Di Sebalik Kebimbangan Terhadap Sars dan Demam Burung

Sars dan kini demam burung datang bersama dengan satu ancaman yang menguji ramai di antara kita. Ia menguji keimanan kita. Ia menguji tingkah laku sosial kita. Ia menguji nilai-nilai dalam diri kita.

 

Pepatah Arab ada mengatakan yang bermaksud, “Ketika menghadapi ujian, seseorang itu dimuliakan atau dihina.”

 

Pepatah ini bermaksud bahawa seseorang itu dikenali keperibadiannya yang melayakkan ia dipandang mulia atau hina dengan melihat bagaimana dia melalui kehidupan dalam suasana yang menguji atau dalam suasana genting dan krisis.

 

Salah satu sifat mereka yang berjaya dalam menghadapi suasana krisis ialah mereka yang mampu mengawal perasaan serta keupayaan untuk berfikir secara rasional dan objektif dalam suasana genting dan krisis. Dengan itu ia dapat mengawal dirinya dan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

 

Bahaya Sars dan demam burung terhadap nyawa manusia adalah sesuatu yang serius. Lihat sahaja pada jumlah kematian dan bagaimana pantas virus Sars dan demam burung  ini mengakibatkan kematian seseorang.

 

Kesannya kepada ekonomi negara juga adalah serius. Lihat sahaja pada data-data perniagaan pemakanan, hotel dan pelancongan.

 

Kita mengakui kesemua ini dan turut merasa khuatir mengenainya. Namun kesemua ini juga tidak seharusnya mengaburi akal kita dari berfikir secara rasional atau hilang pertimbangan sehingga kita merasakan bahawa masalah kita adalah segala-galanya. Lalu hilang dari diri kita rasa kepedulian terhadap orang lain.

 

Jika kita bertanya secara jujur; Manakah musibah yang lebih besar, Sars dan demam burung atau kehancuran yang berlaku di Iraq kerana peperangan? Siapakah yang lebih malang, rakyat Singapura atau rakyat Iraq? Kebimbangan siapakah yang lebih berat dan membebankan, kebimbangan masyarakat Singapura menghadapi ancaman Sars dan demam burung atau kebimbangan rakyat Iraq menghadapi kehidupan pasca-perang sekarang ini?

 

Akal yang rasional pasti akan mengakui bahawa dari segi saiz (magnitude), masalah Sars dan demamburung setakat ini, hanyalah sekelumit dari masalah manusia di Iraq. Kalau pun boleh dikatakan apa yang dihadapi oleh kita di Singapura ini sebagai satu ‘penderitaan’, ianya tidak seberapa dibanding penderitaan mereka di Iraq.

 

Namun demikianlah hakikat manusia, apabila diri dikuasai oleh sifat keakuan, dia hanya akan sibuk dengan masalah dirinya dan dia lupa akan hal orang lain. Bahkan kadangkala sanggup mengorbankan orang lain untuk dirinya.

 

Allah taala telah menggambarkan sifat manusia apabila dihadapkan dengan bahaya dengan firmannya yang bermaksud;

 

“Orang-orang yang melakukan kejahatan itu ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya, isteri-isterinya, saudara-saudaranya dan kaum keluarga yang melindunginya (di dunia).” (Al-Ma`arij : 11 – 13)

 

“Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua). Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.” (`Abasa : 33 – 37)

 

Sesungguhnya apabila kita tidak peduli akan penderitaan orang lain atau merasa bahawa kesusahan kita adalah segala-galanya, itu adalah ananiyah (selfishness) yang dikeji.

 

Sebaliknya kita sepatutnya menjadikan suasana yang dicengkami dengan Sars dan demam burung hari ini sebagai satu keinsafan dan wasilah untuk merasakan penderitaan orang lain. Betapa kalau kita rasa sedih akan kehilangan anak bangsa kita oleh wabak ini, orang lain telah kehilangan ribuan jiwa dari anak bangsa mereka. Kalau kita bimbang Sars dan demam burung akan menimpa kita atau keluarga kita, orang lain lebih bimbang akan keselamatan diri dan keluarga mereka dari peluru yang tidak bermata dan ‘bom yang tidak begitu bijak akal’nya.

 

Sifat mementingkan diri sendiri adalah fitrah semulajadi yang telah Allah taala tanamkan dalam diri kita sebagai manusia. Ia bukan tidak elok dalam semua keadaan kerana pada kadar yang wajar, sifat itu mendorong manusia untuk maju dan merubah keadaannya. Namun Islam menganjurkan paling kurang bagi seorang muslim ialah untuk menyamakan hak diri dan hak orang lain. Sebab itulah Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

 

“Tidak beriman sesiapa dari kamu sehingga dia suka untuk saudaranya apa yang dia suka untuk dirinya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Bahkan Islam menganjurkan umatnya untuk mengangkat diri mereka ke darjat manusia yang sanggup mengutamakan orang lain dari diri sendiri. Allah taala mensifatkan generasi terbaik Islam dengan firmanNya yang bermaksud;

 

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (kaum Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (kaum Muhajirin), mereka mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (kaum Muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekali pun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al-Hasyr : 9)

 

Lihatlah pula Rasulullah s.a.w selaku contoh terbaik bagi kita! Sejak beliau diutus menjadi Rasul sehingga hampir ke waktu ajal beliau, fikiran dan hatinya sentiasa berkata ‘Allahumma ummati.. ummati..’ (Riwayat Muslim) .

 

Adalah penting bagi umat Islam untuk sentiasa memelihara dirinya dari dikuasai oleh sikap keakuan sehingga hilang neraca berfikir secara objektif kerana pemikiran objektif membolehkan dirinya untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya.

 

Keupayaan meletakkan sesuatu pada tempatnya itulah yang dinamakan sebagai ‘al-`adl wa al-ihsan’ – keadilan dan ihsan – yang dinyatakan oleh Allah taala dalam firmanNya yang bermaksud;

 

“Sesungguhnya Allah memerintah agar berlaku adil dan ihsan.”  (An-Nahl : 90)

 

Dengan kata lain, hilangnya objektiviti dalam pertimbangan menjurus ke arah kezaliman, samada kezaliman itu kecil atau besar.

 

Sifat keakuan adalah kontra-produktif bagi seorang muslim dan pendakwah. Manakala sifat objektif dalam berfikir pula adalah penting bagi seorang muslim dan pendakwah. Lalu, bagaimanakah dapat kita memelihara diri dari dikuasai keakuan yang negatif dan menyemai cara berfikir yang objektif?

 

Pastinya ia adalah satu persoalan yang perlu dihuraikan lebih lanjut. Namun secara mudah boleh dikaji dalam firman Allah taala yang bermaksud;

 

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan (petunjuk untuk membuat penilaian antara yang hak dan yang batil) dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)mu, dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Al-Anfal : 29)

 

Semoga Allah taala sentiasa membimbing kita dalam waktu susah dan senang.