempromosi kefahaman agama yang sederhana di ruang siber.

Sasarannya ialah mendekati lebih ramai pembaca, terutama yang berasal dari Malaysia dan Indonesia, yang lebih selesa dengan bahasa Melayu.

Sebagai tarikan tambahan, para pengunjung ke blog beliau boleh mengemukakan pelbagai soalan berhubung kemusykilan agama.

Ketika dihubungi, Ustaz Muhammad Haniff berkata tujuan utama beliau melancarkan blog bahasa Melayu itu ialah mengumpulkan bahan-bahan tulisan yang kebanyakannya dalam bahasa berkenaan yang telah terkumpul sejak 10 tahun lalu.

‘Ini bagi membolehkan ia dimanfaatkan oleh lebih ramai pihak. Selain itu, tidak semua orang di rantau ini fasih berbahasa Inggeris.

‘Ramai yang masih suka membaca bahan-bahan dalam bahasa ibunda mereka, terutama yang berasal dari Malaysia dan Indonesia,’ ujar beliau, yang kini memburu ijazah kedoktoran.

‘Blog bahasa Melayu ini masih mengekalkan tema agama tetapi ia merangkumi isu yang lebih luas dari soal pengganasan dan pelampauan.

‘Namun, tujuan daripada bahan-bahan yang dikirimkan juga ialah untuk mempromosi pola pemikiran yang sederhana, kontekstual dan kritikal di kalangan pembaca yang diharapkan akan juga membantu mengelakkan pelampauan di kalangan umat Islam,’ ujarnya lagi.

Selain mengandungi pelbagai bahan-bahan bacaan, blog di hanifiyah.multiply.com itu mempunyai pautan dalam soal agama.

‘Pautan ini akan memperkayakan kandungan blog ini dan membolehkan pembaca memanfaatkan bahan-bahan yang telah sedia ada,’ ujar beliau lagi.

Selain blog yang diusahakan Ustaz Muhammad Haniff, satu lagi laman web serupa yang diusahakan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) akan dilancarkan dalam tempoh sebulan.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pula melancarkan laman web interaktif sendiri, Invoke.sg, yang memanfaatkaan ciri-ciri terkini, seperti podcast bagi tujuan serupa.