Sekadar berkongsi – Ulasan Buku Fiqh Minoriti Muslim (Berita Harian (Singapura), 6 Jun 2008)

ULASAN BUKU
Minoriti Muslim perlu pedoman fikah khusus

By Mohd Raman Daud

TERAS hukum Islam kekal zaman-berzaman tetapi pentafsiran dan pemakaiannya boleh berbeza menurut masa dan tempat. Inilah teras isi buku Fiqh Minoriti Muslim: Dari Perspektif Dua Ulama Kontemporari – Yusuf Al- Qardhawi & Sulaiman Tubuliyak (FMM).

Apakah pilihan bagi seorang wanita yang sudah memeluk Islam tetapi suaminya masih beragama lain? Menurut kalangan ulama, wanita ini mempunyai beberapa pilihan, termasuk bercerai atau masih terus sebumbung dengan suaminya dengan syaratsyarat tertentu.

Bagaimana dengan sekitaran banyak anjing (seperti pernah ditimbulkan dalam forum pembaca akhbar ini)? Ulama juga berpendapat ia tidak menimbulkan masalah kerana ada ayat Al-Quran yang membolehkan penggunaan anjing buruan.

Buku terjemahan Ustaz Muhammad Haniff Hassan ini merupakan siri terbitan Persatuan Ulama dan Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan syarikat penerbitan mapan setempat, Pustaka Nasional (PN). Dua pertubuhan ini baru mengikat perjanjian kerjasama.

Dalam pengantar buku ini, Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Hasbi Hassan, berkata: ‘Dalam konteks Singapura sebagai negara sekular dan pragmatik dari segi pengurusan sumber ekonomi dan mempunyai penduduk Muslim sekitar 17 peratus, maka saya fikir adalah lebih mendesak lagi pencanaian hukumnya yang lebih dinamis.’

Namun, dalam ceramah yang disusuli sesi soal jawab di markas Pergas dua pekan lalu, Ustaz Muhammad Haniff menegaskan ada pandangan Yusuf AlQardhawi dan Sulaiman Tubuliyak tidak kena untuk konteks Singapura. Namun sebagai penterjemah, beliau enggan membuat komentar kerana ini bukan tujuan penerbitan buku ini.

Dalam menjawab beberapa pertanyaan kemudian, Ustaz Muhammad Haniff dan kalangan hadirin (sekitar 15 orang saja) mengakui peri perlu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menghasilkan buku pedoman mengenai fiqah umat Islam Singapura. Ini lanjutan daripada serba sedikit pedoman dalam ruang kemusykilan pada laman web Muis.

Siapakah yang dianggap minoriti Muslim? Ia terbahagi dua, kata Dr Yusuf Al-Qardhawi, iaitu penduduk asal sesebuah negara atau pendatang baru dari Dunia Islam.

Namun, saya kira ada satu lagi takrif, iaitu kededuanya sekali. Misalnya Muslim Singapura merangkumi peribumi Singapura (orang Melayu), keturunan asal pendatang dan pendatang.

Pokoknya, untuk dikatakan ‘minoriti’ maka Muslim mestilah lebih kecil bilangannya daripada penduduk bukan Muslim.

Pedoman umat Islam ialah pada Al-Quran, Hadis dan pandangan ulama berwenang. Sayangnya, masalah umat Islam, baik minoriti mahupun majoriti, masih lagi bersifat kurang ilmu dan kekeliruan.

Bahkan Dr Yusuf Al-Qardhawi, alim asal Mesir yang kini bermastautin di Qatar, memang sering ditukil pandangannya oleh Dunia Muslim, menyoal: ‘Apakah semua hadis itu sahih?’ (halaman 262)

Persoalan tadi mencetus semacam kekeliruan ekoran sumber dipersoal. Hal ini, bagaimanapun, tidak timbul dalam soal Al-Quran, yang dijamin Allah kesahihannya sehingga akhir zaman.

Apabila timbul tengkarah mempersoal hadis di Malaysia, saya masih teringat pandangan perdana menterinya ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, agar dikumpulkan semua hadis sahih dan diketepikan yang bukan sahih.

Malah semua hadis sahih wajar dibukukan atau dimuatkan di Internet sebagai rujukan antarabangsa. Sayangnya, sehingga kini usaha ini belum dilakukan.

Buku setebal 544 halaman ini memang sarat dengan maklumat tetapi ketebalannya mungkin menawarkan hati pembaca biasa. Mentelah bukan mudah memahami liku-liku perbahasan alim besar seperti Al-Qardhawi atau Tubuliyak.

Orang awam lebih senang menerima penjelasan polos, atau mudah, saja.

Namun tidak syak, persoalan yang ditimbulkan dalam buku ini amat besar maknanya, seperti konsep ummah (persaudaraan Islam) – bolehkah negara majoriti Muslim campur tangan ke atas negara lain yang mempunyai minoriti Muslim atas nama pembelaan saudara seagama?

Kemudian, terdapat sisi-sisi daripada undang-undang antarabangsa yang perlu diambil kira kerana umat Islam juga merupakan warga dunia – manakah yang didulukan?

Saya hanya dapat mengesyorkan agar Jawatankuasa Fatwa Muis atau sekumpulan ulama kita, termasuk Ustaz Muhammad Haniff, dapat mempelopori usaha menghasilkan pedoman untuk Islam di sini.

Mungkin buku pedoman itu terbahagi dua – satu bersifat kesarjanaan, seperti buku FMM, dan sebuah lagi merupakan intisari ringkas untuk kegunaan awam. Ini akan menjadi penunjuk tamadun umat Islam di Singapura, yang kian mendapat sorotan dunia kerana gagasan original, dari segi halal sehinggalah pengurusan masjid dan tanah wakaf.

FIQH MINORITI MUSLIM

Pengarang: Yusuf Al-Qardhawi dan Sulaiman Tubuliyak

Penterjemah: Ustaz Muhammad Haniff Hassan

Penerbit: Pergas dan Pustaka Nasional

Harga: $20

Jualan: Pergas, Haji Hashim Enterprise, Muslim-mart dan Muslimedia.com