Pelajaran 62 – Mengambil Kira Psikologi Manusia

Aisyah berkata “Pada satu malam, Nabi s.a.w tidak dapat tidur ketika baru sampai di Madinah. Lalu ia bersabda ‘Semoga seorang sahabatku menjagaku malam ini. Tiba-tiba kami mendengar bunyi senjata. Maka nabi s.a.w bertanya ‘Siapakah itu?’ Dia menjawab ‘Aku Sa`ad b. Abi Waqqas. Aku datang menjagamu. Kemudian Nabi s.a.w dapat tidur.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Pelajaran

1. Adakah Nabi s.a.w seorang yang penakut sehingga kebimbangannya menyebabkan ia tidak dapat tidur dan memerlukan pengawal untuk menjaga dirinya? Di manakah maqam tawakal yang tertinggi yang sepatutnya ada pada seorang Nabi? Jawabannya ialah Nabi s.a.w bukan seorang yang penakut dan bukan pula seorang yang tidak bertawakal.

2. Kebimbangan beliau adalah manifestasi unsur-unsur kemanusiaan yang ada dalam dirinya kerana seorang Nabi itu adalah seorang manusia yang tidak terlepas dari unsur-unsur kemanusiaan.

3. Bimbang atas keselamatan diri bukan bermakna penakut. Bahkan wujudnya perasaan takut dalam diri seseorang itu sahaja tidak bermakna dia adalah seorang yang penakut. Para sahabat apabila berangkat ke medan jihad tidak terlepas dari perasaan berdebar-debar, namun perasaan itu tidak menjadikan mereka pengecut untuk terjun ke dalam pertempuran.

4. Allah taala mencipta manusia berserta dengan perasaan-perasaan seperti bimbang, sedih dan gelisah. Setinggi mana sekali pun tahap komitmen seseorang dalam dakwah, ia tidak akan terlepas dari menghadapi perasaan-perasaan sedemikian dalam meniti jalan dakwah. Memahami hakikat ini adalah penting agar kita tidak melakukan yang bercanggah dengan fitrah dirinya dengan menidakkan dirinya dari perasaan-perasaan sedemikian atau menganggap dirinya rendah atau hina kerana merasa sedemikian.

5. Demikianlah juga kita dalam membimbing aktivis dakwah yang lain. Janganlah ia menafikan perasaan sedemikian dari anak buahnya. Jangan pula mencela mereka kerana merasa bimbang atau takut. Janganlah sekali-kali seorang pendakwah mendidik anak buahnya seolah-olah mereka itu malaikat bukan manusia.

6. Dakwah haruslah dilaksanakan mengikut sunnah alam. Antara sunnah alam ialah memelihara psikologi manusia yang kita berinteraksi dengannya.

7. Hadits ini juga mengajar akan kepentingan ke atas aktivis dan gerakan dakwah untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang wajar bagi memelihara kesejahteraan pemimpin, aktivis dan organisasi dakwah. Hadits ini juga mengajar akan perlu memiliki elemen hazr (berhati-hati) dalam meniti jalan dakwah. Kesemua ini dilakukan tidak sama sekali menidakkan konsep tawakal dan tidak pula mengurangkan sifat tawakal seseorang itu. Ia dilakukan semata-mata kerana ia dianjurkan oleh agama sebagaimana tawakal itu sendiri merupakan anjuran agama. Mengambil langkah keselamatan diri dan organisasi bukan sesuatu yang patut dipersendakan tetapi ia adalah sesuatu yang dianjurkan. Namun hazr (berwaspada) tidak sepatutnya pula menjadikan seorang itu paranoia sehingga menjadi seorang yang kaku dan beku.


Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.