3 – Menangguh Usaha Mengubah Kemunkaran

Dari Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Seandainya bukan kerana kaummu yang masih kufur, maka aku akan meruntuhkan Ka`bah kemudian aku dirikan kembali atas asas binaan Ibrahim kerana orang Quraisy telah mengurangi dalam pembinaan Ka`bah dan membuat pintu (khusus).” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Telah berkata Muaz b Jabal r.a “Saya pernah dibonceng oleh Nabi s.a.w dengan menaiki seekor keldai. Tidak ada antara aku dengan beliau kecuali di akhir rombongan. Maka Nabi s.a.w bertanya kepadaku “Hai Mu`az, tahukah kamu apa hak Allah atas hambanya dan apa hak hamba atas Allah? Maka aku katakan “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Maka nabi s.a.w bersabda “Hak Allah atas hambanya adalah hendaknya mereka menyembah (beribadah) kepadaNya dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu pun. Dan hak hamba atas Allah adalah Allah tidak akan menyiksa orang yang tidak musyrik kepadaNya.” Aku berkata “Wahai Rasulullah, tidakkah sebaiknya aku sampaikan berita ini kepada manusia?” Nabi bersabda “Janganlah kamu memberi khabar gembira ini kepada mereka kerana mereka akan menjadi pasrah (bermalas-malasan).” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Kedua hadits di atas memberi kefahaman bahawa pelaksanaan dakwah haruslah melihat akan realiti yang dihadapi i.e keadaan masyarakat dan manusia yang kita berbicara dengannya.

 

2. Sesuatu kebaikan tidak semestinya dilakukan dengan segera semata-mata kerana ia adalah satu kebaikan tanpa mengambil kira faktor-faktor lain. Begitulah juga, sesuatu ajaran yang baik tidak semestinya disampaikan semata-mata kerana ia adalah satu ajaran yang baik tanpa mengambil kira kesan ajaran berkenaan.

 

3. Boleh menangguhkan satu perbuatan yang baik atau menyampaikan ajaran yang baik jika melakukan perbuatan itu atau menyampaikannya tidak memberi maslahat yang besar atau menyebabkan mudharat yang lebih besar. Rasulullah s.a.w menangguhkan hasrat untuk merobohkan Ka`abah dan membinanya semula mengikut saiz binaan nabi Ibrahim kerana takut fitnah dari orang-orang Quraisy yang baru sahaja masuk Islam. Rasulullah s.a.w mencegah Muaz dari menyampaikan ajarannya jika ia akan mengakibatkan orang ramai menjadi malas untuk beribadah.

 

4. Jika diterbalikkan ajaran di atas, maka bolehlah dikatakan bahawa mencegah kemunkaran juga haruslah mengambil kira pelbagai faktor serta harus menananguhkan usaha mencegah kemunkaran jika ia akan mengakibatkan mudharat yang lebih besar. Ini dapat dilihat dari perbuatan Rasulullah s.a.w yang menangguhkan tindakan memecahkan patong-patong di sekeliling Ka`abah hanya setelah Mekah dikuasai.

 

5. Apabila didapati seorang aktivis atau organisasi dakwah tidak segera menyampaikan kebenaran atau mencegah kemunkaran yang berlaku, tidaklah boleh ia terus dituduh telah mengabaikan tangungjawab dakwah atau telah berkompromi. Sebaliknya perlulah dilihat pendiriannya itu dengan baik sangka dahulu kemudian hendaklah meminta penjelasan. Hal ini adalah kerana mungkin dia mempunyai pertimbangan-pertimbangan tertentu yang tidak diambil kira oleh orang lain atau hambatan-hambatan tertentu yang tidak dihadapi oleh orang lain.

 

6. Hadits pertama juga merupakan dalil akan prinsip tadarruj (bertahap-tahap) dalam melakukan perubahan.

 

7. Hadits kedua mengajar pendakwah bahawa ada maklumat yang sesuai bagi seseorang tetapi tidak sesuai bagi orang lain. Ada maklumat yang sesuai bagi individu tetapi tidak sesuai bagi masyarakat umum. Memahami ini adalah penting dalam dakwah agar apa yang disampaikan itu sentiasa sesuai dengan sasarannya kerana aktivis dakwah diperintah untuk bercakap dengan manusia mengikut tahap keupayaan akal mereka.

 

8. Sesiapa yang menangguhkan amar makruf atau nahi munkar kerana alasan yang syar’ii, bagi dia hisab atas ijtihadnya. Namun perlulah diingat bahawa Allah taala maha mengetahui akan isi hati manusia.