Cadangan Untuk Mengkontemporarikan Fiqh Jihad (Bah. 2)

Bersambung dari kiriman yang lalu.

Peristiwa 911 telah menonjolkan isu jihad dalam Islam ke tengah masyarakat. Di dalam perbincangan-perbincangan mengenainya, terdapat  setengah pihak yang berhujah akan peri pentingnya bagi umat Islam untuk menilai kembali idea jihad sebagai satu perjuangan bersenjata dan hanya menumpukan kepada “jihad yang lebih besar” — perjuangan rohani untuk membersihkan diri dari nafsu dan kejahatan dan berusaha ke arah pembangunaan diri semata-mata. Sebahagian yang lain, bahkan, mencadangkan agar menolak idea jihad bersenjata, sejajar dengan konsep pacifism dengan harapan akan muncul di kalangan umat Islam seorang “Gandhi Muslim”. Antara idea yang dilontarkan juga ialah cadangan agar Muslim menilai kembali kurikulum pendidikan yang mana, antara lain, berkait dengan bagaimana konsep jihad diajarkan.

 

Tidak semua dari cadangan-cadangan berkenaan dapat diterima oleh umat Islam. Bahkan, sesetengah cadangan yang dikemukan boleh disifatkan sebagai satu produk sesi “brainstorm” —  lontaran idea yang tidak mempunyai  apresiasi terhadap tradisi Islam dan sejarah umatnya mengenai jihad. Namun, ini tidak sepatunya menghalang ilmuwan Islam masa kini bersikap introspektif dalam isu ini. Muslim tidak seharusnya mempunyai perasaan bahawa keadaan yang sedia ada seratus peratus “ok”.

 

Islam adalah agama perubahan dan islah. Ia menuntut umatnya agar terus melakukan ijtihad dalam urusan agama. Sejarah menunjukkan bahawa idea mengenai pintu ijtihad telah tertutup menyumbang kepada kebekuan tradisi intelektual umat Islam dan kemudiannya kemunduran mereka.

 

Para ulama dahulu telah meninggalkan khazanah ilmu yang besar mengenai fiqh jihad yang masih relevan untuk memberi kerangka umum bagi jihad sebagaimana Teori Perang Adil (Just War Theory) berperanan sebagai kerangka umum bagi tingkah laku perang di zaman moden kini. Namun, karya yang ditulis ratusan tahun dahulu tidak boleh diterimapakai sebagai huraian bagi masalah masa kini tanpa syarat. Pengubahsuaian, penilaian kembali dan ijtihad semula pastinya diperlukan kerana konteks hari ini yang telah  pun berubah.

 

Perdebatan hari ini mengenai siapakah orang awam yang tidak sah dijadikan sasaran serangan adalah satu contoh. Artikel yang lalu telah menyatakan, walau pun, para ulama bersetuju mengenai adanya larangan membunuh golongan tertentu semasa perang, mereka berbeza pendapat dalam menentukan secara terperinci golongan ini. Senarai yang dikumpulkan oleh mereka tidak merangkumi semua kelompok orang awam dan bukan pejuang di masa kini. Selain itu, mereka juga berselisih pendapat mengenai apakah yang dimaksudkan dengan penglibatan dan sumbangan terhadap perang yang menyebabkan orang awam dan bukan pejuang hilang hak perlindungan mereka. Sebab disebalik perselisihan ini ialah pendirian mereka terhadap kesahihan sebahagian hadits dalam isu ini, tafsiran mereka terhadap hadits-hadits berkenaan dan perubahan pandangan para ulama sepanjang zaman kerana perubahan keadaan.

 

Ini hanyalah satu contoh yang menggambarkan kemungkinan wujudnya jurang antara fiqh jihad dan amalan perang masa kini di bawah undang-undang antarabangsa. Satu contoh lain ialah kesamaran mengenai jenis-jenis senjata yang boleh digunakan dalam perang masa kini, walau pun prinsip yang boleh dijadikan panduan adalah jelas iaitu Islam tidak membenarkan penggunaan apa jua senjata yang mengakibat pembunuhan dan kehancuran yang tidak terbatas hanya kepada para pejuang (combatant) sahaja.

 

Jurang ini bukan hanya mempunyai kesan dari segi teori mengenai adab-adab berperang tetapi juga ia mempunya kesan pada amali. Antara kesan amali negatif yang dibimbangkan ialah ia membolehkan pihak tertentu di kalangan umat Islam mengambil manfaat dari kepelbagaian tafsiran ulama zaman dahulu untuk mewujudkan pembenaran bagi tindakan pengganasan ke atas orang awam tertentu. Dua contoh dapat dikemukakan,  1) pandangan yang membenarkan pembunuhan orang awam atas alasan mereka telah memberi sumbangan melalui undi dan cukai yang diberikan kepada pemerintah yang menyerang negara umat Islam, 2) fatwa yang membenarkan pembunuhan rakyat awam Israel atas alasan mereka menyumbang dalam perang sebagai tentera kerahan.. Kedua-dua pandangan ini disandarkan kepada pandangan ulama dahulu semata-mata, walaupun ia bercanggah dengan undang-undang antarabangsa hari ini.

 

Membasmi tafsiran seperti ini memerlukan kesepaduan pandangan di kalangan para ulama. Jika tidak, mereka akan saling menyalahi pandangan yang lain yang akan lebih mengelirukan orang awam dan dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Bagi meminimakan kemungkinan seperti ini berlaku, maka perlulah kesepakatan dari segi metodologi dan sumber di kalangan para ulama dalam memberi fatwa mengenai jihad di masa kini.

 

Atas dasar ini, artikel ini ingin menghujahkan kepentingan untuk mensepadukan undang-undang antarabangsa dalam pengajaan dan pembelajaran fiqh jihad bagi para pelajar pengajian Islam di insitusi-institusi pengajian Islam yang bakal menjadi asatizah dan ulama di masa akan datang.

 

Hal ini adalah kerana, pertama, nilai dan semangat yang mendasari undang-undang antarabangsa berkaitan perang dan konflik bersenjata masa kini sama dengan fiqh jihad, yang mana kedua-duanya bertujuan untuk mengurangkan kesan buruk peperangan melalui satu kod tingkah laku dalam peperangan. Tambahan pula, adab-adab berperang yang telah dibangunkan oleh para ulama dahulu mempunyai banyak persamaan dengan Teori Perang Adil yang mendasari undang-undang antarabangsa berkaitan perang dan konflik bersenjata.

 

Kedua, konsep orang awam sebagai bukan pejuang dan bukan pejuang sebagai golongan yang tidak terlibat dalam perlawanan bersenjata atau tidak mampu untuk meneruskan perlawanan mempunyai kesamaan dengan pandangan majoriti para ulama yang berpendapat illah bagi larangan pembunuhan golongan tertentu dalam peperangan ialah kerana ketidakterlibatan mereka dalam perlawanan bersenjata.

 

Ketiga, oleh kerana nilai dan semangat yang mendasari undang-undang antarabangsa dan fiqh jihad adalam sama dan konsep orang awam dan bukan pejuang dalam undang-undang antarabangsa sejajar dengan pandangan majoriti ulama dalam isu ini, maka undang-undang antarabangsa hari ini boleh dianggap sebagai `urf (adat) yang diakui oleh syariah. Prinsip perundangan Islam sememangnya mengakui bahawa adat dan protokol yang diterimapakai oleh ramai dan tidak menyalahi prinsip Islam boleh dijadikan dasar hukum.

 

Keempat, Islam memperakui akan kepentingan pertimbangan konteks dalam merumus dan melaksanakan hukum. Perakuan syariah terhadap adat sebagai dasar hukum, sebagaimana yang dinyatakan, adalah salah satu contoh sifat kontekstual Islam. Selain itu, para ulama juga telah bersepakat bahawa fatwa boleh diubah dan disesuaikan dengana perubahan masa dan tempat.

 

Kelima, semua para ulama dahulu juga bersepakat bahawa kuasa untuk menetapkan  golongan yang tidak boleh dibunuh waktu perang berada di tangan para penguasa, walaupun tiada dalil syara’ yang menyebutkan mengenainya. Para penguasa juga mempunyai kuasa untuk melarang pembunuhan kelompok tertentu di kalangan para pejuang bersenjata atau mereka yang menyumbang dalam perang dari dibunuh dalam peperangan. Semua ini diputuskan berdasarkan konteks dan bertepatan pula dengan maslahat umum Islam. Oleh itu, persetujuan para penguasa Muslim untuk menandatangani Perjanjian Geneva yang menjadi dasar undang-undang antarabangsa berkaitan perang dan konflik bersenjata mengikat rakyat Muslim di negara berkenaan. Rakyat Muslim di negara bukan Muslim yang menandatangani perjanjian itu juga terikat kerana Islam mewajibkan umatnya mematuhi undang-undang di negara mereka bermastautin, selama mana ia tidak menyalahi syariah. Oleh itu, mengabaikan undang-undang antarabangsa atas dasar ia bukan berasal dari Islam atau ia adalah sebahaian dari institusi yang tidak Islamik i.e.PBB tidak sejajar dengan sifat kontekstual Islam.

 

Akhir sekali, kegagalan untuk mematuhi undang-undang antarabangsa akan meletakkan imej negara Muslim, umat Islam dan Islam pada perspektif yang negatif di mata masyarakat antarabangsa. Negara Muslim bakal menghadapi risiko menghadapi hukuman seperti pemulauan dan ini menjejas kepentingan umat Islam. Tambahan pula, Islam tidak menghalang Muslim untuk belajar dan mengambil manfaat dari orang lain, selama mana pendekatan baru itu tidak menyalahi prinsip syariah. Rasulullah s.a.w bersabda, “Hikmah (ilmu dan kebijaksanaan) adalah sesuatu yang hilang dari orang yang beriman. Dia lebih berhak ke atasnya, jika menjumpainya,.” (Riwayat At-Turmuzi & Ibn Majah)

 

Diharapkan juga dengan meluaskan skop pembelajaran fiqh jihad menjangkau sumber-sumber tradisi akan lebih menggalakkan kefahaman jihad yang lebih kontekstual dengan masa kini dan membuka peluang untuk melakukan ijtihad semula dalam isu jihad.yang akan menyumbang pula kepada kemajuan dan pembangunan perspektif-perspektif yang bersifat kontemporari dalam apa jua isu keagamaan.