Pelajaran 64 – Dakwah Bukan Untuk Orang-Orang Soleh Sahaja

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Sesungguhnya Allah (kadang kala) membantu agama ini dengan seorang lelaki yang fajir (jahat).” (Riwayat Al-Bukhari)

Pelajaran

1. Hadits ini mengajar kita untuk melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut, meletakkan sesuatu ditempatnya dan tidak menyamarata (generalise) dalam membuat penilaian.

2. Kita hendaklah melihat bahawa seorang yang fajir (jahat) juga berkemungkinan mempunyai peranan yang positif bagi agama ini.

3. Janganlah kejahatan seseorang itu menutup mata kita untuk melihat potensi dan kebaikan yang ada pada seseorang itu untuk dimanfaatkan bagi agama ini. Janganlah cepat menyisihkan seseorang itu dari usaha dakwah semata-mata kerana kelemahan yang ada padanya.

4. Janganlah menilai seseorang itu pada sifat jahatnya sahaja tetapi lihatlah juga pada kebaikan yang ada padanya.

5. Sekali lagi, hadits ini mengajar kita bahawa seorang yang jahat itu berbagai-bagai, tidak sedarjat. Ada yang jahat sehingga memudaratkan Islam dan umatnya. Ada pula yang jahat pada diri sendiri tetapi bermanfaat bagi Islam dan umatnya. Ada yang banyak jahatnya dan ada pula yang sedikit. Dalam menafsirkan hadits ini, para ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan orang jahat di sini ialah yang melakukan kejahatan yang mudaratnya hanya ke atas diri sendiri sahaja.

6. Harus bekerjasama dengan lelaki yang jahat dalam perkara yang mempunyai maslahat bagi agama.

7. Kita hendaklah mempunyai kacamata inklusif bukan eksklusif, iaitu berusaha untuk melihat setiap individu mempunyai potensi atau aset bagi maslahat dakwah.

8. Dengan kacamata sedemikian, kita akan mendapati sumber yang ada untuk usaha dakwah lebih luas.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.