Hukum menyertai pertandingan bagi mendapat hadiah

Soalan

 

Apakah hukumnya menyertai pertandingan sukan yang mana wang pendaftaran dan penyertaan dijadikan dana untuk hadiah-hadiah bagi pemenang?

 

Jawaban

 

Sekiranya jelas diketahui bahawa wang pendaftaran dan penyertaan dalam mana-mana pertandingan dijadikan sebagai hadiah bagi pemenang, maka adalah lebih baik tidak menyertainya kerana ia menyerupai judi.

 

Di sisi para fuqaha, judi dikenali sebagai Al-Maisir dan Al-Qimar. Ia bermaksud permainan yang mengandung unsur taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapat taruhan tersebut.

 

Judi adalah haram dalam Islam. Ini berdasarkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi (Al-Maisir), katakanlah bahawa pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Al-Baqarah : 219)

 

“Hai orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi (Al-Maisir), (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib adalah rijs (najis, perbuatan keji) termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum khamar) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakannya).” (Al-Maidah : 90 – 91)

 

Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut;

 

1.       Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.

2.       Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.

3.       Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan.

 

Berdasarkan ini, para ulama berpendapat bahawa mana-mana permainan yang mana pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga, bukan dari pihak-pihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan sebagai pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.

 

Satu permainan juga tidak dianggap sebagai judi sekiranya manfaat yang diperolehi berasal dari satu pihak seperti sekiranya seorang berkata kepada temannya “Jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Akan tetapi jika kamu kalah, tiada kewajipan atas kamu terhadap saya.” Ini berdasarkan kepada sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang mana Rasulullah s.a.w diajak oleh seorang kafir Quraisy bernama Rukanah untuk bergusti dengan hadiah beberapa kambing, jika Rasulullah s.a.w menang. Rasulullah s.a.w menerima cabaran itu dan beliau menang dalam pertandingan.

 

Apa jua permainan yang apabila seorang di antara yang bertaruh menang lalu mendapatkan taruhan itu sedang bila kalah maka dia berhutang kepada temannya dianggap sebagai judi yang diharamkan.

 

Rujuk Ensiklopedia Hukum Islam, bahagian Al-Maisir.

 

Wallahu A`alam