Hijrah Dan Menetap Di Negara Bukan Muslim

Hijrah mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sejarah umat Islam. Ia mengisahkan perpindahan Rasulullah s.a.w dan para pengikutnya dari Mekah ke Madinah untuk mencari perlindungan dari kekejaman para pemimpin Mekah yang musyrik. Begitu penting peristiwa hijrah, sehinggakan saidina Umar r.a menjadikannya sebagai kalendar bagi umat Islam.

 

Namun, hari ini terdapat salah pentafsiran mengenai hijrah oleh pihak-pihak tertentu dari kalangan umat Islam. Mereka ini menggunakan konsep hijrah untuk menggalakkan masyarakat minoriti Muslim hidup memencilkan diri dari masyarakat bukan Islam. Ia juga digunakan untuk mengajak umat Islam yang hidup di negara bukan Islam agar berhijrah dan menetap bersama kumpulan penjihad yang dikatakan menjalani satu kehidupan yang lebih murni sebagaimana generasi awal Muslim dahulu demi untuk menegakkan satu umat Islam yang lebih baik.

 

Satu contoh dari apa yang dikatakan boleh didapati dalam Kertas Putih mengenai penangkapan anggota Jemaah Islamiyah (JI) di Singapura yang melaporkan bahawa salah seorang pemimpin JI telah mengutus surat kepada Mulla Umar, bekas pemimpin tertinggi pemerintahan Taliban di Afghanistan. Dalam surat itu beliau bertanya samada Muslim di Singapura (anggota-anggota JI) perlu behijrah ke Afghanisatan.

 

Sebahagian kumpulan radikal Islam pula mengkritik umat Islam yang menetap di negara bukan Islam dan menganjurkan mereka agar berhijrah ke negara Islam. Bahkan, sebahagian yang lain pula menghukumkan umat Islam sebagai kafir hanya semata-mata mereka menetap di negara bukan Islam.

 

Kelompok ini berhujah bahawa menetap di negara bukan Muslim adalah salah di sisi agama kerana ia menyebabkan Muslim harus menjalani kehidupan di dalam lingkungan yang bercanggah dengan Islam. Mereka juga berhujah Muslim yang sedemikian telah membatalkan pengakuan dua kalimah syahadahanya kerana sikap mereka menunjukkan bahawa mereka telah redha untuk hidup di bawah undang-undang selain syariah dan mengakui kekuasaan bukan Muslim. Kelompok ini bertanggapan bahawa ketaatan seorang Muslim hanya boleh diberikan kepada Allah taala semata-mata dan hanya Islam sahaja yang boleh mengatur cara hidup seorang Muslim.

 

Mereka mendasakan pandangan mereka dengan firman Allah taala yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya: “Dalam keadaan bagaimana kamu ini?”. Mereka menjawab: “Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah)”. Para malaikat berkata: “Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?”. Orang-orang itu tempatnya neraka Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali mereka yang tertindas baik laki-laki atau wanita atau pun anak-anak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk hijrah). Mereka itu, mudah-mudahan Allah memaafkannya. Dan adalah Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” (Al-Maidah: 97-99)

 

Akibat dari pemikiran sebegini ialah wujudnya satu pandangan hidup bahawa seseorang itu tidak akan boleh menjadi Muslim sebenar kecuali jika dia hidup di kalangan Muslim sahaja dan ini akan membenarkan pula pola pemikiran dan kehidupan yang bersifat ekslusif dan memencilkan diri.

 

Tanggapan Agama

 

Sebenarnya, jika diteliti ayat di atas (4, 97-9) yang dijadikan sebagai dasar, maka boleh disimpulkan bahawa ia tidak boleh dijadikan satu dalil yang muktamad bahawa Muslim tidak boleh hidup di negara bukan Islam. Bahkan ayat berkenaan juga boleh ditafsirkan bagi menatijahkan hukum yang berlawanan. Ayat yang bermaksud “Kecuali mereka yang tertindas baik laki-laki atau wanita atau pun anak-anak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk hijrah). Mereka itu, mudah-mudahan Allah memaafkannya”, sebenarnya telah ditafsirkan oleh ulama untuk memberi makna bahawa Muslim hanya perlu berhijrah dari negara bukan Islam ke sebuah negara Islam jika dia mendapati dirinya tidak berupaya untuk mengamalkan agamanya secara bebas dan ditindas atas dasar agama.

 

Kebalikannya bermakna bahawa Muslim dibenarkan untuk menetap di negara bukan Islam atau di bawah pemerintahan bukan Muslim, selama mana dia mendapat kebebasan untuk mengamalkan syiar-syiar utama Islam dan hak-hak asasinya terpelihara. Ertinya tiada sebab bagi mana-mana pihak untuk memaksa Muslim yang menetap di negara bukan Islam berhijrah ke negara Islam.

 

Tafsiran seperti ini disokong oleh beberapa dalil lain. Pertama, pak cik Rasulullah s.a.w bernama Abbas dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w untuk terus menetap di Mekah setelah memeluk Islam, walau pun Mekah pada ketika itu dikuasai oleh para penentang Islam.

 

Kedua, penghijrahan para sahabat ke Habsyah dan penghijrahan mereka pula ke Madinah setelah enam tahun Rasulullah s.a.w berada di sana juga menunjukkan bahawa hijrah ke negara Islam hanya perlu bagi mereka yang lemah dan terancam oleh penindasan atas dasar agama. Oleh itu, menetap di negara bukan Islam dibenarkan jika kebebasan untuk mengamalkan agama dijamin.

 

Ketiga, tidak semua Muslim yang hidup di zaman Rasulullah s.a.w segera berhijrah ke Madinah untuk hidup di daerah Islam. Seorang sahabat bernama Abu Nu`aim telah memeluk Islam dan mahu berhijrah ke Madinah dari perkampungan kabilahnya. Namun, beliau diminta oleh anggota kabilahnya agar tidak melakukan sedemikian kerana beliau orang yang banyak menafkahkan harta untuk sara hidup anak yatim dan janda-janda dalam kabilahnya. Beliau lalu menangguhkan hasratnya itu. Setelah tiba masanya, beliau berhijrah dan bertemu dengan Rasulullah s.a.w lalu memberitahu mengenai kisah kelewatannya. Rasulullah s.a.w lalu membenarkan perbuatan beliau sambil berkata, “Kaumku menghalau dan mahu membunuhku, sedangkan kaummu membelamu.”

 

Keempat, Rasulullah s.a.w, dalam sebuah hadits riwayat Muslim, pernah bersabda bahawa mereka yang menetap di daerah bukan Islam kemudian memeluk Islam, boleh tersu menetap di sana dan tidak perlu berhijrah.

 

Maka berdasarkan segala dalil-dalil di atas, dapat disimpulkan bahawa tiada satu hukum umum samada membolehkan atau melarang seorang Muslim untuk hidup di negara bukan Islam. Hukum sebenar amat bergantung kepada keadaan individu berkenaan dan negara berkenaan. Melihat kepada keadaan individu dan konteks, pendapat para ulama mengenai hukum berhijrah dari negara bukan Islam boleh disimpulkan kepada: a) wajib berhijrah jika seorang Muslim tidak dapat mengamalkan syiar-syiar utama agama atau menghadapi ancaman serius ke atas dirin kerana pengangan agamanya (4, 97-9); b) sunat berhijrah jika seorang Muslim boleh mengamalkan syiar utama agama dan mempunyai kemampuan untuk berhijrah. Ini berdasarkan perbuatan pak cik Rasulullah s.a.w, Abbas, dan sahabat beliau, Abu Nu`aim; c) tidak wajib berhijrah dan boleh kekal di daerah bukan Islam, jika tidak berupaya walaupun dalam keadaan ditindas kerana pegangan agama (4:97); d) wajib berada di negara bukan Islam jika kewujudan dan kepakarannya diperlukan oleh umat Islam di negara berkenaan.

 

Tanggapan Rasional

 

Dalam konteks hari ini, isu berhijrah ke negara Islam dalam sebagaimana yang difahami dan dilakukan oleh umat Islam dahulu sudah lagi tidak relevan dan praktikal kerana tiada satu negara pun pada hari ini yang dapat benar-benar dikategorikan sebagai sebuah Dar Al-Islam (negara Islam) sebagaimana yang disifatkan oleh para ulama tradisional dahulu.

 

Selain itu, globalisasi yang berlaku hari ini telah menjadikan dunia ibarat satu kampung yang kecil. Apa jua usaha untuk menyisihkan masyarakat Islam dengan tujuan untuk memeliharanya dari didatangi oleh pengaruh asing yang boleh mencabar iman dan komitmen mereka kepada agama hampir sia-sia sahaja.

 

Pada hari ini juga, kita tidak akan mendapati sebuah negara pun, baik negara yang diperintah oleh Muslim atau bukan, yang benar-benar sempurna untuk mencapai tujuan asal hijrah di masa dahulu. Di mana pun, seorang Muslim menetap dia pasti perlu untuk membuat penyesuaian dan pengislahan bagi membetulkan keadaan yang ada.

 

Ditinjau dari segi sejarah, kita bukan hanya menyaksikan penghijrahan umat Islam dari daerah bukan Islam ke negara Islam tetapi terdapat banyak contoh penghijrahan umat Islam dari bumi Arab ke daerah bukan Islam seperti di Cina, India dan Asia Tenggara untuk pelbagai tujuan. Mereka ini kemudiannya menetap di daerah berkenaan, bercampur dengan masyarakat tempatan sehingga menyumbang pula kepada penyebaran Islam di daerah-daerah berkenaan.

 

Masyarakat minoriti Muslim di negara bukan Islam yang demokratik hendaklah memahami bahawa walau pun negara tempat mereka tinggal itu tidak menyediakan satu persekitaran yang ideal untuk kehidupan sebagai seorang Muslim, namun kekal di negara berkenaan tetap penting. Dengan melakukan sedemikian, masyarakat minoriti Muslim itu dapat menggarap pelbagai peluang untuk mengongsi mengenai cara hidup umat Islam dan menghilangkan pula salah faham yang mungkin ada terhadap Islam.

 

Atas dasar itu, masyarakat Muslim tidak seharusnya memisahkan diri dari masyarakat umum. Sebaliknya, masyarakat Muslim wajib melibatkan diri secara aktif sebagai rakyat yang konstruktif di negara tempat mereka tinggal. Penglibatan aktif yang menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara, akur pada undang-undang dan sejajar dengan prinsip dan amalan demokrasi adalah bukti amali yang lebih kukuh bagi mengikis imej negatif yang terpalit pada Islam hari ini. Ini akan membantu pula untuk membina asas bagi kehidupan bersama yang harmoni dengan masyarakat lain.