Ciri-ciri Sederhana Islam Dalam 3 – Berlemah lembut

(Nota: Artikel ini dikutip dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

Islam menganjurkan sifat lembut, kehalusan budi dan mencela sifat kasar.

 

Sebagaimana Islam adalah agama yang mudah, ia juga adalah agama yang lembut dan halus. Di antara petunjuk besar terhadap kelembutan dan kehalusan Islam ialah dalam bidang dakwah, penyebaran agama, muamalah dengan orang yang bermaksiat dan melanggar aturan.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya tidaklah sifat lembut itu ada pada sesuatu kecuali dia akan  menyeimbangkannya dan jika dicabut dari sesuatu, dia akan memburukkannya.” (Riwayat Muslim)

 

“Sesungguhnya Allah itu maha halus dan lembut dan Dia mengurniakan kepada sifat halus dan lembut itu apa yang Dia tidak kurniakan kepada sifat kasar.” (Riwayat Muslim)

 

Islam menganjurkan kelembutan dalam berdakwah. Sesungguhnya asas dakwah ialah kata-kata yang lembut dan halus. Walaupun jika yang didakwah itu seorang yang paling ingkar. Contoh dalam hal ini ialah perintah Allah taala kepada nabi Musa dan Harun a.s ketika keduanya diutus kepada Firaun. Firman Allah taala yang bermaksud:

 

“Maka katakanlah (Musa & Harun) kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lembut. Moga-moga ia akan beringat atau takut.” (Taha : 44)

 

Begitu jugalah perintah Allah taala kepada nabi Muhammad s.a.w dan sekalian pendakwah sesudahnya yang bermaksud:

 

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan contoh yang baik dan berdebatlah dengan mereka menggunakan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih tahu siapa yang  sesat dari jalanNya dan dia lebih mengetahui akan golongan yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl : 125)

 

Dalam ayat ini, Allah taala mengajar agar dakwah dilakukan dengan salah satu dari tiga cara:

 

1.      Hikmah

2.      Contoh yang baik

3.      Debat dengan cara yang terbaik

 

Dalam ayat ini juga, Allah taala menggunakan kata sifat baik dan terbaik sebagai mengukuhkan lagi sifat lembut dan halus dalam Islam yang bertentangan dengan sifat kasar dan ganas.

 

Allah taala juga telah menganjurkan agar kita berdialog dengan Ahli Kitab dengan cara yang baik. FirmanNya yang bermaksud:

 

“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab kecuali dengan cara yang terbaik kecuali golongan yang zalim di antara mereka.” (Al-Ankabut : 46)

 

Walaupun di dalam Islam terdapat syariat jihad dalam menyebarkan agama, mempertahankan agama-agama, tempat-tempat suci, harga diri dan harta tetapi ia tidak bertentangan dengan sifat lembut Islam dalam berdakwah. Hal ini kerana jihad hanya dilakukan setelah jalan yang lembut dan baik sudah tidak lagi berguna.

 

Hakikat ini diperkuatkan dengan perjalanan dakwah Rasulullah s.a.w. Selama 13 tahun beliau diperintah agar bersabar dengan dakwah secara lembut. Hanya setelah penentang agama Islam terus mengganggu perjalanan dakwahnya, walau pun beliau telah meninggalkan Mekah, barulah Baginda menggunakan Jihad bagi memastikan kebebasan dakwah terus wujud.

 

Hatta setelah jihad disyariatkan, Rasulullah s.a.w terus mengutamakan cara yang aman untuk berdakwah. Maka sebab itu, beliau menandatangani Perjanjian Hudaibiyah.

 

Apabila Rasulullah s.a.w menghantar tentera-tentera untuk operasi ketenteraan, beliau akan sentiasa memberi wasiat kepada mereka yang bermaksud seperti berikut:

 

“Berperanglah dengan nama Allah, dan untuk jalan Allah. Perangilah mereka yang kufur terhadap Allah. Berperanglah dan jangan melampau. Jangan berkhianat. Jangan merosakkan mayat (yang terbunuh dalam peperangan). Jangan bunuh kanak-kanak.” (Riwayat Muslim)

 

Dalam sebuah hadits yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Janganlah kamu membunuh orang tua yang telah uzur dan jangan membunuh anak-anak kecil dan wanita dan janganlah melampau, kumpulkan harta peperangan, buatlah kebaikan, berlaku ihsanlah sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat ihsan.” (Riwayat Abu Daud)

 

Dari hadits-hadits ini dan selainnya, jelaslah akan kelembutan Islam sehingga dalam jihad sekali pun.

 

Dalam jihad, Islam melarang melaksanakannya dengan melampau dan kerana permusuhan. Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan perangilah mereka yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampau.” (Al-Baqarah : 190)

 

Berperang dalam Islam ialah atas nilai yang tinggi dan murni – menyebar agama – bukan kerana perasaan marah atau dorongan permusuhan dan tidak boleh melampau. Sebab itu Rasulullah s.a.w melarang dari merosakkan mayat yang terbunuh dalam peperangan dan membunuh kanak-kanak.

 

Dalam berjihad, orang Islam dituntut agar menunaikan janji terhadap golongan yang mengikat perjanjian dengan mereka dan melarang mereka dari berkhianat semata-mata kerana ia menang dalam peperangan. Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Wahai orang-orang yang beriman tunaikanlah janji-janji.” (Al-Maidah : 1)

 

“Kecuali mereka yang kamu telah mengikat perjanjian dari golongan musyrikin kemudian mereka tidak mengurangi sesuatu pun janji yang diikat dengan kamu dan tidak menolong sesiapa untuk memerangi kamu, maka tunaikan kepada mereka janji sampai ke tempohnya, sesungguhnya Allah suka kepada mereka yang bertakwa.” (At-Taubah : 4)

 

Allah taala juga memerintah agar berlaku baik dengan mereka yang tidak memerangi orang-orang Islam dalam firmanNya yang bermaksud:

 

“Allah tidak melarang kamu dari berlaku baik dan adil terhadap golongan yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak menghalau kamu dari rumah-rumah kamu, sesungguhnya Allah suka kepada golongan yang adil. Allah hanya melarang kamu dari menjadikan golongan yang memerangi kamu kerana agama dan menghalau kamu dari rumah-rumah kamu sebagai sekutu kamu, barang siapa menjadikan mereka sebagai sekutu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Mumtahanah : 8 – 9)

 

Allah taala juga menganjurkan sifat pemaaf dalam berperang. Contoh yang baik ialah sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Mekah setelah berjaya menguasainya, walau pun mereka dahulu menyakiti beliau.

 

Islam mengakui akan kelemahan manusia yang secara nalurinya akan melakukan kesilapan, lupa dan bermaksiat. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Jika kamu tidak melakukan dosa, nescaya Allah akan mendatangkan satu kaum yang akan melakukan dosa sehingga mereka dapat memohon ampun dari Allah taala dan Allah dapat mengampunkan mereka.” (Riwayat Muslim)

 

Rasulullah s.a.w juga mengajar bahawa maksiat itu mempunyai pelbagai tingkatan. Setiap seorang itu harus dinilai berdasarkan jenis kesalahan yang ia lakukan bukan dengan cara pukul rata semata-mata.

 

Islam menolak hukuman setiap yang berdosa secara umum dengan kufur, herdikan, pukulan dan celaan kerana ia akan menjauhkan manusia dari agama.

 

Dalam hal ini, Allah taala telah berfirman yang bermaksud:

 

“Tidakkah dengan rahmat Allah taala kamu berlembut terhadap mereka, jika kamu berkasar dan keras hati nescaya mereka akan lari dari kamu, kerana itu maafkanlah mereka dan mohon keampunan untuk mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka.” (Ali Imran : 159)

 

Sikap Islam terhadap mereka yang melakukan maksiat bukanlah dengan mengherdik atau mengkufurkan mereka tetapi menyeru mereka agar bertaubat, membaiki perjalanan hidup mereka dan menerangkan kesilapan yang telah dilakukan.

 

Ini adalah sebahagian dari tanda-tanda kelembutan Islam dalam berurusan dengan pelbagai manusia, baik Muslim atau bukan.

 

Terdapat banyak contoh dalam sejarah Islam yang mana umat bukan Islam berbondong-bondong menganut agama Islam seperti yang berlaku di Semenanjung Tanah Melayu bukan kerana diancam atau disebabkan pedang. Hatta kedapatan dalam sejarah Islam bangsa yang dahulunya memusuhi Islam seperti bangsa Monggol tapi kemudiannya menganut agama ini kerana keindahannya.

 

Apabila telah jelas bahawa Islam menganjurkan sifat halus dan lembut, maka jelaslah bahawa ia tidak menyukai sifat kasar.