Bukan Hanya Kita Yang Perlu Memahami Islam

Kita sering mengatakan bahawa umat Islam hari ini semakin sedar untuk mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup yang menjangkau dari ibadah-ibadah khusus semata-mata. Hakikat ini berlaku di mana-mana sahaja terdapat umat Islam. Hakikat ini begitu terserlah sehingga timbullah apa yang dikatakan sebagai abad kebangkitan Islam.

 

Namun abad kebangkitan Islam tidak seharusnya ditandai dengan peningkatan kefahaman umat Islam dan pengamalannya dalam  kehidupan mereka semata-mata tetapi juga sejauh mana orang bukan Muslim semakin faham akan Islam walau pun tidak menganutnya. Khususnya bagi masyarakat Islam Singapura yang sememangnya hidup dalam masyarakat berbilang bangsa dan merupakan masyarakat minoriti.

 

Masyarakat Islam tidak mungkin dapat mengamalkan Islam dengan baik dan selesa sekiranya masyarakat bukan Muslim Singapura sendiri tidak faham akan Islam dan segala amalan-amalannya.

 

Apabila masyarakat bukan Muslim tidak faham akan hakikat Islam, maka mereka tidak akan dapat melihat keindahan dari amalan-amalan dalam Islam, mereka tidak dapat bersimpati dengan masyarakat Islam, mereka akan terdedah dan mudah terpengaruh dengan propaganda yang memburukkan Islam sehingga menimbulkan Islamophobia.

 

Hari ini, walau pun kita bersyukur akan peningkatan kesedaran terhadap Islam di kalangan masyarakat Islam namun sebenarnya terdapat jurang antara peningkatan masyarakat Islam terhadap agamanya dan peningkatan kefahaman masyarakat bukan Muslim terhadap agama Islam sendiri sebagai salah satu agama besar di Singapura.

 

Disebabkan jurang ini masyarakat Islam sering kali menghadapi kesukaran untuk beramal dengan beberapa ajaran Islam seperti mendapat kelonggaran menunaikan solat Jumaat di waktu kerja dan menutup aurat bagi wanita dan lelaki di sekolah-sekolah dan pasukan seragam. Disebabkan jurang ini juga pandangan negatif terhadap Islam masih kuat.

 

Antara sebab kewujudan jurang ini ialah usaha dakwah yang terlalu berfokus terhadap masyarakat Islam sahaja. Amat kurang sekali usaha untuk mendekati masyarakat bukan Muslim bagi memahamkan mereka tentang Islam yang mana tidak semestinya bertujuan untuk mengIslamkan mereka tetapi cukup untuk mereka memahami dan menghargai (appreciate) ajaran Islam.

 

Kita sering kali menyalahkan masyarakat bukan Muslim apabila mereka tidak akomodatif terhadap permintaan kita bagi mengamalkan ajaran agama kita. Kita membina pandangan bahawa semua orang kafir anti Islam dan akan berkonspirasi untuk menghancurkan Islam. Kita dengan mudah merumuskan bahawa sikap mereka adalah manifestasi terhadap perkara itu.

 

Walau pun tidak dinafikan kewujudan ayat-ayat Al-Quran dan hadith yang menerangkan sikap orang-orang kafir dan pelbagai contoh dalam dunia realiti akan ketidakadilan mereka, namun jangan lupa juga bahawa dalam sejarah Rasulullah s.a.w terdapat fakta-fakta berikut;

 

·         Rasulullah s.a.w pernah meminta perlindungan dari seorang kafir dari ancaman Quraisy apabila beliau di halang memasuki Mekah setelah kembali berdakwah dari Taif.

·         Rasulullah s.a.w pernah memerintahkan sahabatnya berhijrah ke Habsyah untuk berlindung dari ancaman Quraisy sedangkan rajanya pada ketika itu beragama Nasrani.

·         Rasulullah s.a.w pernah mengguna khidmat penunjuk jalan seorang bukan Islam semasa berhijrah.

·         Rasulullah s.a.w pernah membuat pelbagai pakatan dengan orang bukan Islam bagi menjaga kepentingan bersama.

 

Ertinya kita disuruh mempunyai sikap berhati-hati tetapi kita tidak boleh menjatuhkan hukuman secara samarata kerana kita akan kehilangan individu-individu bukan Islam yang berpotensi untuk membantu menjayakan misi Islam yang sebenarnya misi kebaikan bagi manusia.

 

Setelah Rasulullah s.a.w melarikan diri dari kejaran orang-orang musyrik di Taif setelah dakwahnya ditolak, beliau berdoa yang berbunyi “Ya Allah! Aku mengadu kepadaMu kelemahan kekuatanku dan sedikitnya strategiku”.

 

Doa ini jelas menunjukkan sikap Rasulullah s.a.w yang melihat akan kelemahan dirinya dahulu apabila menghadapi kegagalan dalam usahanya.

 

Maka termasuk dalam usaha mendapatkan kemudahan bagi wanita Islam menutup aurat di sekolah dan di tempat kerja ialah penerangan yang berterusan melalui sesi dialog, perbincangan, pertemuan tidak formal semasa minum teh atau makan tengahari akan falsafah di sebalik hijab dalam Islam.

 

Usaha mendekati masyarakat bukanMuslim juga akan membantu untuk menanamkan nilai-nilai murni yang ada dalam Islam kepada mereka. Masyarakat Islam Singapura perlu faham bahawa sebagai satu masyarakat minoriti, adalah sukar untuk kita membentuk anak-anak kita sebagai seorang muslim yang baik sekiranya ia hidup dalam persekitaran yang merosakkan. Sekiranya semakin ramai masyarakat bukan Islam mengamalkan nilai-nilai murni dalam Islam ini pastinya akan mewujudkan satu persekitaran yang lebih baik bagi masyarakat Islam sendiri.

 

Oleh itu, merangkul mereka yang bukan Muslim dalam program-program kita adalah satu langkah yang bijak dan perlu dilaksanakan. Rasa kekok, bimbang dan segala macam persoalan yang negatif mestilah dibuang jauh kerana tanggungjawab dakwah di bahu kita, maka kitalah yang perlu berubah bukan menanti perubahan sikap dari masyarakat bukan Muslim.