Aspek Komunikasi Dalam Membanteras Ideologi Pengganasan

(Nota: Artikel di bawah diterbitkan dengan suntingan kerana keterbatasan ruang oleh Berita Harian, 4 Februari 2008 dengan judul “Benteng komunikasi perlu dalam usaha basmi faham pengganasan”)

 

Berita mengenai penangkapan terbaru tiga warga Singapura yang terpengaruh secara sendiri oleh ideologi pengganasan melalui internet makin mengukuhkan lagi kepentingan usaha untuk membanteras ideologi berkenaan secara berterusan.

 

Usaha pembanterasan ideologi pengganasan adalah usaha untuk menyanggah dan membatalkan keabsahan ideologi dan propaganda kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda yang cuba memberi legitimasi kepada perbuatan mereka dengan hujah-hujah agama dengan tujuan untuk menarik sokongan orang ramai.

 

Usaha ini mempunyai dua aspek. Pertama ialah aspek merangka hujah-hujah yang bernas dan kukuh bagi membuktikan kepada orang ramai bahawa ideologi yang mendasari kumpulan seperti Al-Qaeda adalah salah di sisi agama dan yang kedua pula ialah aspek mengkomunikasikanya kepada sasaran yang dikehendaki.

 

Pastinya sanggahan dan hujah yang kukuh ke atas ideologi pengganasan tidak akan mempunyai nilai dan kesan yang dikehendaki jika segala itu gagal dikomunikasikan dan tidak memberi kesan kepada sasaran yang ditujukan.

 

Oleh itu, secara logiknya boleh dikatakan bahawa aspek komunikasi melawan ideologi pengganasan sama pentingnya dengan perangkaan hujah-hujah yang bernas dan kukuh. Keduanya ibarat dua wajah duit yang tidak dapat dipisahkan.

 

Aspek Yang Kurang Diberi Perhatian

 

Walaupun aspek komunikasi melawan ideologi kumpulan pengganas itu penting, namun ia adalah satu bidang kajian yang kurang diberi perhatian, baik oleh pihak pengkaji atau pengamal. Tidak banyak bahan kajian yang dihasilkan dalam bidang ini oleh para pengkaji bagi membantu para pengamal untuk mempertingkat keberkesanan usaha yang kerana tiada contoh masa lalu dan pelajaran darinya.

 

Disebabkan keterbatasan ruang, artikel ini hanya akan memberi fokus dahulu dalam memberi pandangan mengenai aspek kedua. Diharapkan ia memberi sumbangan dalam mempertingkatkan usaha-usaha membanteras ideologi pengganasan yang sedang dijalankan oleh pihak yang berkenaan.

 

Namun, disebabkan kurang kajian yang dibuat dalam aspek ini, artikel ini tidak bertujuan untuk mencadangkan model terbaik untuk dicontohi tetapi ia hanya akan membentangkan rangka umum dan perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam mengkomunikasikan sanggahan terhadap ideologi pengganasan.

 

Apa dan Bagaimana

 

Apa yang dimaksudkan sebagai aspek komunikasi membanteras ideologi pengganasan perlulah paling tidak meliputi tiga elemen; 1) penyampaian hujah dan sanggahan yang bernas dan tepat, 2) memastikan bahawa sanggahan dan hujah berkenaan sampai ke sasaran yang dikehendaki, 3) memastikan bahawa pihak yang disasarkan memahami hujah yang disampaikan sebagaimana yang dikehendaki.

 

Bagaimana hujah melawan ideologi pengganasan dikomunikasikan menyentuh aspek gaya dan media yang perlu digunapakai.

 

Terdapat pelbagai gaya komunikasi yang boleh digunapakai bagi tujuan ini. Program membanteras ideologi pengganasan yang baik seharusnya mempunyai pendekatan komunikasi yang bersifat holistik iaitu yang memanfaatkan segala macam gaya dan media yang ada.

 

Pemilihan gaya komunikasi haruslah berpaksi kepada kelompok yang hendak disasarkan kerana lain kelompok seperti belia, orang dewasa, golongan simpatisan memerlukan gaya yang berbeza bagi memastikan komunikasi yang berkesan. Oleh itu, usaha melawan ideologi tidaklah boleh dijalankan dalam bentuk mono-gaya kerana ia tidak akan mampu menjangkau pelbagai kelompok yang ada dalam masyarakat. Pengamal usaha melawan ideologi pula tidak dalam boleh memilih sesuatu gaya kerana rasa sukanya semata-mata tanpa menghiraukan kepada siapa hendak disasarkan hujah-hujahnya itu.

 

Dalam mempelbagaikan gaya komunikasi, usaha memenangkan hujah ke atas ideologi pengganasan mestilah dilakukan berteraskan ilmu yang dapat memberi kepuasan dan keyakinan kepada si penerima. Ertinya, perlawanan menentang ideologi pengganasan tidak boleh dimenangi melalui fatwa-fatwa ringkas yang mengatakan pengganasan itu haram atau melakukan pengeboman nekad itu terlarang semata-mata. Sebaliknya ia mesti disokong oleh hujah-hujah ilmiyah yang mantap berdasarkan kajian yang mendalam. Jika tidak, usaha melawan ideologi pengganasan hanya akan berkisar kepada retorika dan hanya akan dilihat bersifat ”cuci otak” semata-mata. Dalam jangka panjang, ini pastinya akan menjejas kewibawaan usaha ini dan pastinya tidak akan mampu menandingi kecanggihan hujah-hujah golongan pengganas melalui media-media mereka.

 

Gaya-gaya yang lain yang lebih bersifat ringkas dan mudah dalam bentuk risalah atau poster dan sebagainya untuk kelompok tertentu yang mungkin tidak berupaya untuk memahami penulisan-penulisan ilmiyah berguna sebagai pengukuh dan penyokong tetapi tidak boleh mengganti atau menjadi gaya utama bagi hujah-hujah ilmiyah yang mendalam dan bernas.

 

Sebagaimana aspek gaya komunikasi, penggunaan media juga mestilah pelbagai bagi menjangkau pelbagai kempok sasaran yang berbeza.

 

Media-media tradisional seperti buku, risalah, poster, seminar, forum, rakaman audio/video dan lain-lain masih lagi berguna dan perlu dimanfaatkan. Namun, perlulah diingat bahawa kajian menunjukkan pengaruh ideologi pengganasan dan penyebarannya banyak berlaku di media-media bukan tradisional. Yang paling penting dalam hal ini ialah internet iaitu melalui halaman web, forum dan sembang maya.

 

Walaupun sekarang ini usaha-usaha membanteras ideologi pengganasan sudah bermula di internet dengan kewujudan beberapa halaman web dan blog oleh individu dan badan-danag seperti Kumpulan Pemulihan Agama dan Muis, namun usaha-usaha yang ada masih terbatas jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan pelampau itu sendiri.

 

Selain itu pendekatan yang digunapakai masih bersifat pasif. Kebanyakan wadah-wadah internet itu diwujudkan dengan mengharap agar orang ramai dan kelopok pelampau mengunjungi dan membacanya. Usaha untuk memasuki wadah-wadah internet yang diwujudkan oleh golongan pelampau atau di mana golongan ini aktif mempropagandakan pemikiran mereka kurang dilakukan. Oleh itu, masih banyak pembaikan yang boleh dibuat terhadap usaha di internet yangs sedia ada.

 

Kumpulan Sasaran dan Objektif

 

Sebagaimana yang telah dinyatakan, komunikasi bagi membanteras ideologi pengganasan yang berkesan memerlukan kejelasan terhadap sasaran yang hendak ditujukan.

 

Sesetengah pihak menyangka bahawa usaha ini hanya ditujukan kepada mereka yang telah dipengaruhi atau menganggotai kumpulan pelampau dengan tujuan untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar.

 

Tanggapan seperti ini adalah tidak tepat. Sasaran usaha membanteras ideologi pengganasan haruslah juga merangkumi masyarakat Muslim secara umum dengan tujuan mencegah mereka dari dipengaruhi ideologi pengganasan. Apabila masyarakat Muslim umumnya tidak dapat dipengaruhi ini akan menyukarkan kumpulan pengganas untuk mendapat anggota baru. Lama kelamaan ia akan pupus kerana tiada sokongan untuk mereka.

 

Bahkan, usaha menyanggah ideologi pengganasan juga mestilah disasarkan kepada golongan bukan Muslim. Ini bertujuan untuk mengelakkan mereka agar turut mempercayai bahawa apa yang dipropagandakan oleh kumpulan pengganas mewakili ajaran Islam dan umatnya. Usaha memberi dan membetulkan kefahaman mengeni Islam kepada golongan bukan Muslim adalah penting kerana dalam konteks sebuah masyarakat majmuk di Singapura, kehidupan sosial yang harmoni memerlukan kefahaman yang betul setiap pihak terhadap yang lain dan jauhnya setiap pihak dari prejudis terhadap yang lain. Apatah lagi, kumpulan pengganas sememangnya mahu mencetuskan ketidakstabilan sosial kerana ia akan membantu agenda jahat mereka.

 

Namun bagi menambah keberkesanan komunikasi, adalah penting untuk membahagikan setiap dari satu dari tiga kelompok yang dinyatakan kepada kelompok-kelompok yang lebih kecil dan mengenal pasti keperluan mereka agar sesuatu komunikasi itu dapat disesuaikan untuk mereka. Bahkan yang lebih penting lagi ialah untuk mengenalpasti apa yang dikenali sebagai kelompok yang berisiko tinggi terhadap pengrauh ideologi pengganasan agar usaha yang lebih fokus boleh dengan segera menjurus ke arah mereka.

 

Perkara ini masih belum dicapai hari ini. Bahkan para pengkaji masih menghadapi kesukaran untuk memahami fenomena dan proses radikalisi seseorang serta mengenal pasti profil umum mereka yang dikatakan pengganas.

 

Walau bagaimanapun, usaha untuk mengatasi perkara ini perlu diteruskan bagi membaiki lagi usaha yang sedia ada.

 

Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, dapatlah juga disimpulkan bahawa objektif dari usaha mengkomunikasikan hujah-hujah sanggahan terhadap ideologi pengganasan ialah untuk menyedarkan mereka yang sudah terpengaruh agar kembali kepada kefahaman Islam yang benar, menghalang orang awam dari terpengaruh oleh propaganda pengganasan dan menghalang golongan bukan Muslim dari mempunyai salah tanggapan dan prejudis terhadap masyarakat Muslim yang boleh menjejas hubungan yang baik dan keharmonian sosial.

 

Adalah lebih baik jika hujah-hujah sanggahan bukan hanya dapat meyakinkan penerima akan kesalahan ideologi pengganasan tetapi juga memenangi komitmen mereka untuk turut menyumbang kepada usaha membanteras ideologi ini.

 

Amanah dan Kejujuran

 

Selain hujah-hujah yang kukuh, keberkesanan komunikasi membanteras ideologi pengganasan memerlukan kewibawaan yang dibina atas sifat jujur, amanah dan akhlak yang mulia.

 

Usaha membanteras ideologi pengganasan bukanlah seperti perang psikologi ketenteraan atau propaganda politik yang kadangkala menggunakan taktik-taktik kotor seperti pembohongan, manipulasi fakta, helah-helah yang menipu serta putar belit semata-mata untuk mengalahkan lawan atau mendapatkan sokongan.

 

Usaha ini termasuk di dalam usaha menyampaikan ilmu yang memerlukan sikap amanah kepada kebenaran dan ilmu serta etika kesarjanaan yang tinggi.

 

Adalah diharapkan beberapa perspektif dan pengamatan yang dinyatakan dalam artikel ini dapat mencetus usaha yang lebih baik bagi membanters ideologi pengganasan yang terus mengancam keselamatan dan kefahaman tulen terhadap Islam.