Pelajaran 59 – Bertahap-Tahap Dalam Berdakwah

Abi Ma’bad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada Muaz b. Jabal ketika hendak dikirim ke Yaman yang bermaksud;

“Sesungguhnya engkau akan datang kepada kaum dari Ahli Kitab. Maka jika kamu telah datang kepada mereka, ajaklah mereka untuk bersyahadah bahawa sesungguhnya tiada ilah (tuhan) selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah. Jika mereka telah mentaati kamu dengan sesungguhnya, maka beritahukan kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah telah mewajibkan atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka telah mentaati perintahmu, maka beritahukan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka sedekah (zakat) yang diambil atau dipungut dari orang-orang kaya mereka kemudian dibahagikan kepada orang-orang faqir di antara mereka. Jika mereka mentaati perintahmu itu, maka janganlah kamu mengambil harta mereka yang berharga dan takutlah kamu terhadap doa orang yang dianiaya, sesungguhnya tidak ada hijab antara doa mereka dengan Allah.” (Riwayat Al-Bukhari)

Pelajaran

1. Hadits ini menjelaskan akan prinsip bertahap-tahap dalam melaksanakan perintah Allah taala, memberi taklif kepada manusia dan dalam menegakkan syariat. Dalam hadits ini jelas sekali akan nasihat Rasulullah s.a.w kepada Muaz r.a agar mendidik masyarakat untuk mengamalkan sesuatu kewajiban setelah satu kewajiban yang lain difahami dan dilaksanakan. Kesemua kewajiban itu telah disyariatkan dan menjadi kewajiban ke atas umat Islam, namun Rasulullah s.a.w tetap menganjurkan agar Muaz mengajar masyarakat berkenaan untuk melakukan kewajiban itu satu per satu, tahap bertahap dan bukan sekali gus.

2. Contoh aplikasi hadits ini ialah bagi mereka yang baru masuk Islam, bolehlah ditangguhkan mengajarnya sesuatu kewajiban atau menangguhkan tuntutan untuk melakukan sesuatu e.g memakai hijab bagi wanita, berpuasa agar ia dapat menguatkan imannya dahulu, menumpukan kewajiban yang lebih utama dan membina kebiasaan untuk melakukan sesuatu kewajiban.

3. Hadits ini diucapkan semasa Rasulullah s.a.w telah berhijrah. Ini bermakna dalam keadaan sesuatu syariat telah sempurna diturunkan dan pada asalnya wajib untuk dilaksanakan, namun prinsip bertahap-tahap untuk menegakkannya dalam sesuatu konteks masih perlu dipelihara. Contoh dalam masalah ini ialah pelaksanaan Hudud di Singapura. Berdasarkan hadits inilah pandangan bahawa walau pun Hudud adalah sebahagian dari syariat tetapi tidak menjadikannya sebagai agenda dakwah disebabkan pertimbangan realiti dan keutamaan bukanlah satu tindakan yang salah di sisi syara’ dan bukan satu pengabaian kepada prinsip Islam. Maka pandangan setengah pihak bahawa kesempurnaan syariat menuntut ia ditegakkan tanpa mengambil kira awlawiyat (keutamaan) dan konteks adalah sesuatu yang tidak sesuai dengan anjuran Islam.

4. Apa yang tersirat dari hadits ini juga mengajar kita bahawa period Madinah tidak memansukhkan semua yang berlaku dalam period Mekah. Maka ciri utama period Mekah yang memberi fokus kepada akidah dan bertahap-tahap dalam tasyri’ tidak termansukh dengan ciri kesempurnaan syariat dalam period Madinah. Sebaliknya setiap period itu kekal sebagai panduan bagi pendakwah dalam menghadapi konteks dan realiti yang sesuai dengannya.

5. Kita hendaklah perihatin dan membezakan antara mereka yang menolak syariat tertentu dengan mereka yang menangguhkan pelaksanaannya kerana pertimbangan strategi dan pendekatan.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.