Sekadar berkongsi – Temuramah dengan bekas anggota JI Singapura (1/2) (Berita Harian, 6 Okt. 2007)

Pengongsian pengalaman hitam bekas anggota JI S’pura

Daripada kelas agama hingga terjebak dalam kegiatan MILF di Filipina

Seorang bekas anggota Jemaah Islamiyah Singapura baru-baru ini berkongsi bersama ‘Berita Harian’ pengalaman beliau terjebak dalam rangkaian pengganasan. Ikuti wawancara beliau bersama SAAT A. RAHMAN dan PUAD IBRAHIM.

SOALAN (S): Bagaimanakah anda mula terlibat dalam Jemaah Islamiyah (JI)?

Jawapan (J): Penglibatan saya dalam JI pada mulanya untuk meningkatkan ilmu agama. Saya ada seorang rakan. Kami berdua tidak begitu pandai dalam bidang agama, tetapi kami mahu meningkatkan ilmu.

Rakan saya itu mengajak saya untuk menghadiri sebuah kelas yang dihadirinya. Kami kerap ke sana. Saya juga membawa isteri saya ke kelas itu. Di kelas itu kami menemui dua lagi orang yang kemudian mengajak saya pula menyertai sebuah lagi kelas di tempat lain. Saya setuju untuk mengikutinya. Itulah permulaan penglibatan saya dalam JI. Ia berlaku dalam 1980-an.

S: Apakah kelas yang anda hadiri itu pernah menyatakan ia kelas JI?

J: Mereka tidak menyebutnya. Mereka hanya kata kelas itu bertujuan meningkatkan ilmu.

Pada mulanya saya tidak melihat unsur JI dalam kelas itu. Namun, terdapat beberapa perkara yang agak mencurigakan, seperti kami diminta supaya kasut tidak ditinggalkan di luar kelas. Mereka kata ini untuk tidak menghalang jiran-jiran sebelah rumah.

Kelas itu dijalankan seperti kelas-kelas agama biasa. Tetapi lama-kelamaan guru-guru yang mengajar mula bercakap dan menghasut kami tentang pergolakan dan masalah yang berlaku di luar negara, seperti di Afghanistan dan Palestin.

Mereka memberitahu kami apa yang perlu kami lakukan. Kata mereka, masalah itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana ia juga boleh terjadi di Singapura. Kami diberitahu supaya bersiap sedia dan terus meningkatkan ilmu. Indoktrinasi itu dilakukan dalam kelas, sedikit demi sedikit.

Mereka juga bercakap tentang apa yang berlaku di Tanjung Pinang, Indonesia, dan apa dilakukan pemerintah mereka untuk menindas Muslim. Beberapa warga Muslim Indonesia terpaksa lari ke Malaysia. Mereka menyuruh kami supaya membantu mereka. Mereka juga kata orang-orang itu mahu mengumpul dana untuk membeli sebidang tanah bagi membina rumah dan madrasah. Mereka mengundang saya pergi ke sana dan menyertai kelas-kelas mereka.

S: Apakah anda perlu membayar yuran bagi kelas itu?

J: Kelas itu percuma, tapi anda menyumbang derma untuk membantu yang lain.

S: Dan selama itu mereka tidak pernah menyebut tentang JI?

J: Mereka tidak menyebutnya sehingga madrasah mereka dibina di Ulu Tiram (di Johor). Tapi mereka tidak sejelas sekarang. Mereka kata JI adalah kumpulan daripada kalangan kumpulan-kumpulan Muslim.

Saya meneruskan penglibatan saya dalam JI dan membawa anak-anak saya belajar di sana (Ulu Tiram) dan tinggal bersama mereka untuk beberapa tahun.

Namun, selepas beberapa lama kemudian, saya mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka. Mereka juga mula bercakap tentang apa yang berlaku di Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Menerusi JI, saya mula berhubungan dengan MILF.

S: Apakah peranan anda dalam JI?

J: Saya membantu mereka kerana bersimpati terhadap perjuangan mereka. Saya tidak merekrut anggota, tapi saya ada membawa beberapa orang untuk menyertai JI.

S: Adakah mereka beritahu anda tentang rancangan besarnya?

J: Rancangan itu amat rahsia. Tapi mereka ada menyatakan tentang rancangan untuk menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara Islam. Mengapa Indonesia? Sebab Indonesia mempunyai jumlah penduduk Muslim yang ramai. Penubuhan Indonesia sebagai sebuah negara Islam boleh menjadi satu contoh kepada negara lain.

S: Berapa banyak anda menyumbang wang kepada JI?

J: Ia dipanggil infak. Seberapa banyak yang saya mampu, saya berikan kepada mereka. Jumlahnya tidak ditetapkan. Saya juga membantu mengumpul derma bagi membina madrasah kedua di Ulu Tiram. Wang derma itu saya kumpulkan di Singapura. Tapi JI mencurigai wang yang saya kumpul itu. Mereka kata Singapura negara kafir.

Saya tidak boleh terima kenyataan itu. Memang majoriti rakyat Singapura bukan Muslim, tapi mengapakah mereka tetap menerima wang itu? Jika mereka kata wang itu datang dari negara kafir, mereka patut menolaknya, tapi mereka ambil juga.

S: Bolehkah anda ceritakan penglibatan anda dalam MILF?

J: Saya berkenalan dengan pemimpin dan anggota MILF menerusi JI. Selepas itu tumpuan saya berubah, daripada JI kepada MILF. Di sini JI hanya satu jemaah, tapi di Filipina, MILF berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Mereka mahu menubuhkan sebuah negara Islam mereka sendiri. Jadi keutamaan harus diberikan kepada mereka. Tapi lama-kelamaan saya mula sedar, MILF juga mempunyai hubungan rapat dengan JI dan Al-Qaeda. Mereka juga menyediakan kem latihan untuk anggota JI. Mereka turut terbabit dalam rangkaian pengganasan.

S: Pernahkah anda melawat MILF?

J: Saya melawat MILF menerusi bantuan JI. Mereka mengatur dan merestui lawatan itu dengan harapan saya terus meningkatkan khidmat saya kepada JI. Saya kerap ke sana. Saya menemui pemimpinnya dan menyumbang derma kepada mereka untuk membina sekolah.

S: Apakah anda ke sana untuk menyertai latihan tentera?

J: Saya ke sana untuk menyertai latihan asas menggunakan senjata selama dua minggu. Tetapi tempoh penginapan saya di sana tidak begitu lama untuk saya menyertai latihan tentera di hutan.

……………….. bersambung ke bahagian 2