Pelajaran 99 – Bekalan Rohani Pendakwah

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Hendaklah kamu melaksanakan qiyamullail. Sesungguhnya ia adalah amalan para salihin sebelum kamu, alat mendekatkan diri kepada Tuhan kamu, penghapus bagi kejahatan, pencegah dari dosa dan penolak dari penyakit hasad.” (Riwayat At-Turmuzi)

Nabi s.a.w bersabda kepada Abu Hurairah “Adakkah kamu ditimpa sakit perut?” Abu Hurairah berkata “Ya! Wahai Rasulullah.” Dia lalu bersabda “Bangunlah dan lakukanlah solat. Sesungguhnya solat itu adalah penawar.” (Riwayat Ibn Majah)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Wahai Bilal! Beriqamahlah untuk solat dan rehatkanlah kami dengannya.” (Riwayat Abu Daud)

Pelajaran

1. Dakwah adalah tugas yang berat. Ia memenatkan tubuh badan dan mencukai emosi dan perasaan. Kegagalan, cemuhan dan ejekan manusia dan banyak perkara akan mengakibatkan ‘luka-luka’ dijiwa dan hati kita. Pada ketika tertentu kita akan merasa kecewa, putus asa, lemah, penat, lelah bahkan tekanan perasaan. Masa-masa ini kadangkala adalah kritikal kerana ia menentukan samada kita akan terus beristiqamah atau berhenti setakat itu sahaja.

2. Untuk menangani situasi ini dalam kehidupan kita, selain dari rawatan dalam bentuk kaunseling atau perubatan, kita hendaklah tidak lupa akan amalan-amalan seperti solat sunat, qiyamullail dan ibadah-ibadah yang lain kerana Rasululullah mensifatkan solat dan amalan-amalan seumpamanya sebagai penawar bagi ‘luka’ dan ‘duka’ di jalan dakwah dan merehatkan tubuh. Rasulullah s.a.w sendiri turut merasakan keletihan dan mencari kerehatan dari solat bersama para sahabatnya.

3. Hakikat ini mengajar akan pentingnya amal peribadi yang berterusan dalam

kehidupan kita. Ia bukan hanya merawat ‘luka’ dan ‘duka’ tetapi juga mencegahnya. Ia membina stamina tubuh fizikal dengan memelihara kesihatannya dan stamina emosi dengan menjaga ketenangan dan membersihkan jiwa dari kekotoran.

4. Rasulullah s.a.w adalah insan yang paling sibuk dengan tugas dakwahnya dan paling perihatin akan nasib umatnya. Namun dia tidak pernah menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak melaksanakan solat-solat sunatnya dan ibadah lain.

5. Dalam menunaikan tugas dakwah, kita sering bertemu dengan mereka yang bermasalah dengan pelbagai masalah kehidupan sehingga menimbulkan masalah kejiwaan. Selain dari menawarkan kaunseling dan rawatan perubatan kepada mereka, hadits di atas juga mengajar kita salah satu penawar bagi mereka ini. Iaitu mengajak mereka untuk melakukan ibadah-ibadah tertentu. Semoga dengan ibadah itu, jiwanya menjadi tenang dan kuat. Semoga ibadah itu juga menguatkan imannya sehingga membantunya untuk menguatkan azam bagi menangani sendiri masalah yang menggangunya itu. Janganlah kita lupa akan peranan zikir dan ibadah dalam menyelesaikan masalah seseorang. Kadangkala ia lebih mujarab dari nasihat dan ubat-ubatan.

6. Kita hendaklah sentiasa menunjukkan kepekaan terhadap mereka disekelilingnya sebagaimana Nabi s.a.w menunjukkan keperihatinan terhadap Abu Hurairah. Jika kita tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan kepada mereka yang bermasalah, paling kurang anjurkanlah kepadanya amalan-amalan yang boleh meringankan beban masalah yang dipikul itu.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.