Pelajaran 52 – Dakwah Kuantitatif, Bukan Sekadar Andaian

Huzaifah r.a telah berkata “Berkata Rasulullah s.a.w ‘Catatkanlah untukku nama orang-orang yang telah menganut Islam.’ Maka kami mencatat seribu lima ratus orang dan kami berkata ‘Apakah tuan merasa takut terhadap kami padahal kami kini seribu lima ratus orang?’ Kemudian nyata kami telah diuji dengan bala ketakutan sehingga adakalanya seorang itu bersembahyang sendirian kerana takut.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Pelajaran

1. Rasulullah s.a.w menunjukkan contoh yang baik dalam pengurusan dakwahnya. Dalam hadits ini, Rasulullah s.a.w menggunakan kaedah pengumpulan data dan maklumat bagi mengetahui realiti dakwah yang dia hadapi.

2. Rasulullah s.a.w tidak melakukan dakwah hanya dengan andaian dan sangkaan semata-mata. Beliau sentiasa mengumpulkan maklumat bagi pelaksanaan dakwahnya. Beliau mengkaji jumlah mereka yang telah masuk Islam. Beliau mempunyai senarai golongan yang munafiq. Beliau sering kali menghantar pasukan pengintip bagi mengintip pergerakan musuh-musuhnya. Kesemua ini dilakukan sedangkan beliau adalah seorang Rasulullah s.a.w yang mendapat jaminan bantuan Allah taala dan dalam keadaan beliau amat yakin akan kekuasaan Allah taala dan segala janjiNya.

3. Hakikat ini juga mengajar kita akan kepentingan maklumat dan data bagi pengurusan dan perancangan dakwah.

4. Walau pun terdapat contoh yang banyak dari Rasulullah s.a.w yang berkaitan dengan pengumpulan data dan maklumat serta kajian lapangan, namun amalan ini masih boleh dikatakan terabai di kalangan para aktivis dan organisasi dakwah hari ini. Seringkali para aktivis dan organisasinya merancang dakwah berdasarkan andaian dan sangkaan. Tidak banyak organisasi dakwah yang benar-benar serius dalam melakukan pelbagai kajian lapangan, pengumpulan data dan maklumat bagi memahami persekitaran dakwah agar usahanya menjadi lebih berkesan. Natijahnya, masyarakat melihat program dakwah yang sama, berulang-ulang, bertindan, mengikut tren semata-mata, tidak menjurus pada akar masalah dan akhirnya pembaziran sumber.

5. Antara sebab berleluasanya perkara ini ialah kejahilan (ignorance), sikap ambil jalan mudah, malas, mahu cepat dan ada juga disebabkan oleh lokek untuk berbelanja kerana aktiviti seperti ini hanya membelanjakan wang dan tidak mendatangkan pulangan wang secara langsung.

6. Hadits ini juga mengajar para aktivis dakwah bahawa sunnah dakwah adalah sama dalam semua keadaan. Iaitu dakwah akan sentiasa melalui ujian dan tribulasi. Ujian dan tribulasi akan terus menimpa para aktivis dakwah pada ketika ia sedikit atau ramai. Oleh itu, jangan sekali menyangka dengan jumlah pengikut yang semakin ramai, kerja dakwah akan menjadi lebih mudah dan selesa. Kefahaman seperti ini mengajar para pendakwah agar tidak merasa puas (complacent). Sebaliknya ia hendaklak terus siap siaga. Jumlah yang ramai hanya memberi para aktivis dakwah sumber yang lebih bagi melakukan usaha dakwah tetapi tidak merubah sunnah dakwah.

7. Dalam keadaan krisis dan menghadapi ancaman yang besar, para pendakwah dibenarkan untuk menyembunyikan dirinya bagi mengelakkan dari kemusnahan dan kehancuran.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.