Pelajaran 91 – Melihat Kepada Roh Syariat

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang memerdekakan seorang hamba Muslim, maka tertebuslah setiap anggota badannya melalui anggota badan hamba itu dari neraka.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Rujuk kitab Al-Lu’lu’ Wa Al-Marjan, hadits no. 964)

Pelajaran

1. Hadits ini membicarakan mengenai kelebihan memerdekakan hamba. Jika kita mengkaji hukum Islam, kita akan dapati bahawa syariat mengenai penghambaan tidak pernah berlaku pemansukhan ke atasnya ketika Rasulullah s.a.w hidup. Maka sebab itu, perhambaan masih terus diamalkan dalam masyarakat Islam beratus tahun setelah kewafatan Rasulullah s.a.w.

2. Ini tidaklah bermaksud bahawa Islam menggalakkan perhambaan. Sebaliknya sesiapa yang mengkaji prinsip-prinsip syariat Islam akan memahami bahawa Islam tidak sama sekali menggalakkannya. Sebaliknya Islam ditegakkan atas dasar persamaan dan kebebasan bagi setiap individu. Satu tanda bahawa Islam tidak menggalakkan perhambaan ialah wujudnya syariat mewajibkan Muslim untuk memerdekakan hamba apabila melakukan sesuatu kesalahan. Selain itu, ialah anjuran bagi seorang Muslim untuk memerdekakan hamba dengan menjanjikan ganjaran yang besar sebagaimana yang dinyatakan dalam hadits ini.

3. Hari ini, perhambaan telah tidak lagi diamalkan seperti dahulu. Perhambaan telah disepakati di seluruh dunia oleh masyarakat antarabangsa sebagai kesalahan yang boleh dihukum. Realiti ini seolah-olah menggambarkan wujudnya “ijma'” seluruh manusia dalam hal ini.

4. Walaupun perhambaan itu pada asalnya tidak dimansuhkan dalam Islam melalui mana-mana ayat Al-Quran atau hadits Nabi s.a.w, namun ini tidak bermakna ia boleh diteruskan lagi pada hari ini atau harus untuk mengamalkannya atas dasar bahawa  apabila dia tidak dimansuhkan, maka syariatnya masih tertegak. Hal ini adalah kerana dia bercanggah dengan tujuan syariat itu sendiri yang memuliakan setiap anak Adam dan menjamin kebebasan setiap seorang darinya.

5. Sehingga yang dinyatakan di atas itu ditolak, cuba bayangkan bagaimanakah tanggapan dunia umumnya jika umat Islam mengidupkan kembali perhambaan atas dasar ia satu syariat yang masih tertegak, sedangkan ia telah lama ditinggalkan oleh manusia umumnya? Yang lebih penting lagi ialah bagaimana umat Muslim dapat mensejajarkan (reconcile) dengan prinsip persamaan dan kebebasan dengan amalan perhambaan di hadapan umat lain yang telah pun menolak amalan ini?

5. Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa ada ketikanya tujuan hukum (maqasid syariah) itu lebih penting dari hukum itu sendiri.

6. Sebagaimana penting untuk memahami sesuatu hukum, sama pentingnya juga untuk memahami tujuan hukum. Kegagalan memahami tujuan hukum atau berpegang pada zahir hukum semata-mata boleh menyebabkan ketidakadilan dan kesilapan yang serius.

7. Namun perlulah diingat bahawa keupayaan untuk mengaplikasikan kefahaman ini dalam usaha dakwah merupakan satu perkara yang rumit dan memerlukan ketelitian. Ia dicapai melalui ilmu yang mendalam disamping taufiq dan hidayah dari Allah taala.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.