Pelajaran 66 – Menjinakkan Hati Dengan Hadiah

Abdullah b. Mas`ud r.a berkata “Ketika selesai perang Hunain Nabi s.a.w mengutamakan beberapa tokoh-tokoh Quraisy dalam pembahagian harta rampasan perang. Dia s.a.w memberi kepada Al-Aqra’ b. Haabis seratus unta. Uyainah juga diberi sebanyak itu dan dia s.a.w memberi kepada beberapa orang terkemuka juga. Dia s.a.w telah mengutamakan mereka dalam pemberian, sehingga ada orang berkata ‘Demi Allah pembahagian itu tidak adil dan tidak kerana Allah.’ Abdullah b. Mas`ud berkata ‘Demi Allah akan aku sampaikan berita ini kepada rasulullah s.a.w. Ketika aku beritahu kepada Nabi s.a.w, beliau bersabda ‘Maka siapakah yang adil, jika Allah dan Rasulullah dianggap tidak adil? Semoga Allah memberi rahmat kepada Musa. Dia telah diganggu lebih banyak dari ini, maka ia sabar’.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Rujuk Al-Lulu’ Wal Al-Marjan, hadits nombor 637.)

Pelajaran

1. Hadits di atas mengajar bahawa harus mengurniakan hadiah atau anugerah kebendaan kepada mereka yang baru masuk Islam khususnya golongan para pembesar dan pemimpin kerana untuk menjinakkan hati mereka. Bahkan diharuskan juga pemberian berkenaan kepada golongan bukan Muslim bagi tujuan menarik hati mereka kepada Islam atau memenangi sokongan mereka atau memenuhi maslahat Islam yang lain, sebagaimana yang terdapat dalam syariat pembahagian zakat kepada golongan muallaf. Rujuk kitab-kitab fiqh mengenai asnaf zakat – golongan Muallaf.

2. Apa yang menarik ialah insiden yang dinyatakan di atas berlaku pada ketika Rasulullah s.a.w sudah kuat berkuasa kerana telah menakluk Mekah. Namun s.a.w dia tetap menggunakan pendekatan sedemikian.

3. Apa pun setengah-setengah pihak katakan bahawa amalan sedemikian seolah-olah bersifat bermuka-muka, bermujamalah (bermanis-manis) dengan penguasa, seumpama rasuah, apologetik, mentaliti pengalah (defeatist), defensif dan lain-lain tidak mengubah hakikat bahawa apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah satu pilihan (option) atau rukhsah dalam pendekatan dakwah. Jika ia adalah satu rukhsah, maka ia menjadi ruang ijtihad bagi para pendakwah. Jika ia dipilih sebagai satu pendekatan dengan kejelasan hujah, ia hendaklah dihormati, kalau pun jika kita tidak bersetuju dengannya.

4. Bagaimanakah pendekatan ini dapat dimanfaatkan sebagai sebahagian dari strategi dakwah yang bersepadu tanpa menimbulkan mudarat atau pelanggaran syariat? Ini adalah satu soalan yang perlu difikirkan oleh para pendakwah, bukan mengelak atau melarikan diri darinya kerana mengelak darinya hanya akan menafikan dakwah dari pendekatan-pendekatan yang bermanfaat baginya.

5. Seorang pemimpin kadangkala perlu dan berani mengambil keputusan yang tidak popular, sekiranya dia jelas akan dasar keputusan yang ia buat dari segi strategi, syariat dan logik.

6. Dalam menunaikan tangungjawab kepimpinan, pemimpin pasti akan menghadapi sikap-sikap negatif dari para pengikut kerana ketidakfahaman atau kelemahan mereka. Realiti ini mestilah dihadapi dengan terbuka dan penuh kesabaran. Ia hendaklah ditanggapi sebagai sebahagian dari asam garam kepimpinan dakwah. Ia tidak wajar dijadikan alasan untuk mundur dari tugas atau merajuk kerana Rasulullah s.a.w menghadapi situasi sedemikian dan nabi Musa a.s menghadapi lebih buruk dari itu.

7. Orang yang menuduh atau mempertikaikan keikhlasan orang lain tidak semestinya lebih baik atau benar dari yang dituduh.

8. Jika sahabat berkenaan pergi berjumpa Rasulullah s.a.w dan mencari penjelasan mengenai perbuatan beliau, pasti dia tidak jatuh dalam bersangka buruk, membuat hukuman dan tuduhan terhadap Rasulullah s.a.w.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.