Isu Hijab… Kita Akan Terus Berusaha

kartun-hijab

 

(Artikel ini ditulis semasa muncul isu tudung pada tahun 2002)

(c) Muhammad Haniff Hassan, 2002

Tengkarah berkaitan Fateha.com sudah reda dan diharapkan akan berlalu.

Salah satu isu yang dikaitkan dengan Fateha.com ialah isu pemakaian hijab di sekolah-sekolah pemerintah.

Ini bukan pertama kali isu ini diketengahkan kepada pemerintah dan dibincangkan di kalangan masyarakat Islam Singapura.

Semasa isu Pendidikan Wajib hangat dibincangkan, persoalan hijab turut dibangkitkan.

Sebagaimana yang telah berlaku semasa perbincangan mengenai Pendidikan Wajib, isu hijab kali ini masih tidak menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sebagaimana yang diharapkan oleh masyarakat Islam.

Ianya terhenti tanpa perkembangan yang signifikan terhadap isu ini.

Ramai dari kalangan anggota masyarakat Islam pasti kecewa melihatkan bagaimana isu ini berakhir buat kali ini.

Kita meyakini bahawa setiap masyarakat Islam yang ikhlas terhadap agamanya pasti menerima hijab sebagai satu kewajiban agamanya.

Oleh itu, berharap agar pelajar-pelajar perempuan Islam dapat menunaikan kewajiban ini di sekolah yang mereka ikuti tanpa prejudis.

Setiap dari mereka juga bersetuju bahawa usaha untuk menjayakan perkara ini adalah penting dan mahukan usaha ini diteruskan.

Para peramal masa hadapan telah mengatakan bahawa peningkatan penghayatan Islam di kalangan umatnya merupakan sebahagian dari tren besar di alaf 21 hari ini.

Maka sebab itulah timbul teori Clash of Civilisation dan Age of Muslim Wars (Newsweek, Special Edition, Dec 2001 – Feb 2002).

Oleh itu, di Singapura ini isu hijab tidak akan terhenti di sini.

Bagi kita, ia telah bermula dan akan diteruskan sehingga hasrat kita tercapai, dengan mengambil kira sepenuhnya juga sensitiviti masyarakat bukan Islam dan keperluan nasional.

Kegagalan hari ini tidak akan menumpulkan kreativiti kita untuk mencari huraian bagi persoalan ini dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

Kekecewaan hari ini akan kita jadikan baja bagi menyuburkan lagi isu ini.

Dalam situasi ini mungkin elok kita mengingati kembali salah satu insiden yang berlaku dalam sirah Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w pernah ke Taif untuk berdakwah dengan pembesar di sana setelah mendapati harapan untuk mendapat sambutan dari kalangan pembesar Mekah sudah malap.

Usaha bukan hanya tidak diterima tetapi mendapat penolakan yang kasar dan menyedihkan.

Apakah yang Rasulullah s.a.w lakukan? Beliau menghadap kepada Allah taala dan mengadu akan lemahnya keupayaan dan kekurangan strategi beliau.

Walau pun beliau sedih dan kecewa tetapi beliau tidak berhenti berusaha.

Untuk itu, Allah taala mengurniakan alternatif yang lebih baik bagi beliau dari Taif, iaitu Madinah.

Begitulah kita berhadapan dengan kebantutan dalam isu hijab hari ini.

1. Kita akan berusaha untuk mengoreksi dan memuhasabah kelemahan diri dari segi cara, perancangan dan usaha yang dilakukan dan mengakui kelemahan diri sebelum menyalahkan orang lain, apabila mereka menolak dakwah kita.

2. Allah taala adalah tempat kita mengadu.

Kita meyakini sepenuhnya akan takdirNya.

Kita optimis akan janjiNya dan hikmah yang ada disebalik apa yang berlaku.

3. Sesiapa pun yang terus berusaha akan pasti mencapai hasil dari usahanya.

Sebagaimana seorang yang berjalan di atas jalan yang betul.

Dia akan pasti tiba ke destinasinya – lambat atau cepat.

Kita mungkin tidak bersetuju dengan pendekatan Fateha.com atau Zulfikar dalam persoalan ini.

Tidak salah untuk kita menyatakan sedemikian atau tegur apa yang pada pandangan kita satu kesilapan.

Namun adakah perlu untuk kita menyisihkan mereka atau menafikan mereka sebagai sebahagian dari masyarakat Islam?

Rasulullah s.a.w bersabda “Bantulah saudara kamu samada ia zalim atau dizalimi”.

Apabila ditanya tentang bagaimana membantu saudara kita yang zalim, beliau menjawab dengan mengembalikan ia kepada kebenaran.

Mereka adalah saudara-saudara kita.

Semua kita pasti akan melakukan kesilapan.

Keaiban bukan kerana melakukan kesilapan tetapi kerana tidak mahu mengakui dan membaiki kesilapan diri, jika ada.

Sebaiknya Zulfikar, Fateha.com dan masyarakat Islam tidak berpatah arang.

Sebaliknya berganding bahu untuk mengorak strategi-strategi yang lebih baik bagi hasil yang lebih baik juga di masa akan datang.

Ayuh… kita terus bekerja.